Kesudahan Yerusalem
29
Malanglah Yerusalem yang disebut Mazbah Allah! Malanglah kota tempat Raja Daud berkhemah! Hanya satu atau dua tahun lagi perayaan-perayaannya akan berlangsung, lalu Allah akan mendatangkan bencana kepada kota yang disebut Mazbah Allah. Suara tangisan dan ratapan akan kedengaran, dan seluruh kota itu akan menjadi seperti mazbah yang berlumuran darah. Allah akan menyerang kota itu dan mengepungnya. Yerusalem akan menjadi seperti hantu yang berusaha untuk memperdengar suaranya dari dalam tanah; suara yang redam dari dalam debu.
Hai Yerusalem, semua orang bangsa asing yang menyerang engkau akan lenyap seperti debu ditiup angin. Tentera mereka yang menakutkan itu akan berterbangan seperti sekam. Dengan tiba-tiba dan tidak diduga-duga, TUHAN Yang Maha Kuasa akan menyelamatkan engkau dengan badai dan gempa bumi yang dahsyat. Dia akan mendatangkan angin ribut dan api yang berkobar-kobar. Lalu semua tentera bangsa-bangsa yang menyerang kota yang disebut Mazbah Allah, dan juga segala senjata serta peralatan mereka akan lenyap seperti mimpi pada waktu malam. Semua bangsa yang telah berkumpul untuk menyerang Yerusalem akan menjadi seperti seorang kelaparan yang bermimpi dia sedang makan, lalu terjaga tetapi masih lapar, atau seperti seorang kehausan yang bermimpi dia sedang minum, lalu terjaga dengan kerongkongnya masih kering.
Amaran-Amaran yang Tidak Dihiraukan
Berlagaklah bodoh dan buta! Jadilah mabuk tetapi bukan kerana minum wain. Berjalanlah terhuyung-hayang, tetapi bukan kerana minum arak! 10 TUHAN telah membuat kamu mengantuk supaya kamu tidur nyenyak. Para nabi sepatutnya menjadi mata rakyat tetapi Allah telah menutup mata para nabi. + 11 Makna tiap-tiap penglihatan akan tersembunyi daripada kamu seperti naskhah gulungan yang bermeterai. Jika kamu membawa naskhah gulungan itu kepada seorang yang tahu membaca dan menyuruh dia membacanya, dia akan berkata tidak mungkin kerana naskhah itu bermeterai. 12 Jika kamu membawa naskhah gulungan itu kepada orang yang tidak tahu membaca dan menyuruh dia membacanya, dia akan berkata bahawa dia tidak tahu membaca.
13 Tuhan berfirman, “Bangsa ini mengaku menyembah Aku, tetapi kata-kata mereka kosong, dan hati mereka jauh daripada-Ku. Agama mereka hanya peraturan dan adat manusia yang dihafazkan. + 14 Oleh itu Aku akan mengejutkan mereka dengan pukulan demi pukulan yang tidak disangka-sangka. Mereka yang bijak akan terbukti bodoh. Segala kepandaian mereka akan menjadi sia-sia.” +
Harapan bagi Masa Hadapan
15 Malanglah orang yang berusaha untuk menyembunyikan rancangan mereka daripada TUHAN! Dengan diam-diam mereka bertindak dan menyangka tiada sesiapa nampak atau tahu akan perbuatan mereka. 16 Mereka memutar-balikkan segala-galanya. Manakah yang lebih mustahak? Tukang periuk atau tanah liat? Dapatkah benda yang dibuat berkata kepada pembuatnya, ‘Bukan engkau yang membuat aku’? Atau dapatkah benda itu berkata kepadanya, ‘Engkau tidak tahu apa yang engkau buat’? +
17 Seperti kata orang, tidak lama lagi hutan rimba akan menjadi ladang, dan ladang akan menjadi hutan rimba semula.
18 Pada hari itu kelak, orang tuli akan dapat mendengar orang membaca kitab, dan orang buta yang telah hidup dalam kegelapan, akan dapat melihat. 19 Orang yang miskin dan hina akan sekali lagi mengalami kebahagiaan yang diberikan oleh TUHAN, Allah Israel, Allah yang suci. 20 Itulah kesudahan mereka yang menindas orang serta menghina Allah. Tiap-tiap orang berdosa akan dibinasakan. 21 Allah akan membinasakan mereka yang suka memfitnah orang lain, mereka yang mencegah penjenayah menerima hukuman, dan juga saksi-saksi yang berdusta untuk menghalangi orang jujur mendapat keadilan.
22 Oleh itu TUHAN, Allah Israel, yang menyelamatkan Abraham daripada kesusahan berfirman, “Hai umat-Ku, kamu tidak akan dipermalukan lagi; muka kamu tidak lagi pucat kerana malu. 23 Apabila kamu melihat anak-anak yang akan Aku kurniakan kepada kamu kelak, kamu akan mengakui bahawa Akulah Allah Israel, Allah yang suci. Kamu akan menghormati Aku serta takut terhadap Aku. 24 Orang bodoh akan belajar dan faham, dan mereka yang sentiasa bersungut-sungut akan suka menerima pengajaran.”
+ 29:10 Rm 11.8 + 29:13 Mat 15.8-9; Mrk 7.6-7 + 29:14 1 Kor 1.19 + 29:16 Yes 45.9; Rm 9.20