Musa Meramalkan Kematian Anak Lelaki Sulung
11
1 Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku akan menjatuhkan hanya satu hukuman lagi kepada raja Mesir dan rakyatnya. Selepas itu, dia akan membenarkan kamu pergi. Malah, dia akan menghalau kamu dari sini.
2 Oleh itu, berucaplah kepada segenap umat Israel; suruhlah mereka semua meminta barang perhiasan emas dan perak daripada jiran mereka.”
3 TUHAN menyebabkan orang Mesir menghormati orang Israel. Para pegawai dan rakyat Mesir sangat menghormati Musa.
4 Kemudian Musa berkata kepada raja, “Inilah yang difirmankan TUHAN, ‘Pada kira-kira tengah malam, Aku akan menjelajahi negeri Mesir.
5 Setiap anak lelaki sulung di Mesir akan mati, mulai daripada putera sulung raja yang menjadi waris takhta, hingga kepada anak lelaki sulung abdi perempuan yang mengisar biji-bijian. Anak sulung semua ternakan juga akan mati.
6 Tangisan yang kuat akan terdengar di seluruh Mesir; hal itu belum pernah terjadi dan tidak akan berlaku lagi.
7 Tetapi di kalangan orang Israel, baik manusia mahupun binatang, tidak akan diganggu. Dengan itu, engkau akan tahu bahawa Aku, TUHAN, membuat perbezaan antara orang Mesir dengan orang Israel.’”
8 Akhirnya Musa berkata, “Semua pegawai tuanku akan datang dan bersujud di hadapan hamba. Mereka akan memohon supaya hamba membawa seluruh bangsa hamba meninggalkan negeri ini. Selepas itu hamba akan pergi.” Lalu dengan sangat marah, Musa meninggalkan raja.
9 TUHAN sudah berfirman kepada Musa, “Raja tidak akan mendengarkan kata-katamu, supaya Aku dapat melakukan lebih banyak mukjizat di negeri Mesir.”
10 Musa dan Harun melakukan segala mukjizat itu di hadapan raja, tetapi TUHAN menyebabkan raja itu berdegil, sehingga raja tidak mahu membenarkan orang Israel meninggalkan negerinya.