68
Lagu Kemenangan
1 Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Lagu.
2 Allah bangkit dan mencerai-beraikan musuh-Nya.
Orang yang membenci Dia lari daripada-Nya.
3 Allah mengusir mereka seperti angin meniup asap;
orang jahat binasa di hadirat Allah seperti lilin mencair di dalam api.
4 Tetapi umat Allah bergirang dan bersukacita di hadirat-Nya;
mereka bersorak-sorak dengan gembira.
5 Nyanyilah kepada Allah, pujilah nama-Nya;
sediakanlah jalan bagi Dia yang mengendarai awan.
Namanya TUHAN - bergiranglah di hadirat-Nya!
6 Allah yang tinggal di tempat kediaman-Nya yang suci,
memelihara anak yatim dan melindungi balu.
7 Dia memberikan keluarga kepada yang tidak ada saudara-mara,
dan membebaskan orang tawanan sehingga mereka bahagia;
tetapi pemberontak akan tinggal di tanah gersang.
8 Ya Allah, ketika Engkau memimpin umat-Mu,
ketika Engkau menyeberangi gurun,
9 bumi bergoncang dan langit mencurahkan hujan,
kerana kedatangan-Mu, Allah yang berfirman di Sinai,
kedatangan Allah umat Israel.
10 Engkau menurunkan hujan yang lebat,
serta memulihkan tanah yang gersang,
11 lalu umat-Mu tinggal di sana;
demi kebaikan-Mu, Engkau memelihara orang papa.
12 Tuhan memberikan perintah-Nya,
lalu banyak wanita membawa berita:
13 “Raja-raja dan tentera mereka sudah lari!”
Kaum wanita di rumah membahagikan barang rampasan,
dan yang tinggal menjaga domba pada masa perang
14 mendapat patung burung merpati yang diliputi perak,
yang sayapnya disaluti emas berkilauan.
15 Allah Yang Maha Kuasa mencerai-beraikan raja-raja di sana
seperti salji turun di Gunung Zalmon.
16 Betapa besarnya gunung Basan,
gunung yang mempunyai banyak puncak!
17 Mengapakah dari puncakmu yang banyak itu,
engkau memandang dengan cemburu
terhadap Bukit Sion yang dipilih Allah untuk kediaman-Nya?
TUHAN akan tinggal di sana selama-lamanya.
18 Dengan puluhan ribu kereta kuda-Nya yang besar,
Tuhan datang dari Sinai ke tempat yang suci itu.
19 Dia naik ke tempat yang tinggi,
membawa banyak orang tawanan bersama-sama-Nya,
dan menerima ufti daripada pemberontak.
TUHAN Allah akan tinggal di sana.
20 Pujilah Tuhan, kerana Dialah yang menyelamatkan kita;
setiap hari Dia menanggung beban kita.
21 Allah kita TUHAN yang menyelamatkan;
Dialah yang membebaskan kita daripada kematian.
22 Allah tentu akan meremukkan kepala musuh-Nya,
mereka yang terus hidup dalam dosa.
23 Tuhan berfirman, “Aku akan membawa musuh kamu kembali dari Basan,
Aku akan membawa mereka kembali dari lautan yang dalam,
24 supaya kamu dapat mencuci kaki dalam darah mereka,
dan anjing kamu menjilat darah itu dengan sepuas-puasnya.”
25 Perarakan kemenangan-Mu dilihat oleh semua orang, ya Allah,
perarakan Allahku, Rajaku, masuk ke tempat kediaman-Nya.
26 Para penyanyi berjalan di hadapan, pemain muzik di belakang,
dan gadis pemain tamburin di antara mereka.
27 “Pujilah Allah di tengah umat-Nya;
pujilah TUHAN, hai semua keturunan Yakub!”
28 Benyamin, suku yang terkecil berjalan di hadapan,
kemudian ketua-ketua Yehuda bersama dengan kumpulan mereka,
diikuti oleh ketua-ketua Zebulon dan Naftali.
29 Tunjukkanlah kuasa-Mu, ya Allah,
kuasa yang telah Engkau gunakan bagi kami.
30 Di Rumah-Mu, di Yerusalem,
raja-raja mempersembahkan ufti kepada-Mu.
31 Tegurlah Mesir, binatang liar itu yang di tengah-tengah gelagah;
tegurlah bangsa-bangsa, sekumpulan lembu jantan itu serta anak-anak mereka,
sehingga mereka semua bersujud dan mempersembahkan perak kepada-Mu.
Cerai-beraikan mereka yang gemar berperang!
32 Duta-duta dari Mesir datang membawa gangsa;
orang Etiopia
33 Nyanyilah bagi Allah, hai kerajaan-kerajaan dunia,
nyanyikanlah pujian kepada Tuhan,
34 kepada Dia yang melintasi langit purba.
Dengarlah Dia berseru dengan kuat.
35 Isytiharkanlah kuasa Allah;
Dia memerintah seluruh Israel,
kuasa-Nya kelihatan di angkasa.
36 Sungguh mengagumkan Allah kita
waktu Dia keluar dari tempat kediaman-Nya,
Allah umat Israel memberikan kuasa dan kekuatan kepada umat-Nya.
Pujilah Allah!