8
Hanya seorang bijak dapat memahami makna segala perkara. Hikmat menyebabkan dia tersenyum dan wajahnya berseri.
Taatlah kepada Raja
Taatilah perintah raja, dan jangan terburu-buru berjanji kepada Allah. Raja dapat berbuat sesuka hati; oleh itu, jauhilah raja. Jangan berada di tempat yang berbahaya itu. Raja bertindak dengan penuh kuasa, dan tiada sesiapa pun dapat mencabar perbuatan raja. Kamu selamat selama kamu mentaati perintah raja, dan orang yang bijak tahu masa dan cara mentaatinya. Bagi tiap-tiap perkara ada masa dan cara membuatnya, cuma kita tahu sedikit sahaja. Kita semua tidak tahu hal yang akan berlaku pada masa hadapan, dan tiada sesiapa yang dapat memberitahu kita. Tiada seorang pun dapat mencegah atau menunda kematiannya. Kematian merupakan peperangan yang tidak dapat dielakkan walaupun dengan tipu daya.
Orang Jahat dan Orang Baik
Aku melihat segala perkara ini ketika aku memikirkan perkara-perkara yang berlaku di dunia. Sesetengah orang mempunyai kuasa, sedangkan yang lain terpaksa menderita di bawah kekuasaan mereka. 10 Pernah aku lihat orang jahat mati dan dikuburkan. Tetapi waktu pulang dari perkuburan, orang memuji orang yang sudah mati itu, di kota tempat mereka melakukan kejahatan. Semua itu sia-sia!
11 Orang sangat suka melakukan kejahatan kerana orang yang melakukannya tidak segera dihukum. 12 Walaupun orang berdosa melakukan seratus kejahatan, mereka terus hidup. Memang aku tahu orang berkata, “Orang yang taat kepada Allah akan hidup senang, 13 tetapi orang jahat akan hidup susah. Hidup orang jahat cepat berlalu seperti bayang-bayang, dan mereka akan mati semasa muda kerana tidak taat kepada Allah.” 14 Tetapi hal itu tidak betul. Lihatlah apa yang terjadi di dunia; kadang kala orang baik menerima hukuman yang sepatutnya diterima oleh orang jahat, sedangkan orang jahat menerima ganjaran yang sepatutnya diterima oleh orang baik. Hal itu pun sia-sia.
15 Oleh itu, aku yakin bahawa orang harus bergembira. Hanyalah makan, minum, dan bersuka-ria yang dapat dinikmati mereka. Setidak-tidaknya mereka dapat berbuat demikian semasa bersusah payah sepanjang hayat yang diberikan Allah kepada mereka di dunia ini.
16 Apabila aku mencuba mendapat hikmat dan memahami segala yang berlaku di dunia ini, aku sedar bahawa walaupun kita berjaga siang dan malam, 17 kita tidak memahami perbuatan Allah. Bagaimanapun kita mencuba, kita tidak akan memahaminya. Orang yang bijaksana mengaku bahawa mereka faham, tetapi sebenarnya tidak.