Raja Nebukadnezar Memberikan Perintah supaya Rakyat Menyembah Patung Emas
3
1 Pada suatu masa Raja Nebukadnezar mendirikan sebuah patung daripada emas: tingginya 27 meter dan lebarnya hampir 3 meter. Baginda mendirikan patung itu di dataran Dura di wilayah Babel.
2 Kemudian raja memerintahkan semua pegawainya berkumpul - para raja wilayah, gabenor, ketua daerah, penasihat negara, bendahara, hakim, majistret, dan semua pegawai daerah. Mereka diwajibkan hadir pada upacara perasmian patung yang telah didirikan oleh Raja Nebukadnezar.
3 Ketika mereka semua berkumpul untuk upacara perasmian dan berdiri di hadapan patung itu,
4 terdengarlah seorang bentara mengumumkan dengan suara yang lantang, “Hai orang daripada semua bangsa, kaum, dan bahasa, dengarlah titah raja ini:
5 Kamu akan mendengar bunyi trompet, diikuti oleh permainan seruling, rebab, gambus, kecapi, dan alat-alat muzik yang lain. Sebaik sahaja muzik bermula, hendaklah kamu sujud dan menyembah patung emas yang telah didirikan oleh Raja Nebukadnezar.
6 Sesiapa yang tidak sujud dan menyembahnya akan segera dilemparkan ke dalam relau yang bernyala-nyala.”
7 Oleh itu, sebaik sahaja mereka mendengar bunyi alat-alat muzik itu, orang daripada semua bangsa, kaum, dan bahasa sujud serta menyembah patung emas yang didirikan oleh Raja Nebukadnezar.
Tiga Orang Yahudi Dituduh Melanggar Perintah
8 Ketika itulah beberapa orang Babilonia mengambil kesempatan untuk mencari kesalahan orang Yahudi.
9 Mereka berkata kepada Raja Nebukadnezar, “Daulat tuanku!
10 Tuanku telah bertitah bahawa sebaik sahaja muzik bermula, setiap orang harus sujud dan menyembah patung emas itu.
11 Sesiapa yang tidak sujud untuk menyembahnya akan dibuang ke dalam relau yang bernyala-nyala.
12 Beberapa orang Yahudi yang tuanku lantik menjadi pentadbir wilayah Babel tidak patuh akan perintah tuanku. Mereka ialah Sadrakh, Mesakh, dan Abednego. Mereka tidak sujud dan menyembah dewa tuanku, mahupun patung yang tuanku dirikan itu.”
13 Mendengar hal itu raja naik murka lalu memberikan perintah supaya ketiga-tiga orang itu dibawa menghadapnya.
14 Raja bertitah kepada mereka, “Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, betulkah kamu tidak mahu menyembah dewa beta dan tidak mahu sujud di hadapan patung emas yang telah beta dirikan itu?
15 Sekarang apabila kamu mendengar bunyi trompet, seruling, rebab, gambus, kecapi, dan alat-alat muzik yang lain, sujudlah serta sembahlah patung itu. Jika tidak, kamu akan segera dilemparkan ke dalam relau yang bernyala-nyala. Dewa manakah yang dapat menyelamatkan kamu?”
16 Sadrakh, Mesakh, dan Abednego menjawab, “Tuanku, kami tidak akan cuba membela diri.
17 Jika Allah yang kami sembah itu sanggup menyelamatkan kami dari relau yang bernyala-nyala dan daripada kuasa tuanku, Dia akan menyelamatkan kami.
18 Tetapi seandainya Dia tidak melakukannya juga, hendaklah tuanku maklum bahawa kami tidak akan menyembah dewa tuanku mahupun sujud menyembah patung emas yang tuanku dirikan itu.”
Tiga Orang Yahudi Dihukum Mati
19 Ketika itu Raja Nebukadnezar sangat murka terhadap Sadrakh, Mesakh, dan Abednego sehingga mukanya menjadi merah padam. Oleh itu raja memerintahkan orang-orangnya memanaskan relau tujuh kali lebih panas daripada biasa.
20 Baginda memerintah beberapa orang askar yang paling kuat untuk mengikat ketiga-tiga orang itu dan melemparkan mereka ke dalam relau yang bernyala-nyala itu.
21 Askar raja pun mengikat tiga orang itu yang masih berpakaian lengkap - baju labuh, jubah, serban dan semua pakaian lain - lalu melemparkan mereka ke dalam relau yang bernyala-nyala.
22 Oleh sebab raja memberikan perintah supaya relau itu dipanaskan lebih daripada biasa, api itu membakar sampai mati askar-askar yang melemparkan tiga orang itu ke dalam relau.
23 Sadrakh, Mesakh, dan Abednego jatuh ke dalam relau yang bernyala-nyala itu, dalam keadaan terikat.
24 Tiba-tiba Raja Nebukadnezar berdiri kerana terkejut dan bertanya kepada pegawai-pegawainya, “Bukankah kita mengikat tiga orang dan melemparkan mereka ke dalam relau yang bernyala-nyala itu?”
Mereka menjawab, “Benar, tuanku.”
25 “Tetapi mengapakah beta nampak empat orang berjalan-jalan di tengah-tengah api itu?” tanya raja. “Mereka tidak terikat, dan nampaknya mereka tidak cedera. Orang keempat itu rupanya seperti malaikat.”
Tiga Orang Yahudi Dibebaskan dan Dinaikkan Pangkat
26 Lalu Raja Nebukadnezar menghampiri pintu relau itu dan bertitah, “Sadrakh! Mesakh! Abednego! Hamba-hamba Allah Yang Maha Tinggi, keluarlah!” Mereka pun keluar dengan segera.
27 Semua raja, gabenor, ketua daerah, dan pegawai-pegawai yang lain berkumpul untuk melihat tiga orang yang tidak terbakar oleh api itu. Rambut mereka tidak hangus, pakaian mereka tidak terbakar, bahkan mereka tidak berbau asap pun.
28 Lalu raja bertitah, “Pujilah Allah yang disembah Sadrakh, Mesakh, dan Abednego! Dia telah mengutus malaikat untuk menyelamatkan orang yang berbakti serta percaya kepada-Nya. Mereka melanggar perintah beta dan berani mempertaruhkan nyawa daripada sujud menyembah dewa lain kecuali Allah mereka.
29 Sekarang dengarlah titah beta: Sesiapa daripada bangsa, kaum, atau bahasa apa pun yang menghina Allah Sadrakh, Mesakh, serta Abednego, akan dipotong-potong, dan rumahnya akan dirobohkan dan dijadikan timbunan puing. Tiada dewa yang dapat melakukan hal yang telah dilakukan Allah mereka.”
30 Selepas itu raja menaikkan pangkat Sadrakh, Mesakh, dan Abednego di wilayah Babel.