Keluhan Ayub kepada Allah
3
Akhirnya, Ayub mulai bercakap dan mengutuk hari kelahirannya dengan mengatakan,
2-3 “Ya Allah, kutuklah hari aku dilahirkan,
dan kutuklah malam aku mula dikandung.
Ya Allah, jadikanlah hari itu gelap,
hapuskanlah hari itu dari ingatan-Mu;
janganlah Engkau biarkan pula
cahaya cerah menyinarinya.
Jadikanlah hari itu muram,
dan penuh kegelapan;
liputilah hari itu dengan awan,
dan tudungilah cahaya sang suria.
Biarlah malam itu dihapuskan
daripada hitungan tahun dan bulan.
Biarlah malam itu penuh kegelapan,
tiada kemesraan, tiada kegembiraan.
Hai tukang sihir, pawang Lewiatanf
kutuklah hari itu dengan jampi serapah.
Jangan biar bintang fajar bersinar;
jangan biar sinar fajar memancar.
10 Kutuklah malam itu kerana membiarkan aku dilahirkan,
dan menyerahkan aku kepada kesusahan dan kesedihan.
11 Mengapakah aku tidak mati di dalam rahim ibu?
Mengapakah aku tidak meninggal pada saat kelahiranku?
12 Mengapakah aku dipeluk ibu dan dipangkunya?
Mengapakah aku disusui pada buah dadanya?
13 Jika pada waktu itu aku meninggal dunia,
tentu pada saat ini aku dapat berehat,
14 tidur seperti raja dan para pemerintah
yang membina semula istana purba.
15 Tentu aku tertidur seperti putera raja
yang mengisi rumah mereka dengan perak dan emas.
16 Mengapakah aku tidak lahir mati,
menutup mata seperti bayi yang meninggal?
17 Di dalam kubur, penjahat berhenti berbuat jahat,
dan pekerja yang lelah melepaskan penat.
18 Banduan pun menikmati kelegaan,
bebas daripada perintah kasar dan tengkingan.
19 Orang ternama ataupun tidak, semuanya di sana,
dan hamba mendapat kebebasan akhirnya. +
20 Mengapakah manusia dibiarkan terus hidup sengsara?
Mengapakah orang yang sedih diberikan cahaya?
21 Mereka menanti maut, tetapi maut tidak kunjung tiba;
mereka lebih suka akan kubur daripada sebarang harta. +
22 Kegembiraan hanya dapat dirasakan
apabila mereka mati dan dikebumikan.
23 Allah menyembunyikan masa depan mereka,
dan mengepung mereka dari segala arah.
24 Sebagai ganti makan, aku mengeluh,
tidak hentinya aku mengaduh.
25 Segala yang aku takuti melanda aku;
segala yang aku cemaskan menimpa aku.
26 Aku tidak mendapat ketenteraman,
dan kesusahanku tidak berkesudahan.”
f 3:8 Lewiatan: Ada yang menerangkannya sebagai buaya, atau binatang raksasa laut. Para tukang sihir dianggap dapat menyuruh Lewiatan menyebabkan gerhana matahari. + 3:19 Yer 20.14-18 + 3:21 Why 9.6