Berdoalah untuk Kami
3
Akhirnya, saudara-saudaraku, berdoalah untuk kami, supaya perkhabaran Tuhan boleh terus tersebar dengan cepat dan diterima dengan baik, sebagaimana halnya antara kamu dahulu. Berdoalah juga supaya Allah menyelamatkan kami daripada orang yang kejam dan jahat, kerana tidak semua orang percaya kepada perkhabaran itu.
Tetapi Tuhan kita setia. Dia akan menguatkan kamu dan menyelamatkan kamu daripada Si Jahat. Tuhanlah yang menyebabkan kami mempercayai kamu, dan kami yakin bahawa kamu sedang melakukan dan akan terus melakukan apa yang kami beritahu kamu.
Semoga Tuhan memimpin kamu untuk lebih memahami kasih Allah dan ketabahan yang diberikan oleh Kristus.
Kewajipan untuk Bekerja
Saudara-saudaraku, demi nama Tuhan Yesus Kristus, kami memerintah kamu supaya menjauhkan diri daripada semua saudara yang hidup bermalas-malas, dan yang tidak mengikut ajaran yang kami berikan. Kamu sendiri tahu bahawa kamu harus melakukan apa yang telah kami lakukan. Semasa kami bersama-sama kamu, kami tidak bermalas-malas. Kami membayar semua makanan yang kami makan. Kami bekerja dengan tidak mengenal lelah, supaya kami tidak menjadi beban kepada sesiapa pun di kalangan kamu. Kami berbuat demikian bukan kerana kami tidak berhak menuntut pertolongan kamu, tetapi supaya kami menjadi teladan kepada kamu. 10 Semasa kami bersama-sama kamu, kami memberikan peraturan berikut, “Orang yang tidak mahu bekerja, tidak boleh makan.”
11 Kami berkata demikian kerana kami mendengar bahawa ada beberapa orang di kalangan kamu yang bermalas-malas. Mereka tidak melakukan sesuatu pun kecuali mencampuri urusan orang lain. 12 Demi nama Tuhan Yesus Kristus kami memerintah dan memperingatkan orang seperti itu, bahawa mereka mesti hidup dengan sepatutnya dan mencari nafkah sendiri.
13 Tetapi kamu, saudara-saudara seiman, janganlah jemu berbuat baik. 14 Mungkin ada orang yang tidak mahu mengikut apa yang kami katakan di dalam surat ini. Jika demikian, perhatikanlah mereka dan jangan bergaul dengan mereka agar mereka malu. 15 Tetapi janganlah anggap mereka sebagai musuh. Sebaliknya, nasihatilah mereka sebagai saudara.
Kata Terakhir
16 Semoga Tuhan, sumber kesejahteraan kita, sentiasa mengurniai kamu kesejahteraan dalam segala hal. Tuhan menyertai kamu semua.
17 Dengan tanganku sendiri aku menulis kata-kata ini: Salam daripada Paulus. Demikianlah caraku menandatangani semua suratku dan beginilah aku menulisnya.
18 Semoga Tuhan kita Yesus Kristus memberkati kamu semua.