Membuat Pakaian untuk Imam
(Kel 28.1-14)
39
Dengan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, mereka membuat pakaian indah untuk para imam. Para imam memakai pakaian itu apabila mereka bertugas di Bilik Suci. Mereka membuat pakaian imam untuk Harun seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.
Mereka membuat efod daripada kain linen halus, kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, dan benang emas. Mereka menempa kepingan emas dan menjadikannya jaluran-jaluran tipis untuk dijalin bersama kain linen halus dan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, yang dihias dengan sulaman. Selepas itu mereka membuat dua tali bahu pengikat efod, yang dijahitkan pada sisinya. Ikat pinggang yang ditenun halus daripada bahan yang sama, dijahitkan pada efod itu sehingga menjadi satu bahagian, seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. Mereka mencanai batu sardis lalu mengikatnya dengan bingkai emas. Dengan sangat mahir, mereka mengukir nama dua belas orang anak Yakub pada batu-batu permata itu. Kemudian batu-batu permata itu dipasang pada tali bahu efod untuk mewakili dua belas suku Israel, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.
Membuat Penutup Dada
(Kel 28.15-30)
Mereka membuat penutup dada dengan bahan-bahan itu juga, sama seperti yang digunakan untuk efod, dan sulamannya pun sama. Bentuknya empat persegi dan dilipat dua, 22 sentimeter panjang dan 22 sentimeter lebar. 10 Mereka memasang empat baris batu permata pada penutup dada itu. Pada baris pertama dipasangkan batu delima, batu topaz, dan batu garnet; 11 pada baris kedua dipasangkan batu zamrud, batu nilam, dan batu berlian; 12 pada baris ketiga dipasangkan batu firus, batu akik, dan batu kecubung; 13 pada baris keempat dipasangkan batu beril, batu sardis, dan batu jasper. Semua batu permata itu diikat dengan bingkai emas. 14 Pada tiap-tiap batu permata itu diukirkan salah satu nama anak-anak Yakub untuk mewakili dua belas suku Israel. 15 Mereka membuat rantai daripada emas tulen yang dipintal seperti tali untuk penutup dada itu. 16 Mereka membuat dua bingkai emas dan dua gelang emas, lalu memasangkan dua gelang emas itu pada sudut sebelah atas penutup dada. 17 Mereka mengikat dua utas rantai emas pada dua gelang emas, 18 lalu mengikat hujung rantai emas yang satu lagi pada kedua-dua bingkai. Dengan demikian penutup dada itu dapat dihubungkan dengan bahagian depan tali bahu efod. 19 Mereka membuat dua gelang emas dan memasangkannya pada penutup dada, di sudut bawah, di bahagian dalamnya yang kena efod. 20 Mereka membuat dua gelang emas lagi, dan memasangkannya ke bahagian bawah di depan dua tali bahu efod, dekat dengan kelim, dan di sebelah atas ikat pinggang yang ditenun halus. 21 Sesuai dengan perintah TUHAN kepada Musa, mereka mengikat gelang penutup dada itu pada gelang efod dengan tali biru, agar penutup dada itu terletak di atas ikat pinggang dan tidak terlepas.
Membuat Pakaian Lain untuk Para Imam
(Kel 28.31-43)
22 Jubah yang dipakai di bawah efod, seluruhnya ditenun daripada kain bulu berwarna biru. 23 Lubang lehernya diperkuat dengan pita tenunan supaya tidak mudah koyak. 24-26 Di sekeliling kelepet sebelah bawah jubah itu, mereka membuat hiasan berupa buah delima daripada kain linen halus dan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, di selang-seli dengan loceng daripada emas tulen, menurut perintah TUHAN kepada Musa.
27 Mereka membuat baju labuh daripada kain linen halus untuk Harun dan anak-anaknya, 28 dan juga serban, ikat kepala, celana pendek daripada kain linen, 29 ikat pinggang daripada kain linen halus, dan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, dihias dengan sulaman, seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. 30 Mereka membuat suatu perhiasan daripada emas tulen, suatu tanda yang suci bahawa mereka sudah ditahbiskan. Pada perhiasan itu mereka mengukir perkataan ini: “Ditahbiskan untuk TUHAN.” 31 Mereka mengikatkan perhiasan itu pada serban dengan tali biru, seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.
Pekerjaan Diselesaikan
(Kel 35.10-19)
32 Segala pekerjaan membina Khemah TUHAN itu telah selesai. Orang Israel membuat segala-galanya seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. 33 Mereka membawa Khemah TUHAN kepada Musa dengan segala peralatannya, cangkuk, rangka, kayu lintang, tiang dengan alas tiang; 34 penutup daripada kulit domba jantan yang dicelup merah; penutup daripada kulit halus; tirai; 35 Tabut Perjanjian yang mengandungi dua buah batu tulis, dan juga kayu pengusungnya serta penutupnya; 36 meja dan segala peralatannya, roti yang dipersembahkan kepada Allah; 37 kaki pelita daripada emas tulen, pelitanya, semua peralatannya, dan minyak pelita; 38 mazbah emas; minyak upacara; kemenyan yang harum; tirai pintu Khemah TUHAN; 39 mazbah gangsa dengan kekisinya, kayu pengusungnya dan segala peralatannya; besen dan alasnya; 40 tirai pagar, tiang pagar dan alas tiang; tirai untuk pintu pagar dan tali-talinya; pasak-pasak Khemah TUHAN; segala peralatan yang digunakan dalam Khemah TUHAN; 41 dan pakaian indah untuk para imam, yang dipakai semasa mereka bertugas di Bilik Suci, dan pakaian khas untuk Imam Harun, dan anak-anaknya. 42 Orang Israel telah menyelesaikan segala pekerjaan seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. 43 Musa memeriksa segala-galanya, dan melihat bahawa mereka telah membuat semuanya tepat seperti yang diperintahkan TUHAN. Oleh itu Musa memberkati mereka.