Ester menjadi Permaisuri
2
Beberapa lama kemudian, walaupun raja sudah tidak murka lagi, raja masih teringat akan perbuatan Permaisuri Wasti dan tindakan yang telah diambil terhadapnya. Oleh sebab itu beberapa orang penasihat yang akrab dengan raja berkata, “Mengapakah tuanku tidak mencari anak dara yang cantik untuk tuanku? Hendaklah tuanku melantik pegawai di semua wilayah kerajaan, lalu suruhlah mereka membawa semua anak dara yang cantik ke istana wanita di Susan, ibu kota ini. Serahkanlah mereka ke bawah jagaan Hegai, sida-sida yang menjadi ketua rumah tangga istana wanita. Dia akan mengurus mereka dan memberikan perawatan kecantikan kepada mereka. Selepas itu, hendaklah tuanku memilih seorang anak dara yang paling tuanku sukai, dan lantiklah dia sebagai permaisuri untuk menggantikan Permaisuri Wasti.”
Raja mendapati nasihat itu baik, lalu melaksanakannya.
Di ibu kota Susan, ada seorang Yahudi bernama Mordekhai anak Yair. Dia keturunan Kis dan Simei daripada suku Benyamin. Mordekhai telah ditawan ketika Yerusalem dikalahkan oleh Nebukadnezar, raja Babilonia. Mordekhai dibawa ke Babilonia bersama dengan Yoyakhin iaitu raja Yehuda, dan banyak orang tawanan yang lain. + Mordekhai mempunyai sepupu yang bernama Ester. Nama Ibraninya ialah Hadasa. Ester seorang gadis yang berwajah cantik dan bertubuh molek. Ibu bapa Ester sudah meninggal, lalu dia menjadi anak angkat Mordekhai. Dia diasuh sebagai anak Mordekhai sendiri.
Setelah titah raja itu diisytiharkan, banyak anak dara dibawa ke Susan, dan Ester ada di kalangan mereka. Dia dibawa ke istana, di bawah jagaan Hegai, ketua rumah tangga istana wanita. Hegai kagum melihat Ester dan suka kepadanya. Dengan segera Hegai memberi Ester perawatan kecantikan serta makanan yang khas. Dia memberi Ester bilik yang terbaik di dalam istana wanita itu. Hegai juga menyuruh tujuh orang gadis yang dipilih khas dari istana raja untuk melayani Ester.
10 Selama itu Ester merahsiakan bahawa dia seorang Yahudi, kerana dia menurut nasihat Mordekhai. 11 Tiap-tiap hari Mordekhai berjalan-jalan di halaman bahagian depan istana wanita itu untuk mengetahui bagaimana keadaan Ester, dan apa yang akan berlaku kepadanya.
12 Jangka masa rawatan kecantikan biasanya berlangsung selama satu tahun: enam bulan dengan minyak mur, dan enam bulan lagi dengan minyak wangi-wangian yang lain. Selepas itu, tiap-tiap anak dara itu bergilir-gilir dihadapkan kepada Raja Ahasyweros. 13 Pada masa seorang anak dara keluar dari istana wanita untuk menghadap raja, dia dibenarkan memakai apa sahaja yang dikehendakinya. 14 Anak dara itu dibawa ke istana raja pada petang hari, dan esok paginya dia dibawa ke istana lain di bawah jagaan Saasgas, sida-sida yang mengurus para gundik raja. Anak dara itu tidak akan menghadap raja lagi kecuali raja menghendakinya dan memanggil dia dengan menyebut namanya.
15 Kemudian tibalah giliran Ester untuk menghadap raja. Ester ialah anak Abihail, dan sepupu Mordekhai, yang sudah memeliharanya seperti anaknya sendiri. Ester dikagumi oleh setiap orang yang melihatnya. Apabila gilirannya tiba, Ester berpakaian menurut petunjuk dan nasihat Hegai, sida-sida yang menjadi ketua istana wanita itu. 16 Demikianlah pada tahun ketujuh pemerintahan Raja Ahasyweros, pada bulan kesepuluh, iaitu bulan Tebet, Ester dibawa menghadap Raja Ahasyweros di istana. 17 Ester menyenangkan hati dan membahagiakan raja lebih daripada semua anak dara yang lain. Oleh itu dialah yang paling dicintai raja. Raja mengenakan mahkota kerajaan pada kepala Ester dan menjadikan dia permaisuri untuk menggantikan Wasti. 18 Selepas itu, raja mengadakan jamuan besar untuk menghormati Ester lalu menjemput semua pembesar dan pegawainya. Raja mengisytiharkan hari cutid bagi seluruh kerajaan dan membahagi-bahagikan banyak sekali hadiah.
Mordekhai Menyelamatkan Raja
19 Sementara itu Mordekhai telah diangkat oleh raja menjadi seorang pegawai negeri. 20 Sehingga masa itu Ester masih belum memberitahu sesiapa pun bahawa dia berbangsa Yahudi. Mordekhai melarang dia memberitahu sesiapa pun tentang bangsanya. Ester mentaati Mordekhai seperti pada masa dia masih kanak-kanak dan diasuh oleh Mordekhai.
21 Pada suatu hari, ketika Mordekhai bertugas di istana, Bigtan dan Teres, iaitu dua orang sida-sida yang mengawal pintu ke bilik-bilik raja, berasa sakit hati terhadap raja. Oleh itu mereka bermuslihat untuk membunuh raja. 22 Mordekhai mengetahui muslihat mereka itu lalu memberitahu Permaisuri Ester. Dengan segera Permaisuri Ester memberitahu raja tentang apa yang diketahui oleh Mordekhai. 23 Ketika hal itu disiasat, maka nyatalah bahawa laporan itu benar; kedua-dua orang itu dihukum gantung. Kemudian raja memberikan perintah supaya hal itu dicatat di dalam catatan rasmi kerajaan.
+ 2:6 2 Raj 24.10-16; 2 Taw 36.10 d 2:18 hari cuti; atau pengurangan cukai.