Hukuman, Pertaubatan, dan Harapan
3
1 Akulah yang tahu bagaimana rasanya dihukum oleh Allah.
2 Dia menyeret aku ke tempat yang semakin gelap,
3 dan bertubi-tubi memukul aku tanpa belas kasihan.
4 Dia melukakan badanku dengan parah dan mematahkan tulang-tulangku.
5 Dia meliputi aku dengan kesedihan dan penderitaan.
6 Dia memaksa aku tinggal dalam kegelapan,
seperti orang yang mati pada zaman silam.
7 Dia merantai aku dengan kuat;
aku dipenjarakan tanpa harapan untuk melarikan diri.
8 Aku berseru meminta pertolongan,
tetapi Allah tidak mahu mendengarkan aku.
9 Aku berjalan terhuyung-hayang;
jalanku dihalangi dengan tembok batu.
10 Dia mengadang aku seperti seekor beruang;
Dia menerkam aku seperti seekor singa.
11 Dia mengejar aku sehingga aku menyimpang jalan,
lalu mencabik-cabikkan aku dan meninggalkan aku.
12 Dia merentangkan busur-Nya,
dan menjadikan aku sasaran anak panah-Nya.
13 Anak panah-Nya menembus tubuhku,
sampai menusuk jantungku.
14 Orang mentertawakan aku sepanjang hari;
aku dijadikan bahan sindiran.
15 Hanya kepahitan yang diberikan-Nya kepadaku sebagai minuman dan makanan.
16 Dia menggosokkan mukaku pada tanah,
dan menghantukkan gigiku pada batu sehingga patah.
17 Aku sudah lupa akan kesihatan, kesejahteraan,
dan kebahagiaan.
18 Aku tidak akan hidup lama lagi,
sudah hilang harapanku kepada TUHAN.
19 Memikirkan pengembaraan dan penderitaanku, bagaikan makan racun yang pahit.
20 Aku terus-menerus memikirkan hal itu,
sehingga batinku tertekan.
21 Namun harapanku bangkit kembali
apabila aku teringat akan perkara ini:
22 Kasih TUHAN abadi dan
rahmat-Nya tidak berkesudahan;
23 selalu baru setiap pagi,
sesungguhnya Dia setia!
24 TUHAN sahaja yang aku punyai,
oleh itu aku berharap kepada-Nya.
Harapan bagi Israel
25 TUHAN baik terhadap setiap orang yang percaya kepada-Nya.
26 Oleh itu baiklah kita menantikan
Dia dengan sabar, sehingga Dia menyelamatkan kita.
27 Baiklah kita belajar tabah hati
ketika masih muda.
28 Apabila Dia mendatangkan penderitaan,
kita harus duduk sendirian dan berdiam diri.
29 Kita harus merendahkan diri dan berserah,
kerana mungkin masih ada harapan.
30 Walaupun dipukul dan dihina,
kita harus menerima semuanya.
31 Tuhan berbelas kasihan dan tidak akan menolak kita selama-lamanya.
32 Walaupun Dia mendatangkan penderitaan kepada kita,
Dia tetap mengasihi kita dengan kasih yang tiada batas.
33 Dia tidak suka menyebabkan
kita menderita dan sedih.
34 Tuhan tahu apabila batin kita tertekan waktu dalam tahanan;
35 Dia tahu apabila kita
kehilangan hak yang diberikan-Nya kepada kita;
36 apabila keadilan diputarbalikkan,
pasti Tuhan mengetahuinya.
37 Kehendak Tuhan sahaja yang selalu berlaku.
38 Kebaikan dan kejahatan berlaku
hanya dengan perintah Tuhan.
39 Mengapakah kita bersungut
apabila dihukum kerana dosa kita?
40 Marilah kita menyelidiki hidup kita, dan kembali kepada TUHAN.
41 Marilah kita membuka hati kepada Allah di syurga dan berdoa,
42 “Ya TUHAN, kami telah berdosa dan memberontak terhadap-Mu, dan Engkau belum lagi mengampuni kami.
43 Engkau mengejar dan membunuh kami;
kemurkaan-Mu menyembunyikan belas kasihan-Mu.
44 Kemurkaan-Mu bagaikan awan
yang sangat tebal,
sehingga tidak dapat ditembusi doa.
45 Engkau menjadikan kami seperti sampah
pada pandangan seluruh dunia.
46 Kami dihina dan dipermainkan oleh semua musuh;
47 kami ditimpa malapetaka dan kehancuran; kami hidup dalam bahaya dan ketakutan.
48 Air mataku mengalir seperti
sungai kerana bangsaku telah hancur.
49 Air mataku tidak akan berhenti bercucuran
50 sehingga TUHAN dari syurga, memandang dan memperhatikan kami.
51 Hatiku pilu apabila melihat hal yang berlaku kepada kaum wanita di kota kami.
52 Aku diperangkap seperti burung oleh musuh yang membenci aku tanpa alasan.
53 Mereka membuang aku hidup-hidup ke dalam lubang yang dalam,
lalu menutup mulut lubang dengan batu.
54 Air naik sampai ke kepalaku,
dan aku berfikir bahawa kematianku sudah hampir.
55 Ya TUHAN, dari dasar lubang yang dalam itu aku berseru kepada-Mu.
56 Apabila aku memohon Engkau menolong aku,
Engkau mendengarkan seruanku.
57 Engkau mengabulkan doaku,
dan berfirman kepadaku, ‘Jangan takut.’
58 Engkau datang memperjuangkan perkaraku, ya Tuhan,
dan Engkau menyelamatkan nyawaku.
59 Engkau melihat kejahatan yang dilakukan terhadapku;
oleh itu belalah perkaraku.
60 Engkau tahu bahawa musuh membenci aku,
dan mereka bermuslihat terhadapku.
61 Engkau mendengar mereka menghina aku, ya TUHAN;
Engkau tahu akan semua muslihat mereka.
62 Sepanjang hari mereka mempercakapkan aku,
dan merancang untuk mencelakakan aku.
63 Dari pagi hingga petang
mereka mengejek aku.
64 Ya TUHAN, hukumlah mereka
setimpal dengan perbuatan mereka.
65 Kutuklah mereka dan
patahkanlah semangat mereka!
66 Burulah mereka dan
hapuskanlah mereka dari dunia.”