7
Doa Minta Keadilan
1 Ratapan Daud, yang dinyanyikan kepada TUHAN kerana Kus, orang Benyamin itu.
2 Ya TUHAN, Allahku, aku berlindung kepada-Mu;
selamatkanlah dan lepaskanlah aku
daripada semua orang yang memburu aku.
3 Jangan biarkan mereka seperti singa yang menerkam dan menyeret aku
ke tempat yang tiada seorang pun dapat menyelamatkan aku.
4-5 Ya TUHAN, Allahku, jika aku pernah berbuat jahat,
jika aku mengkhianati sahabat,
atau melakukan keganasan terhadap musuh tanpa sebab,
6 biarlah musuhku memburu dan menangkap aku,
lalu membunuh dan meninggalkan aku dalam debu!
7 Bangkitlah dengan kemurkaan-Mu, ya TUHAN,
dan tentanglah keganasan musuh-musuhku!
Bangkitlah dan tolonglah aku,
kerana keadilanlah yang Engkau tuntut.
8 Himpunkanlah bangsa-bangsa di sekeliling-Mu,
dan perintahlah mereka dari takhta-Mu di syurga.
9 Engkaulah yang menghakimi semua manusia.
Berilah aku keadilan, ya TUHAN, kerana aku tidak bersalah.
10 Hentikanlah kejahatan orang durjana,
dan berikanlah pahala kepada orang yang baik,
kerana Engkau Allah yang adil,
Engkau menyelami hati dan fikiran.
11 Pelindungku ialah Allah;
Dia menyelamatkan mereka yang mentaati-Nya.
12 Allah ialah hakim yang adil,
yang sentiasa menghukum mereka yang jahat.
13 Jika kelakuan mereka tidak berubah,
Allah akan mengasah pedang-Nya.
Dia menyiapkan dan melengkungkan busur-Nya;
14 Dia mengambil senjata-Nya yang berbahaya
dan melancarkan anak panah-Nya yang bernyala.
15 Lihatlah cara orang jahat memikirkan kejahatan;
mereka merancangkan kekacauan dan melakukan penipuan.
16 Mereka memasang perangkap untuk orang lain,
tetapi mereka sendiri jatuh ke dalamnya.
17 Demikianlah mereka terhukum oleh kejahatan sendiri,
dan tercedera oleh keganasan mereka sendiri.
18 Aku mengucap syukur kepada TUHAN kerana Dia adil,
aku menyanyikan pujian kepada TUHAN, Yang Maha Tinggi.