Ayub
23
Tetapi Ayub menjawab,
“Aku tetap memberontak dan membantah Allah;
aku tidak dapat menahan keluh kesah.
Alangkah baiknya jika aku tahu di mana Allah berada,
dan dapat pergi ke tempat-Nya.
Maka aku akan mengajukan perkaraku kepada-Nya,
dan membela diri dengan sedaya upaya.
Aku hendak tahu apa yang akan dikatakan-Nya,
dan bagaimana Dia memberikan jawapan-Nya.
Adakah Allah dengan segala kekuatan-Nya menentang diriku?
Tidak, Dia akan mendengarkan kata-kataku.
Aku jujur dan dapat berhujah dengan Allah,
dan aku akan dinyatakan tidak bersalahf untuk selama-lamanya.
Aku telah mencari Allah di timur, tetapi Dia tiada di sana;
apabila aku mencari Dia di barat, Dia juga tiada di sana.
Allah telah bertindak di selatan dan utara,
tetapi aku masih belum menemui Dia.
10 Namun Allah tahu setiap langkahku;
jika aku diuji, terbukti kemurnian hatiku.
11 Aku mengikut jalan-Nya dengan setia,
aku tidak menyimpang dari jalan yang ditentukan-Nya.
12 Perintah-perintah Allah selalu kutaati,
aku menurut kehendak-Nya, bukan kehendakku sendiri.
13 Allah tidak pernah berubah dan tiada yang dapat menentang Dia.
Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya.
14 Dia akan menjalankan rancangan-Nya untuk diriku,
dan banyak lagi rancangan-Nya selain itu.
15 Kerana takut akan Dia, gementarlah aku;
semakin aku fikirkan semua itu, semakin takutlah aku.
16-17 Allah Yang Maha Kuasa telah mematahkan semangatku.
Aku takut kerana Allah, dan bukan kerana kegelapan,
walaupun kegelapan mengelilingi aku dan menutupi wajahku.
f 23:7 aku akan dinyatakan tidak bersalah; atau maka amanlah hak-hak aku.