Persembahan daripada Hasil Tanaman
26
1 “Selepas kamu pergi ke tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu dan telah menetap di sana,
2 tiap-tiap orang harus mengumpulkan hasil pertama tanamannya dan memasukkannya di dalam sebuah bakul. Kemudian kamu harus membawanya ke satu tempat beribadat itu.
3 Pergilah kepada imam yang bertugas pada waktu itu dan katakanlah kepadanya, ‘Sekarang saya mengaku kepada TUHAN, Allah saya bahawa saya sudah datang ke tanah yang dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kita untuk diberikan kepada kita.’
4 Imam itu akan mengambil bakul itu daripada kamu, lalu meletakkannya di hadapan mazbah TUHAN, Allah kamu.
5 Kemudian, di hadapan TUHAN, Allah kamu, kamu harus mengucapkan kata-kata ini: ‘Nenek moyangku seorang Aram yang mengembara. Dia membawa keluarganya ke Mesir dan tinggal di sana sebagai orang asing. Pada waktu mereka pergi ke sana, bilangan mereka sedikit, tetapi kemudian mereka menjadi satu bangsa yang besar dan kuat.
6 Orang Mesir memperlakukan kami dengan kejam dan memaksa kami bekerja sebagai hamba.
7 Lalu kami berseru meminta tolong kepada TUHAN, Allah nenek moyang kami. TUHAN mendengarkan kami dan melihat penderitaan, kesusahan, serta kesengsaraan kami.
8 Dengan kuasa dan kekuatan-Nya yang besar Dia menyelamatkan kami dari Mesir. Dia mengadakan mukjizat dan perbuatan ajaib, serta perkara-perkara yang menakutkan.
9 Dia membawa kami ke sini dan memberi kami tanah yang kaya dan subur ini.
10 Oleh itu, sekarang kepada TUHAN, aku mempersembahkan bahagian pertama daripada hasil tanaman yang telah diberikan-Nya kepadaku.’
Selepas itu letakkan bakul itu di hadapan TUHAN, dan beribadatlah kepada-Nya di sana.
11 Bersyukurlah bagi segala rezeki yang sudah diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu dan keluarga kamu. Ajaklah suku Lewi dan orang asing yang tinggal di kalangan kamu ikut serta dalam perayaan itu.
12 Tiap-tiap tahun, kamu harus memberikan persepuluhan hasil tanaman kamu kepada TUHAN. Tetapi pada setiap tahun yang ketiga, berikanlah persepuluhan hasil tanaman kamu kepada orang Lewi, orang asing, anak yatim piatu, dan balu, supaya di tiap-tiap kota kamu, mereka mendapat makanan yang diperlukan. Setelah kamu berbuat demikian,
13 berkatalah kepada TUHAN, ‘Tidak sedikit pun persepuluhan yang harus dipersembahkan kepada-Mu tertinggal di rumahku. Aku sudah memberikan semuanya kepada orang Lewi, orang asing, anak yatim piatu, dan balu, sebagaimana Engkau perintahkan aku. Aku tidak membantah atau melupakan apa pun yang Engkau perintahkan tentang persembahan persepuluhan.
14 Aku tidak makan sedikit pun daripada persepuluhan itu semasa aku berkabung. Aku tidak membawanya keluar dari rumah ketika aku najis. Aku tidak memberikannya sebagai persembahan bagi orang mati. Aku sudah menurut perintah-Mu, ya TUHAN. Aku sudah melakukan segala yang Engkau perintahkan tentang persembahan persepuluhan.
15 Pandanglah ke bawah dari tempat-Mu yang suci di syurga dan berkatilah umat-Mu Israel; berkatilah juga tanah yang kaya dan subur ini, yang sudah Engkau berikan menurut janji-Mu kepada nenek moyang kami.’”
Umat Pilihan TUHAN
16 “Pada hari ini TUHAN, Allah kamu memerintah kamu supaya taat kepada segala hukum-Nya. Oleh itu taatilah hukum-hukum itu dengan setia dan dengan segenap jiwa raga kamu.
17 Pada hari ini kamu telah mengakui TUHAN sebagai Allah kamu. Kamu telah berjanji untuk patuh kepada-Nya, serta mentaati segala hukum dan perintah-Nya.
18 Pada hari ini juga TUHAN telah menerima kamu sebagai umat-Nya sendiri seperti yang dijanjikan-Nya, dan Dia memerintah kamu supaya taat kepada segala hukum-Nya.
19 Dia akan menjadikan kamu lebih termasyhur daripada semua bangsa lain yang sudah dijadikan-Nya, dan kamu akan dipuji dan dihormati. Kamu akan menjadi umat-Nya, seperti yang dijanjikan-Nya.”