Yerusalem Dihukum dan Diselamatkan
3
1 Malanglah Yerusalem, kota derhaka yang suka memberontak terhadap TUHAN dan yang menindas penduduknya sendiri.
2 Kota itu tidak mengendahkan nasihat TUHAN, dan tidak pula menerima tegur ajar-Nya. Kota itu tidak berharap kepada TUHAN dan tidak meminta tolong kepada-Nya.
3 Para pembesar kota itu seperti singa yang mengaum-aum. Hakim-hakimnya seperti serigala lapar yang sangat rakus sehingga sepotong tulang pun tiada yang ditinggalkan untuk esok harinya.
4 Nabi-nabi kota itu tidak bertanggungjawab dan tidak dapat dipercayai; para imam menajiskan apa yang dikhaskan untuk TUHAN dan memutarbalikkan hukum Allah bagi kepentingan mereka sendiri.
5 Tetapi TUHAN masih di kota itu; Dia sentiasa melakukan yang benar dan tidak pernah melakukan yang salah. Setiap pagi Dia pasti memberikan keadilan kepada umat-Nya. Namun orang yang tidak mengenal keadilan di kota itu tetap berbuat jahat tanpa mengenal malu.
6 TUHAN berfirman, “Aku telah melenyapkan banyak bangsa; Aku menghancurkan kota-kota mereka, dan menjadikan tembok serta menara-menara mereka itu reruntuhan. Kota-kota mereka sunyi tanpa penghuni dan jalan-jalan pun lengang; tiada lagi orang yang tinggal di situ.
7 Aku berfikir, ‘Sekarang sudah tentu umat-Ku menghormati Aku dan menerima tegur ajar-Ku. Pasti mereka selalu mengingat pengajaran yang Aku berikan kepada mereka.’ Tetapi nampaknya, mereka lebih giat lagi berbuat jahat daripada sebelumnya.”
8 TUHAN berfirman, “Tetapi awas! Tunggu saja harinya Aku bangkit sebagai saksi untuk menuduh bangsa-bangsa. Aku telah mengambil keputusan untuk mengumpulkan bangsa-bangsa dan kerajaan-kerajaan supaya Aku dapat menimpakan kemurkaan-Ku kepada mereka. Seluruh bumi akan dimusnahkan oleh api kemurkaan-Ku.
9 Tetapi kemudian Aku akan mengubah hati bangsa-bangsa itu, sehingga mereka berdoa kepada-Ku sahaja dan bukan kepada tuhan-tuhan lain. Semua bangsa itu akan mentaati Aku.
10 Bahkan dari Etiopia
11 Pada masa itu, hai umat-Ku, kamu tidak perlu berasa malu lagi kerana telah memberontak terhadap Aku. Aku akan menyingkir setiap orang yang sombong dan angkuh; kamu tidak akan memberontak lagi terhadap Aku di bukit-Ku yang suci.
12 Orang yang hina dan yang rendah hati akan Kubiarkan tinggal di sana. Mereka akan datang meminta tolong kepada-Ku.
13 Orang Israel yang terselamat tidak akan berbuat jahat kepada sesiapa pun; mereka tidak akan berdusta dan tidak menipu. Mereka akan makmur dan aman; mereka tidak akan takut kepada sesiapa pun.”
Lagu Gembira
14 Hai umat Israel,
hendaklah kamu bersorak dan bernyanyi!
Hai penduduk Yerusalem,
hendaklah kamu bergembira dengan segenap hati!
15 TUHAN sudah berhenti menghukum kamu;
Dia telah mengusir semua musuh kamu.
TUHAN, raja Israel, menyertai kamu;
tiada lagi yang menakutkan kamu.
16 Akan tiba masanya orang berkata kepada Yerusalem,
“Hai Bukit Sion, jangan takut dan jangan putus asa.
17 TUHAN, Allah kamu menyertai kamu;
kamu menang kerana kuasa-Nya.
TUHAN gembira dan bersukacita kerana kamu;
Dia memberi kamu hidup baru
kerana Dia mengasihi kamu.
Kamu menyukakan hati-Nya,
maka Dia akan menyanyi dengan gembira,
18 seperti orang yang sedang berpesta.”
TUHAN berfirman,
“Aku tidak lagi membiarkan kamu ditimpa bencana;
Aku tidak lagi membiarkan kamu dihina.
19 Masanya akan tiba;
Aku akan menghukum penindas kamu.
Aku menyelamatkan orang tempang,
dan membawa pulang orang yang dibuang.
Aku akan menyebabkan orang menghormati mereka,
sehingga di seluruh dunia,
mereka tidak lagi dihina.
20 Masanya akan tiba;
Aku akan membawa pulang orang yang tercerai-cerai;
Aku akan menjadikan kamu termashyur di seluruh bumi,
dan menjadikan kamu makmur sekali lagi.”
TUHAN telah berfirman.