Tahun Ketujuh
(Ul 15.1-11)
25
1 TUHAN berfirman kepada Musa di atas Gunung Sinai, dan memerintah dia
2 supaya memberikan peraturan berikut kepada umat Israel. Apabila kamu masuk ke negeri yang akan diberikan oleh TUHAN kepada kamu, kamu harus menghormati TUHAN dengan cara ini: Pada setiap tahun ketujuh kamu tidak boleh mengusahakan tanah.
3 Selama enam tahun kamu harus menanami ladang, memangkas pokok anggur, dan mengumpulkan hasil tanaman,
4 tetapi setiap tahun ketujuh harus dikhaskan untuk TUHAN. Oleh itu sepanjang tahun itu, tanah tidak boleh diusahakan sama sekali. Jangan tanami ladang dan jangan pangkas pokok anggur kamu.
5 Jangan tuai gandum yang tumbuh dengan sendirinya, dan jangan petik buah anggur dari pokok yang tidak dipangkas, kerana pada tahun itu tanah tidak boleh diusahakan sama sekali.
6 Walaupun begitu, tanah yang tidak kamu usahakan pada tahun itu akan mengeluarkan hasil untuk dijadikan makanan kamu, abdi kamu, orang gaji kamu, orang asing yang tinggal dengan kamu,
7 ternakan kamu dan binatang liar di negeri kamu. Apa sahaja yang dihasilkan tanah itu boleh dimakan.
Tahun Pengembalian
8 Hitunglah tujuh kali tujuh tahun, iaitu empat puluh sembilan tahun.
9 Kemudian pada hari kesepuluh bulan ketujuh, iaitu Hari Pengampunan Dosa, suruhlah orang meniup trompet di seluruh negeri.
10 Dengan demikian kamu mengekhaskan tahun yang kelima puluh, dan mengisytiharkan kebebasan kepada segenap penduduk negeri. Pada tahun itu, segala harta milik yang sudah dijual mesti dikembalikan kepada pemilik asal atau kepada keturunan pemilik itu. Sesiapa yang sudah dijual sebagai abdi mesti dikembalikan kepada keluarganya.
11 Jangan tanami ladang kamu; jangan tuai gandum yang tumbuh dengan sendirinya di ladang kamu; jangan petik buah anggur dari pokok-pokok anggur yang tidak dipangkas di kebun kamu.
12 Tahun itu tahun yang suci untuk kamu. Apa yang tumbuh dengan sendirinya di ladang kamu, dan yang kamu sendiri ambil, itu sahaja yang boleh kamu makan.
13 Pada tahun itu, semua tanah yang sudah dijual mesti dikembalikan kepada pemilik asalnya.
14 Oleh sebab itu apabila kamu menjual tanah kepada sesama orang Israel, atau membeli tanah daripada mereka, jangan lakukan jual beli itu dengan tidak jujur.
15 Harga tanah itu mesti ditentukan menurut jumlah tahun tanah itu dapat mengeluarkan hasil sebelum Tahun Pengembalian yang akan datang.
16 Jika masih lama lagi, harga tanah itu lebih mahal, tetapi jika masih tinggal beberapa tahun sahaja, harganya mesti lebih murah kerana yang dijual itu adalah jumlah hasil tanah itu.
17 Jangan tipu sesama orang Israel, tetapi takutlah akan TUHAN, Allah kamu.
Masalah Tahun Ketujuh
18 Patuhilah semua hukum dan perintah TUHAN supaya kamu hidup dengan tenteram di negeri itu.
19 Tanah negeri itu akan mengeluarkan hasil sehingga kamu mempunyai makanan yang cukup dan tinggal di sana dengan tenteram.
20 Tetapi mungkin ada orang yang akan bertanya, “Makanan apakah yang akan ada pada tahun ketujuh itu, kerana tanah tidak akan ditanami dan hasilnya tidak dipungut?”
21 TUHAN akan memberkati tanah itu pada tahun keenam, sehingga tanah itu menghasilkan makanan yang cukup untuk tiga tahun.
22 Pada masa kamu menanami ladang pada tahun kelapan, kamu masih makan hasil tanaman pada tahun keenam. Kamu akan mempunyai cukup makanan sehingga sampai masanya kamu mengumpulkan hasil tanaman pada tahun itu.
Pengembalian Tanah dan Rumah
23 Tanah kamu tidak boleh dijual untuk selamanya kerana tanah itu bukan milik kamu. Tanah itu milik Allah, dan kamu seperti orang asing yang mendapat kebenaran untuk mengusahakan tanah itu.
24 Apabila sebidang tanah dijual, hak pemilik asal tanah itu untuk menebusnya harus diakui.
25 Jika seorang Israel jatuh miskin lalu terpaksa menjual tanahnya, sanak saudaranya yang terdekat wajib menebus tanah itu.
26 Seseorang yang tidak mempunyai sanak untuk menebus tanahnya, mungkin pada kemudian hari menjadi kaya dan sanggup menebusnya sendiri.
27 Jika demikian halnya, dia harus membayar pembeli tanah itu, jumlah harga yang sesuai dengan hasil yang akan diperoleh sebelum Tahun Pengembalian yang akan datang. Dengan demikian dia akan mendapat kembali tanahnya.
28 Tetapi jika dia tidak sanggup menebusnya, tanah itu tetap menjadi hak pembeli sehingga Tahun Pengembalian yang akan datang. Pada tahun itu, tanah itu harus dikembalikan kepada pemilik asalnya.
29 Apabila seseorang menjual sebuah rumah di dalam kota yang bertembok, dia berhak menebus rumahnya dalam jangka masa satu tahun, bermula dari tarikh penjualan rumah itu.
30 Tetapi jika dia tidak menebusnya dalam jangka masa satu tahun, dia kehilangan haknya untuk menebus rumah itu. Rumah itu akan menjadi milik tetap orang yang membelinya, dan keturunan orang itu. Pada Tahun Pengembalian, rumah itu tidak akan dikembalikan kepada pemilik asal.
31 Tetapi peraturan untuk rumah di pekan yang tidak bertembok, sama dengan peraturan untuk tanah. Pemilik asal berhak menebusnya, dan rumah itu harus dikembalikan kepadanya pada Tahun Pengembalian.
32 Namun peraturan bagi orang Lewi berbeza. Pada bila-bila sahaja, mereka berhak menebus harta mereka di kota yang ditetapkan bagi mereka.
33 Rumah di dalam salah satu kota itu, yang sudah dijual oleh seorang Lewi dan yang tidak ditebusnya, harus dikembalikan kepadanya pada Tahun Pengembalian. Hal itu demikian kerana rumah yang dimiliki orang Lewi di kota-kota itu milik tetap mereka di kalangan orang Israel.
34 Tetapi padang rumput di sekitar kota-kota orang Lewi tidak boleh dijual. Padang rumput itu kepunyaan mereka selama-lamanya.
Pinjaman kepada Orang Miskin
35 Jika seorang sesama bangsa Israel, yang tinggal di kalangan kamu jatuh miskin dan tidak mampu menyara hidupnya, kamu harus membantu dia sebagaimana kamu membantu orang asing atau pendatang, supaya dia dapat terus tinggal di kalangan kamu.
36 Jangan tuntut faedah atas pinjamannya, tetapi taatlah kepada Allah dan biarlah sesama orang Israel tinggal di kalangan kamu.
37 Jangan tuntut faedah atas wang yang kamu pinjamkan kepadanya, dan jangan ambil keuntungan daripada makanan yang kamu jual kepadanya.
38 Inilah perintah TUHAN, Allah kamu, yang membawa kamu keluar dari Mesir untuk memberikan negeri Kanaan kepada kamu, supaya Dia menjadi Allah kamu.
Pembebasan Abdi
39 Jika seorang sesama bangsa Israel, yang tinggal di kalangan kamu jatuh miskin lalu menjual dirinya kepada kamu sebagai abdi, jangan suruh dia melakukan pekerjaan abdi.
40 Biarlah dia tinggal bersama-sama kamu sebagai orang gaji dan bekerja untuk kamu sehingga Tahun Pengembalian yang akan datang.
41 Pada tahun itu, dia dan anak-anaknya boleh meninggalkan kamu lalu pulang kepada keluarganya sendiri dan ke tanah milik nenek moyangnya.
42 Umat Israel ialah hamba TUHAN dan Dia sudah membawa mereka keluar dari Mesir; itulah sebabnya mereka tidak boleh dijual sebagai abdi.
43 Jangan perlakukan dengan kasar orang Israel yang menjual diri mereka kepada kamu sebagai abdi, tetapi takutlah akan Allah kamu.
44 Jika kamu memerlukan abdi, kamu boleh membeli abdi daripada orang asing yang tinggal di sekitar kamu.
45 Kamu boleh juga membeli anak-anak orang asing yang tinggal di kalangan kamu. Anak-anak mereka yang lahir di negeri kamu boleh menjadi milik kamu.
46 Kamu boleh menyerahkan mereka sebagai warisan kepada anak-anak lelaki kamu, untuk menjadi abdi mereka seumur hidup, tetapi kamu tidak boleh memperlakukan sesama orang Israel dengan kasar.
47 Andaikata seorang asing yang tinggal dengan kamu menjadi kaya, sedangkan seorang Israel sesama bangsa kamu jatuh miskin, lalu menjual dirinya sebagai abdi kepada orang asing itu atau kepada salah seorang anggota keluarganya,
48 orang Israel itu tetap mempunyai hak untuk ditebus. Salah seorang saudara lelakinya,
49 atau pak ciknya, atau saudara sepupunya, ataupun salah seorang sanaknya yang dekat boleh menebus dia; atau jika dia mempunyai wang, dia juga boleh menebus dirinya sendiri.
50 Dia mesti berunding dengan orang yang membelinya, dan mereka mesti menghitung jumlah tahun sejak dia menjual dirinya sebagai abdi sehingga Tahun Pengembalian yang akan datang. Harga tebusan itu harus ditentukan menurut gaji yang diberikan kepada orang gaji.
51-52 Orang itu harus mengembalikan harga pembelian dirinya sebesar jumlah gaji orang gaji selama tahun-tahun yang belum dijalaninya,
53 seolah-olah dia bekerja sebagai orang gaji. Tuannya tidak boleh memperlakukan dia dengan kasar.
54 Jika dia tidak dapat ditebus dengan salah satu cara itu, dia dan anak-anaknya mesti dibebaskan pada Tahun Pengembalian yang akan datang.
55 Seorang Israel tidak boleh menjadi abdi selama-lamanya, oleh sebab umat Israel ialah hamba TUHAN. Dia sudah membawa mereka keluar dari Mesir; Dialah TUHAN, Allah mereka.