Dosa dan Hukuman terhadap Yehuda
17
TUHAN berfirman, “Hai bangsa Yehuda, dosa kamu telah ditulis dengan pen besi; dosa kamu itu diukir pada hati kamu dengan mata pen intan, dan dipahatkan pada setiap sudut mazbah-mazbah kamu. Bangsa kamu memuja berhala di mazbah-mazbah dan tiang-tiang berhala yang telah didirikan untuk Dewi Asyera di bawah setiap pokok hijau, di puncak-puncak bukit, dan di atas gunung-gunung di luar kota. Aku akan menyuruh musuh kamu mengangkut segala harta dan kekayaan kamu, kerana segala dosa yang telah kamu lakukanr di seluruh negeri. Kamu akan terpaksa menyerahkan tanah yang telah Kuberikan kepada kamu, dan Aku akan menjadikan kamu hamba musuh di negeri yang asing sekali bagi kamu. Aku melakukan semua itu kerana kemurkaan-Ku seperti api yang menyala-nyala selama-lamanya.”
Pelbagai Ajaran
TUHAN berfirman,
“Aku akan menghukum sesiapa sahaja
yang meninggalkan Aku,
dan yang berharap kepada manusia
serta bersandar kepada kekuatan manusia fana.
Dia seperti belukar di padang gurun,
yang tumbuh di kawasan gersang,
di tanah bergaram, yang tidak ditumbuhi tumbuhan lain.
Orang seperti itu tidak pernah mengalami kebaikan.
Tetapi orang yang berharap kepada-Ku
akan Kuberkati selalu.
Dia bagaikan pokok yang tumbuh
di tepi sungai yang mengalir;
akarnya merambat sampai ke air.
Musim panas tidak ditakutinya,
kerana daun-daunnya selalu hijau;
walaupun negeri dilanda kemarau,
tidak ada kegelisahannya,
kerana buah selalu dihasilkannya.
Hati manusia tidak dapat difahami oleh sesiapa;
hati manusia lebih licik daripada segala-galanya,
dan penyakitnya terlalu parah.
10 Aku, TUHAN, menyelidiki hati;
fikiran manusia Kuuji.
Setiap orang Kuperlakukan menurut tingkah lakunya,
dan Kuperlakukan sesuai dengan perbuatannya.”
11 Bagaikan burung menetaskan telur yang bukan miliknya,
begitulah orang yang tidak jujur memperoleh harta.
Pada usia yang masih muda
dia akan kehilangan semua hartanya.
Pada akhir hidupnya akan terbukti
bahawa dia orang yang bodoh sekali.
12 Rumah TUHAN kita seperti takhta yang mulia,
yang terletak di atas gunung tinggi sejak mula-mula.
13 Ya TUHAN, Engkaulah harapan Israel;
semua orang yang meninggalkan Engkau akan dipermalukan.
Mereka akan lenyap dari dunia ini,
dan pergi ke dunia orang mati,s
kerana mereka telah meninggalkan TUHAN,
sumber air yang memberikan hidup.
Yeremia Minta Pertolongan TUHAN
14 Ya TUHAN, sembuhkanlah aku, supaya aku sihat. Selamatkanlah aku, agar aku selamat. Engkau sahaja yang aku puji!
15 Orang berkata kepadaku, “Di manakah semua ancaman TUHAN terhadap kami? Biarlah Dia melaksanakan semuanya sekarang!”
16 Tetapi, ya TUHAN, tidak pernah aku mendesak Engkau untuk mendatangkan kecelakaan kepada mereka.t Aku tidak juga mengingini kesusahan menimpa mereka. Engkau tahu hal itu, ya TUHAN. Engkau tahu apa yang kukatakan. 17 Janganlah Engkau menjadi sesuatu yang menakutkan aku. Engkaulah tempat aku berlindung apabila kesusahan datang. 18 Semoga Engkau mempermalukan orang yang menganiaya aku, tetapi lindungilah aku, ya TUHAN. Liputilah mereka dengan ketakutan, tetapi janganlah takutkan aku. Datangkanlah malapetaka terhadap mereka sehingga mereka hancur binasa.
Merayakan Hari Sabat
19 TUHAN berfirman kepadaku, “Hai Yeremia, pergilah ke Pintu Gerbang Rakyat yang dilalui raja-raja Yehuda apabila mereka keluar masuk kota, dan isytiharkanlah perkhabaran-Ku di situ. Kemudian pergilah ke semua pintu gerbang yang lain di Yerusalem. 20 Suruhlah raja-raja dan semua orang Yehuda serta segenap penduduk Yerusalem yang lalu di pintu-pintu itu, supaya mendengar firman-Ku. 21 Katakanlah begini, ‘Jika kamu tidak mahu mati, jangan angkat beban pada hari Sabat, atau membawanya masuk melalui pintu-pintu gerbang Yerusalem. 22 Jangan bekerja dan jangan angkat beban keluar dari rumah kamu pada hari Sabat. Rayakanlah hari itu sebagai hari yang khas untuk Aku seperti yang telah Kuperintahkan kepada nenek moyang kamu. 23 Tetapi nenek moyang kamu tidak mahu mendengarkan Aku atau memperhatikan firman-Ku. Mereka degil dan tidak mahu taat atau menerima ajaran daripada-Ku.
24 Taatilah semua perintah-Ku. Jangan angkat beban melalui pintu gerbang kota ini pada hari Sabat. Rayakanlah hari Sabat sebagai hari yang khas untuk Aku, dan jangan bekerja pada hari itu. 25 Jika kamu sungguh-sungguh menjalankan perintah-Ku itu, maka para raja dan pegawai yang memerintah seperti Daud akan memasuki pintu-pintu gerbang kota Yerusalem. Mereka bersama dengan orang Yehuda dan penduduk Yerusalem, akan mengenderai kereta kuda dan menunggang kuda, sehingga kota Yerusalem dipenuhi orang selama-lamanya. 26 Orang akan datang dari kota-kota Yehuda, dan dari kampung-kampung di sekitar Yerusalem; mereka akan datang dari wilayah Benyamin, dari kawasan kaki bukit, dari kawasan pergunungan, dan dari bahagian selatan Yehuda. Mereka akan membawa korban untuk menyenangkan hati-Kuu dan korban-korban lain, korban untuk mengucap syukur,v dan kemenyan, serta korban kesyukuran ke Rumah-Ku. 27 Semua perkara itu akan berlaku apabila kamu taat kepada-Ku dan merayakan hari Sabat sebagai hari yang khas untuk Aku. Jangan angkat beban melalui pintu-pintu gerbang Yerusalem pada hari itu. Jika kamu melanggar perintah-Ku itu, Aku akan membakar habis pintu-pintu gerbang Yerusalem serta istana-istananya, dan api itu tidak akan dapat dipadamkan oleh sesiapa pun.’”
r 17:3 kerana segala dosa yang telah kamu lakukan; Naskhah Ibrani: di tempat-tempat tinggi, tempat kamu berdosa. s 17:13 dari dunia...mati; atau seperti nama yang ditulis di atas debu. t 17:16 mendatangkan kecelakaan kepada mereka; Naskhah Ibrani: menjadi gembala seperti Engkau. u 17:26 korban untuk menyenangkan hati-Ku; Harfiah: korban bakar. (Lihat Kamus). v 17:26 korban untuk mengucap syukur; Harfiah: korban bijirin. (Lihat Kamus).