YOEL
Kata Pengantar
Keterangan tentang Nabi Yoel tidak banyak yang terkumpul, oleh itu tidak jelas dalam tahun berapa dia hidup. Tetapi nampaknya kitab ini ditulis di antara abad kelima dan keempat Sebelum Masihi, pada zaman Empayar Persia. Nabi Yoel menceritakan kedatangan kawanan belalang yang merosakkan semua tumbuhan, dan kemarau yang sangat dahsyat di Palestina. Bencana itu ditafsirkan oleh Nabi Yoel sebagai petanda kedatangan Hari TUHAN, iaitu masa TUHAN menghukum orang yang melawan kehendak-Nya. Nabi Yoel menyampaikan seruan Allah kepada bangsa Israel supaya mereka bertaubat, dan juga janji Allah untuk memberkati umat-Nya dan memulihkan kemakmuran mereka. Satu hal yang patut diberikan perhatian adalah janji Allah untuk memberikan Roh-Nya kepada semua orang, baik wanita mahupun lelaki, tua mahupun muda. (Yoel 2.28-32, Kisah Rasul-Rasul 2.17-21).
Kandungan
Bencana Belalang 1.1—2.17
Janji TUHAN untuk Memulihkan Kemakmuran Umat-Nya 2.18-27
Hari TUHAN 2.28—3.21
1
Inilah perkhabaran TUHAN kepada Yoel anak Petuel.
Umat Israel Bersedih kerana Hasil Ladang Musnah
Dengarkanlah, hai orang tua;
dengarkanlah, hai semua orang di Yehuda.
Pernahkah perkara seperti ini berlaku pada zaman kamu,
atau pada zaman nenek moyang kamu?
Ceritakanlah kejadian ini kepada anak-anak kamu,
agar mereka menceritakannya kepada anak-anak mereka,
dan anak-anak mereka pula menceritakannya kepada generasi selanjutnya.
Kawanan belalang yang tidak terhitung jumlahnya
hinggap di ladang-ladang dan melahap hasilnya.
Apa yang ditinggalkan kawanan ini,
dihabiskan oleh kawanan yang lain lagi.
Hai pemabuk, bangunlah!
Hai peminum wain, menangislah!
Wain yang baru
sudah dirampas dari mulut kamu.
Suatu bangsa telah menyerang negeri kita;
bangsa yang kuat dan tidak terhitung bilangannya;
gigi mereka itu tajam seperti gigi singa. +
Pokok anggur kita telah dimusnahkan,
dan pokok ara kita dirosakkan.
Kulit batang pokok telah dikupas,
sehingga cabang-cabang menjadi putih.
Hai semua orang, menangislah,
seperti gadis yang meratapi kematian tunangannya.
Tiada lagi gandum dan wain untuk dipersembahkan di Rumah TUHAN;
para imam menangis kerana tidak mempunyai persembahan untuk TUHAN.
10 Ladang-ladang kosong;
tanah berkabung
kerana gandum sudah musnah,
buah anggur sudah kering,
dan pokok zaitun sudah layu.
11 Hai petani, berdukacitalah;
hai pekebun anggur, menangislah,
kerana gandum, barli,
dan semua tanaman sudah musnah.
12 Pokok buah-buahan di ladang sudah layu semuanya;
pokok anggur, pokok epal, pokok ara, pokok kurma, dan pokok delima,
maka rakyat tidak lagi gembira.
13 Hai imam-imam yang bertugas di mazbah,
pakailah kain guni dan menangislah.
Masuklah ke dalam Rumah TUHAN
dan merataplah semalam suntuk.
Tiada lagi gandum dan wain
untuk dipersembahkan kepada Allah kamu.
14 Berikanlah perintah untuk berpuasa;
adakan satu perhimpunan.
Suruhlah para pemimpin
dan semua penduduk Yehuda
datang ke Rumah TUHAN,
Allah kamu
dan berseru mohon pertolongan-Nya.
15 Hari TUHAN sudah dekat,
ketika Yang Maha Kuasa, mendatangkan kehancuran.
Alangkah ngerinya hari itu! +
16 Tanaman dimusnahkan di depan mata kita.
Tiada lagi sorak gembira di dalam Rumah Allah kita.
17 Benih mati di tanah yang gersang.
Tiada lagi gandum untuk disimpan;
jelapang kosong menjadi reruntuhan.
18 Binatang ternakan melenguh dan gelisah,
kerana tiada lagi padang rumput bagi semuanya;
kawanan domba pun menderita.
19 Aku berseru kepada-Mu, ya TUHAN,
kerana padang rumput dan pokok sudah kering dan mati,
seolah-olah dibakar api.
20 Bahkan binatang liar pun berseru kepada-Mu,
kerana sungai-sungai sudah kering,
dan padang rumput di gurun sudah dibakar api.
+ 1:6 Why 9.8 + 1:15 Yes 13.6