Ucapan Elihu
(32.1—37.24)
32
Oleh sebab Ayub yakin bahawa dia tidak bersalah, tiga orang sahabat itu tidak menjawab lagi. Tetapi di situ ada seorang yang tidak dapat menahan geramnya, kerana Ayub menyalahkan Allah dan mengaku dirinya tidak bersalah. Namanya Elihu anak Barakheel, seorang keturunan Bus, daripada puak Ram. Dia juga marah terhadap tiga orang sahabat Ayub itu kerana mereka tidak dapat menjawab Ayub, walaupun mereka menyalahkan dia. Elihu yang termuda antara mereka. Oleh itu dia menunggu sehingga setiap orang sudah bercakap. Setelah dia melihat tiga orang itu tidak dapat menjawab Ayub, dia menjadi marah dan berkata demikian,
“Aku ini masih muda, sedangkan kamu sudah tua,
oleh itu aku takut dan ragu-ragu mengemukakan pendapatku.
Fikirku, biarlah yang sudah lanjut usia bercakap,
dan yang lebih tua membahagikan hikmat.
Tetapi sebenarnya Roh Allah Yang Maha Kuasa
yang memberikan hikmat kepada manusia.
Orang menjadi bijak, bukan kerana lanjut umurnya;
orang mengerti yang benar, bukan kerana tinggi usianya.
10 Oleh itu, dengarkanlah aku;
biarlah aku memberitahu kamu pendapatku.
11 Aku mendengar dengan sabar ketika kamu bercakap,
dan menunggu ketika kamu mencari kata-kata bijak.
12 Aku memperhatikan dan mendengar kamu menemui kegagalan.
Kesalahan dalam kata-kata Ayub tidak dapat kamu buktikan.
13 Bagaimana kamu dapat mengatakan kamu telah mendapatkan hikmat?
Allah mesti menjawab Ayub, kerana kamu telah gagal.
14 Ayub berkata-kata kepada kamu, bukan kepada aku,
tetapi aku tidak sekali-kali akan menjawab seperti kamu.
15 Ayub, mereka bingung dan tidak dapat memberikan jawapan;
tiada lagi yang dapat dikatakan mereka.
16 Haruskah aku terus menunggu, ketika mereka berdiam diri?
Mereka berdiri di situ dan tidak dapat berkata apa-apa lagi.
17 Tidak, kini aku hendak memberikan pendapatku,
dan memberitahu kamu fikiranku.
18 Aku tidak sabar lagi menunggu.
Aku tidak dapat menahan kata-kataku.
19 Jika aku tidak bercakap, aku akan meletup,
seperti kirbat kulit yang berisikan wain baru.
20 Aku mesti bercakap supaya hatiku tenang;
aku mesti membuka mulut dan memberikan jawapan.
21 Aku tidak akan menyebelahi sesiapa pun;
aku tidak akan memuji sesiapa pun.
22 Cara memuji pun aku tidak tahu.
Jika aku berbuat begitu, Allah akan segera menghukum aku.