Ester Menjemput Raja dan Haman ke Jamuannya
5
1 Pada hari ketiga puasanya, Ester memakai pakaian permaisuri, lalu pergi ke halaman bahagian dalam di istana dan berdiri di hadapan pintu balairung. Raja sedang duduk di atas takhta yang menghadap pintu itu.
2 Apabila raja nampak Permaisuri Ester berdiri di luar, raja berasa sayang kepadanya, lalu menghulurkan tongkat emas kepadanya. Oleh itu Ester maju lalu menyentuh hujung tongkat itu.
3 Kemudian raja bertanya, “Apa hajat adinda, Permaisuri Ester? Katakanlah! Beta akan memberikannya meskipun setengah daripada kerajaan beta.”
4 Ester menjawab, “Jika tuanku berkenan, hamba ingin menjemput tuanku dan Haman ke jamuan makan yang hamba adakan untuk tuanku pada malam ini.”
5 Oleh itu raja memerintah Haman menghadap dengan segera supaya mereka dapat memenuhi jemputan Ester. Raja dan Haman menghadiri jamuan makan yang diberikan oleh Ester.
6 Ketika mereka minum wain, raja bertanya kepada Ester, “Sekarang katakanlah keinginanmu, dan beta akan mengabulkannya. Apa pun permintaan adinda akan beta berikan, walaupun setengah daripada kerajaan beta!”
7 Ester menjawab,
8 “Jika tuanku berkenan untuk mengabulkan permintaan hamba, hamba ingin menjemput tuanku dan Haman sekali lagi ke jamuan makan yang hamba adakan esok. Nanti pada waktu itu hamba akan mengajukan permohonan hamba kepada tuanku.”
Haman Berkomplot untuk Membunuh Mordekhai
9 Ketika Haman pulang dari jamuan itu, hatinya riang gembira. Tetapi apabila Haman nampak Mordekhai di pintu gerbang istana, dan Mordekhai tidak berdiri atau menunjukkan tanda penghormatan semasa dia lalu, Haman naik berang.
10 Tetapi Haman menahan diri dan terus pulang ke rumahnya. Dia menjemput sahabat-sahabatnya ke rumahnya dan memanggil isterinya Zeres duduk bersama-sama mereka.
11 Haman membanggakan diri di hadapan mereka - betapa kayanya dia, betapa banyaknya anak lelakinya, betapa pentingnya kedudukan yang diterimanya daripada raja, dan tingginya pangkatnya daripada pegawai lain.
12 “Tambahan pula,” Haman meneruskan lagi, “Permaisuri Ester hanya menjemput raja dan aku sendiri ke jamuan yang diberikannya, dan esok kami dijemput lagi untuk menghadiri jamuan.
13 Tetapi semuanya itu tidak bermakna bagiku selagi aku melihat Mordekhai orang Yahudi itu duduk di pintu gerbang istana.”
14 Setelah mendengar hal itu, isterinya dan semua sahabatnya berkata, “Dirikanlah sebuah tiang penggantungan setinggi 22 meter, dan pagi-pagi esok mintalah supaya raja menjatuhkan hukuman gantung kepada Mordekhai. Kemudian kamu dapat menghadiri jamuan itu dengan hati yang lega.” Haman berpendapat bahawa cadangan itu baik. Oleh itu dia menyuruh orang membina tiang penggantungan itu.