Ayub
9
Kemudian Ayub menjawab,
“Ya, aku telah mendengar semuanya dahulu.
Tetapi bagaimanakah manusia boleh menang dalam perkaranya terhadap Allah? +
Bagaimanakah orang boleh berbantah dengan Dia?
Seribu soalan boleh diajukan oleh Allah,
tetapi satu pun tidak dapat dijawab oleh sesiapa.m
Allah amat bijak dan berkuasa
sehingga tiada seorang pun dapat menentang Dia.
Dia memindahkan gunung dengan tiba-tiba,
dan memusnahkannya ketika murka.
Allah menggempakan bumi dan menggegarkan tanah;
Dia menggoyangkan tiang penyangga dunia.
Allah dapat melarang matahari terbit,
dan melarang bintang-bintang bersinar pada waktu malam.
Tiada sesiapa yang menolong Allah membentangkan langit,
ataupun memijak belakang naga laut.n
Allah menempatkan bintang-bintang di langit;
Biduk, Orion, Kartika, dan bintang-bintang selatan. +
10 Kita tidak dapat memahami perbuatan besar Allah,
dan mukjizat-Nya tidak terkira.
11 Allah lalu di depanku, tetapi aku tidak nampak Dia.
Dia lalu di sampingku, tetapi bagiku tidak nyata.
12 Dia mengambil apa yang dikehendaki-Nya,
dan tiada sesiapa pun dapat menahan Dia;
tiada sesiapa berani bertanya kepada-Nya,
“Engkau sedang buat apa?”
13 Allah tidak menahan kemurkaan-Nya.
Dia menghancurkan musuh-Nya,
mereka yang menolong Rahabo menentang Allah.
14 Oleh itu, bagaimanakah aku dapat membantah Allah,
dan mencari perkataan untuk menjawab Dia?
15 Sungguhpun aku tidak bersalah, apa dayaku
kecuali mohon belas kasihan daripada Allah, pengadilku?
16 Jika Dia mengizinkan aku bercakap,
aku tidak percaya Dia akan mendengar aku.
17 Dia meremukkan aku dengan ribut taufan,
dan menambah lukaku tanpa alasan.
18 Dia tidak membenarkan aku menarik nafas;
Dia memenuhi hidupku dengan kepahitan.
19 Haruskah aku mengadu tenaga dengan Dia?
Lihatlah, betapa hebatnya kekuatan-Nya.
Dapatkah aku membawa Dia ke mahkamah?
Siapakah yang dapat membuat Diap pergi?
20 Aku setia dan tidak bersalah,
tetapi kata-kataku kedengarannya salah,
setiap kata yang keluar dari mulutku
seolah-olah menyalahkan diriku.
21-22 Aku tidak bersalah, tetapi sekarang aku tidak peduli.
Aku bosan hidup. Tidak ada yang penting lagi.
Sama ada kita benar atau salah,
Allah akan membinasakan kita.
23 Apabila orang yang tidak bersalah, mati dengan tiba-tiba,
Allah ketawa sahaja.
24 Allah telah memberikan dunia ini kepada orang durjana,
dan menjadikan semua hakim buta.
Allah yang melakukan semua ini.
Kalau bukan Dia, siapa lagi?
25 Hari-hariku berlalu dengan cepat sekali,
tetapi tiada satu hari pun yang menyenangkan hati.
26 Seperti perahu laju, hidupku berlalu,
secepat helang menyambar mangsanya.
27-28 Jika aku tersenyum dan cuba melupakan derita,
segala dukaku kembali memburu aku;
aku tahu bahawa Allah menyalahkan aku.
29 Allah telah menyalahkan aku, peduli apa aku?
30 Tiada sabun yang dapat menghilangkan dosaku.
31 Allah melemparkan aku ke dalam kotoran,
hingga pakaianku pun menganggap aku menjijikkan.
32 Sekiranya Allah itu manusia,
aku akan dapat menjawab Dia;
kami akan pergi ke tempat pengadilan
untuk membicarakan pertengkaran.
33 Tetapi tiada sesiapa yang dapat menjadi pengantara
yang dapat mengadili kami berdua.
34 Ya Allah, berhentilah menghukum aku,
berhentilah menakutkan aku.
35 Aku tidak takut kepada-Nya dan akan bercakap kini,
kerana aku kenal akan hatiku sendiri.
+ 9:2 Ayb 4.17 m 9:3 Seribu soalan...sesiapa; atau Manusia dapat menanyakan seribu soalan kepada-Nya, dan Dia tidak akan menjawab. n 9:8 memijak belakang naga laut: Ini merujuk kepada cerita-cerita kuno yang menggambarkan seekor naga laut yang dibunuh dan diinjak-injak (lihat juga 26.13). + 9:9 Ayb 38.31; Am 5.8 o 9:13 Rahab: Naga laut yang melambangkan kekacauan dan kejahatan. p 9:19 Dapat bermakna: Dia; Naskhah Ibrani: aku.