YEHEZKIEL MENDAPAT PENGLIHATAN KEDUA TENTANG ALLAH
(8.1—10.22)
Penyembahan Berhala di Yerusalem
8
1 Pada hari kelima, bulan keenam dalam tahun keenam masa kami dalam buangan, para pemimpin orang buangan dari Yehuda berada di rumahku. Tiba-tiba kuasa TUHAN Raja menguasai aku.
2 Aku menengadah dan nampak sesuatu yang menyerupai manusia. Dari pinggangnya ke bawah, badannya seperti api bernyala-nyala; dari pinggangnya ke atas, dia bersinar seperti gangsa yang digilap.
3 Dia menghulurkan sesuatu yang menyerupai tangan lalu menyambar rambutku. Dalam penglihatan itu Roh Allah mengangkat aku tinggi ke udara dan membawa aku ke Rumah TUHAN di Yerusalem, ke pintu masuk di halaman dalam yang di sebelah utara. Di situ terletak patung berhala yang membangkitkan kemurkaan Allah.
4 Di situ aku nampak cahaya yang berkilauan, yang menandakan hadirat Allah Israel, seperti yang aku nampak ketika aku berada di tepi Sungai Kebar.
5 Allah berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, pandanglah ke arah utara.” Aku pun melihat, lalu aku nampak berhala yang membangkitkan kemurkaan Allah itu berhampiran dengan mazbah di jalan masuk ke pintu gerbang.
6 Allah berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, adakah engkau nampak apa yang sedang berlaku? Lihatlah perbuatan menjijikkan yang dilakukan oleh orang Israel, yang semakin menjauhkan Aku dari tempat-Ku yang suci. Engkau akan nampak perkara-perkara yang lebih keji lagi.”
7 Dia membawa aku ke pintu masuk di halaman luar dan menunjukkan sebuah lubang di tembok kepadaku.
8 Dia berfirman, “Hai manusia fana, besarkan lubang ini.” Aku pun melakukannya, lalu mendapati sebuah pintu.
9 Dia berfirman kepadaku, “Masuklah dan lihatlah perbuatan yang keji dan menjijikkan yang dilakukan oleh mereka di situ.”
10 Aku pun masuk dan melihatnya. Dinding di situ dilukisi segala jenis binatang melata dan binatang najis
11 Tujuh puluh orang pemimpin Israel berada di situ, termasuk Yaazanya anak Safan. Setiap orang memegang sebuah perbaraan yang mengepulkan asap.
12 Lalu Allah bertanya kepadaku, “Hai manusia fana, adakah engkau nampak apa yang sedang dilakukan oleh pemimpin Israel dengan diam-diam? Mereka semua bersembahyang di dalam bilik yang penuh berhala dengan alasan bahawa Aku tidak nampak mereka dan Aku telah meninggalkan negeri ini.”
13 Lalu TUHAN berfirman kepadaku, “Engkau akan melihat mereka melakukan hal-hal yang lebih menjijikkan daripada hal itu.”
14 Maka Dia membawa aku ke pintu gerbang utara Rumah TUHAN. Di situ aku diperlihatkan-Nya perempuan-perempuan yang sedang menangisi kematian Dewa Tamus.
15 Dia bertanya, “Hai manusia fana, adakah engkau nampak hal itu? Engkau akan melihat hal-hal yang lebih menjijikkan lagi.”
16 Oleh itu Dia membawa aku ke halaman dalam di Rumah TUHAN. Di situ, dekat pintu masuk ke tempat suci, di antara mazbah dan serambi, ada kira-kira dua puluh lima orang lelaki. Mereka membelakangi tempat suci itu dan bersujud ke arah timur untuk menyembah matahari yang terbit.
17 TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, adakah engkau nampak hal itu? Penduduk Yehuda tidak puas dengan perbuatan mereka yang menjijikkan ataupun keganasan yang telah dilakukan mereka di seluruh negeri ini. Bahkan mereka melakukan semua itu di sini juga, di dalam Rumah-Ku dan membuat Aku lebih murka lagi. Lihatlah bagaimana mereka menghina Aku dengan cara yang paling keji!
18 Mereka akan merasai kedahsyatan kemurkaan-Ku. Aku tidak akan melepaskan mereka ataupun mengasihani mereka. Mereka akan meneriakkan doa kepada-Ku dengan sekuat-kuatnya, tetapi Aku tidak akan mendengar mereka.”