2
1 Aku mengambil keputusan untuk berseronok agar mengetahui erti kebahagiaan, tetapi usahaku sia-sia.
2 Aku mendapati bahawa ketawa itu suatu kebodohan, dan bahawa keseronokan tidak membawa faedah.
3 Kerana didorong oleh keinginan untuk beroleh hikmat, aku bertekad untuk menggembirakan hati dengan minum wain dan bersuka-suka. Aku menyangka inilah cara terbaik bagi seseorang menikmati hidupnya yang singkat di bumi.
4 Aku berjaya dalam banyak hal. Aku membina rumah dan mengusahakan ladang anggur.
5 Aku mengusahakan taman dan kebun yang ditanami berbagai-bagai pokok buah-buahan.
6 Aku menggali parit untuk mengairi taman dan kebun itu.
7 Aku mempunyai banyak abdi, baik yang kubeli ataupun yang dilahirkan di rumahku. Aku memiliki lebih banyak ternakan daripada sesiapa yang pernah tinggal di Yerusalem.
8 Aku mengumpulkan emas dan perak daripada perbendaharaan negeri-negeri yang aku perintah. Biduan dan biduanita menyanyi untuk menghiburkan aku, dan aku mempunyai perempuan sebanyak yang kuingini.
9 Aku demikian agung, lebih agung daripada sesiapa yang pernah tinggal di Yerusalem, dan hikmatku sentiasa menolong aku.
10 Aku mendapat segala sesuatu yang aku mahu. Aku tidak pernah menahan diri daripada menikmati keseronokan. Aku bangga dengan segala yang telah kuusahakan. Segalanya itu ganjaranku.
11 Kemudian aku merenungkan segala yang telah kulakukan, dan betapa kuat aku telah mengusahakannya. Lalu aku sedar bahawa segalanya tidak bermakna. Usahaku itu sia-sia seperti mengejar angin.
12 Seorang raja hanya dapat melakukan apa yang telah dilakukan oleh raja-raja yang sebelumnya.
Lalu aku mula berfikir tentang hikmat, kebebalan, dan kebodohan.
13 Aku memang tahu, “Hikmat lebih baik daripada kebodohan, seperti cahaya lebih baik daripada kegelapan.
14 Orang bijak tahu ke mana mereka pergi, sedangkan orang bodoh tidak.” Tetapi aku tahu juga bahawa kesudahan mereka semua sama!
15 Aku berfikir, “Kesudahanku sama dengan kesudahan orang bodoh. Oleh itu, apakah untungnya jika aku bijak?” Lalu aku mengambil kesimpulan bahawa hikmat itu memang tidak berguna sama sekali.
16 Tidak seorang pun ingat akan orang bijak, ataupun orang bodoh. Pada masa yang akan datang mereka semua akan dilupakan. Semua orang mesti mati, baik yang bijak mahupun yang bodoh.
17 Oleh itu, hidup tidak bermakna bagiku, kerana semua yang telah kualami, memberikan aku kesusahan semata-mata. Semua itu sia-sia; aku telah mengejar angin sahaja.
18 Tiada sesuatu pun yang telah kuusahakan dan kucapai bermakna bagiku, kerana aku tahu bahawa aku mesti menyerahkannya kepada penggantiku.
19 Siapa tahu? Mungkin dia bijak, mungkin dia bodoh! Namun dia akan mewarisi semua yang telah kuusahakan; segala yang telah kuperoleh di dunia dengan hikmatku. Semua itu sia-sia.
20 Aku menyesal kerana telah bekerja begitu keras.
21 Seseorang mengusahakan sesuatu dengan segala hikmat, pengetahuan, dan kemahirannya, kemudian terpaksa menyerahkan segala hasil jerih payahnya kepada seseorang yang tidak mengusahakannya. Bukankah itu sia-sia dan tidak adil?
22 Manusia bekerja dan khuatir seumur hidup, tetapi apakah hasilnya?
23 Selama mereka hidup, semua perbuatan mereka itu mendatangkan kekhuatiran dan penderitaan batin. Pada waktu malam pun hati mereka resah. Semua itu sia-sia!
24 Sebaik-baiknya yang dapat dilakukan oleh manusia adalah makan, minum, dan menikmati hasil usaha mereka. Namun aku sedar bahawa semua ini pemberian Allah juga.
25 Siapakah yang dapat makan dan menikmati hidup tanpa Allah?
26 Allah memberikan hikmat, pengetahuan, dan kegembiraan kepada orang yang menyenangkan hati-Nya. Tetapi orang berdosa disuruh-Nya bekerja mencari nafkah dan menimbun hasil, dan akhirnya semua itu diberikan kepada orang yang menyenangkan hati Allah. Semua itu sia-sia, seperti mengejar angin.