Perumpamaan tentang Burung Helang dan Pokok Anggur
17
TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manuisa fana, sampaikanlah perumpamaan ini kepada umat Israel, supaya mereka tahu apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada mereka: Ada seekor burung helang raksasa yang berbulu cantik dan bersayap lebar yang terkembang. Helang itu terbang ke Pergunungan Lebanon, lalu mematahkan pucuk sebatang pokok sedar, kemudian membawanya ke negeri perdagangan dan meletakkannya di kota kaum pedagang. Kemudian helang itu mengambil sebatang tanaman muda dari negeri Israel lalu menanamnya di tanah yang subur dan berair. Tanaman itu menjadi pokok anggur yang rendah dan menjalar luas. Carangnya tumbuh ke atas menuju burung helang itu dan akarnya tumbuh dalam ke bawah tanah. Pokok anggur itu rimbun sekali.
Ada lagi seekor burung helang raksasa. Sayapnya lebar dan bulunya tebal. Lalu pokok anggur itu mengarahkan akar dan daunnya kepada burung helang yang kedua itu dengan harapan agar burung itu akan memberikan lebih banyak air daripada yang ada di ladang itu.x Padahal pokok anggur itu sudah ditanam di tempat yang subur dan berair, sehingga daun dan buahnya lebat, dan menjadi pokok anggur yang baik sekali.
Lalu Aku, TUHAN Raja bertanya: Dapatkah pokok anggur ini hidup dan tumbuh? Tidakkah burung helang yang pertama akan mencabut akarnya, memetik buah-buahnya, mematah-matahkan carangnya, lalu membiarkannya layu? Tidak diperlukan banyak tenaga atau bangsa yang kuat untuk melakukan hal itu. 10 Memang pokok itu telah ditanam, tetapi dapatkah pokok itu tumbuh dan membesar? Tidakkah pokok itu akan layu apabila ditiup angin timur? Tidakkah pokok itu akan layu di tempat tumbuhnya?”
Makna Perumpamaan Itu
11 TUHAN berfirman kepadaku, 12 “Tanyalah pemberontak-pemberontak itu sama ada mereka faham akan makna perumpamaan itu. Beritahulah mereka bahawa raja negeri Babilonia datang ke Yerusalem dan membawa raja serta pegawai-pegawai Yerusalem bersama-samanya balik ke Babilonia. 13 Dia membawa salah seorang anggota keluarga raja dan membuat perjanjian dengannya, lalu menyuruh dia bersumpah setia kepadanya. Raja Babilonia menawan pemimpin-pemimpin Yerusalem 14 agar negeri itu tidak dapat memberontak, dan untuk memastikan perjanjian itu akan ditepati. 15 Tetapi raja Yehuda memberontak dan mengirim utusan ke Mesir untuk mendapatkan kuda serta pasukan tentera yang besar. Adakah raja Yehuda akan berjaya? Adakah dia dilepaskan daripada akibat perbuatan itu? Tidak mungkin dia memungkiri perjanjian dan dilepaskan daripada hukuman!” +
16 “Demi Aku, Allah yang hidup,” TUHAN Raja berfirman, “raja Yehuda akan mangkat di Babilonia, kerana memungkiri sumpah dan perjanjiannya dengan raja Babilonia yang telah melantik dia menjadi raja. 17 Bahkan tentera raja Mesir yang kuat itu pun tidak dapat menolongnya dalam peperangan ketika orang Babilonia membina timbunan tanah dan menggali parit untuk membunuh banyak orang. 18 Raja Yehuda memungkiri sumpah dan perjanjiannya. Oleh itu, dia tidak akan dapat melepaskan diri.”
19 TUHAN Raja berfirman, “Demi Aku, Allah yang hidup, Aku akan menghukum raja Yehuda kerana memungkiri perjanjiannya dengan raja Babilonia. Dia telah memandang ringan sumpah yang dibuatnya demi nama-Ku. 20 Aku akan memasang jaring yang digunakan oleh pemburu dan menangkapnya. Aku akan membawa raja Yehuda ke Babilonia dan menghukumnya di sana, kerana dia tidak setia kepada-Ku. 21 Askar-askarnya yang paling gagah akan dibunuh dalam peperangan, dan mereka yang terselamat akan tercerai-cerai di serata tempat. Barulah kamu tahu bahawa Aku, TUHAN, telah berfirman.”
Allah Menjanjikan Harapan
22 Inilah firman TUHAN Raja,
“Aku akan memetik pucuk muda
dari puncak pokok sedar yang tinggi;
Aku akan menanamnya di gunung yang tinggi,
23 gunung yang tertinggi di Israel.
Pucuk itu akan bercabang dan berbuah,
lalu menjadi pokok sedar yang megah.
Berjenis-jenis burung akan bersarang di sana,
dan berlindung di bawah teduhnya.
24 Semua pokok di dalam negeri akan tahu
bahawa Akulah TUHAN.
Aku menebang pokok yang tinggi,
dan membuat pokok yang rendah meninggi.
Aku melayukan pokok yang hijau,
dan membuat pokok yang kering menghijau.
Aku, TUHAN, telah berfirman. Aku akan melaksanakan segala yang Kufirmankan.”
x 17:7 Lalu pokok anggur...ladang itu; atau Lalu pokok anggur itu menolak ladang tempat pokok itu tumbuh, dan mengarahkan akar dan daunnya kepada burung helang yang kedua itu dengan harapan agar burung itu akan memberikan air kepadanya. + 17:15 2 Raj 24.15-20; 2 Taw 36.10-13