Orang Yahudi Diperintahkan Melawan Musuh
8
Pada hari itu juga, Raja Ahasyweros memberi Permaisuri Ester semua harta Haman, musuh orang Yahudi. Ester memberitahu raja bahawa Mordekhai ialah sepupunya. Sejak itu Mordekhai diberikan hak untuk menghadap raja tanpa dipanggil lebih dahulu. Raja menanggalkan cincin meterai yang baru diambilnya semula daripada Haman, lalu memberikannya kepada Mordekhai. Ester pula melantik Mordekhai menjadi penguasa harta benda Haman.
Selepas itu Ester menghadap raja lagi sambil bersujud dan menangis. Dia memohon agar raja menghentikan komplot yang dirancang oleh Haman, keturunan Agag,g terhadap orang Yahudi. Raja menghulurkan tongkat emasnya kepada Ester, lalu bangkitlah Ester dan berkata, “Jika tuanku berkenan, dan jika tuanku menyayangi hamba, hendaknya tuanku mengeluarkan surat perintah untuk membatalkan surat perintah Haman anak Hamedata keturunan Agag, yang mengandungi perintah untuk membinasakan semua orang Yahudi di seluruh kerajaan. Bagaimana mungkin hamba sanggup melihat bencana yang berlaku terhadap bangsa hamba, dan melihat sanak saudara hamba dibunuh?”
Raja Ahasyweros bertitah kepada Permaisuri Ester dan Mordekhai, orang Yahudi itu, “Beta sudah menjatuhkan hukuman gantung kepada Haman kerana komplotnya terhadap orang Yahudi, dan beta sudah memberikan semua hartanya kepada Ester. Tetapi beta tidak dapat membatalkan perintah yang sudah dibuat atas nama beta sendiri, dan yang dimeteraikan dengan meterai diraja. Namun beta membenarkan kamu menulis surat kepada orang Yahudi, apa sahaja yang kamu kehendaki. Kamu boleh menulis surat itu atas nama beta dan memeteraikannya dengan meterai diraja.”
Perkara itu berlaku pada hari kedua puluh tiga bulan ketiga, iaitu bulan Siwan. Mordekhai memanggil para setiausaha raja dan memerintah mereka menulis surat kepada orang Yahudi, para gabenor, pegawai pentadbir, dan pembesar di seluruh 127 buah wilayah kerajaan itu, dari India sampai ke Etiopia.h Surat-surat itu ditulis kepada tiap-tiap wilayah dalam bahasa dan tulisan masing-masing. Dia juga mengirim surat kepada orang Yahudi dalam bahasa dan tulisan Yahudi. 10 Surat-surat itu ditulis atas nama Raja Ahasyweros dan dimeterai dengan cincin meterai diraja. Lalu Mordekhai menyuruh para utusan menghantar surat-surat itu ke seluruh wilayah kerajaan dengan menunggang kuda pantas kepunyaan raja.
11 Surat-surat itu membenarkan orang Yahudi di tiap-tiap kota untuk membela diri. Jika mereka, isteri dan anak mereka diserang di wilayah mana-mana pun oleh orang bersenjata daripada bangsa apa pun, mereka dibenarkan melawan dan membinasakan musuh itu. Mereka dibenarkan membunuh musuh sampai habis serta merampas harta musuh itu. 12 Titah itu dikuatkuasakan di seluruh Kerajaan Persia pada hari yang telah ditentukan bagi pembunuhan orang Yahudi, iaitu pada hari ketiga belas bulan kedua belas, iaitu bulan Adar. 13 Surat perintah itu harus dikuatkuasakan sebagai undang-undang, dan diisytiharkan kepada semua orang di tiap-tiap wilayah, supaya bangsa Yahudi bersiap sedia melawan musuh apabila hari itu tiba. 14 Kemudian atas perintah raja, para utusan itu berangkat dengan menunggang kuda kepunyaan raja dan pergi dengan secepat-cepatnya. Perintah itu diisytiharkan juga di Susan, ibu kota kerajaan.
15 Selepas itu Mordekhai meninggalkan istana, sambil memakai pakaian kebesaran berwarna biru dan putih, jubah ungu daripada kain linen yang halus, dan mahkota emas yang cantik sekali. Orang di jalan-jalan raya kota Susan bersorak-sorai kerana bersukacita. 16 Orang Yahudi berasa lega dan gembira, bahagia dan bangga. 17 Di tiap-tiap kota dan wilayah, di mana sahaja titah raja itu dibacakan, orang Yahudi bersukacita, bergembira, dan berpesta. Bahkan banyak orang menjadi warga bangsa Yahudi kerana mereka takut terhadap bangsa itu.
g 8:3 Agag: Lihat 3.1. h 8:9 Etiopia: Pada zaman dahulu, negeri ini terletak di sempadan negeri Mesir. Negeri ini juga dikenali sebagai Kus.