45
Lagu Perkahwinan Diraja
Mazmur puak Korah. Lagu kasih. Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Bunga Bakung.
Hati hamba penuh dengan kata-kata yang indah
semasa hamba menggubah lagu ini untuk raja;
lidah hamba umpama batang pena seorang pujangga.
Tuanku yang paling kacak antara manusia,
titah tuanku penuh kebaikan,
sebab itu, tuanku diberkati Allah selama-lamanya.
Ikatkan pedang pada pinggang, hai raja perkasa,
tuanku sungguh agung dan mulia!
Majulah dengan kemuliaan menuju kemenangan,
untuk membela kebenaran dan keadilan,
dengan kekuatan tuanku, rebutlah kemenangan yang besar.
Anak panah tuanku yang tajam akan menembusi jantung musuh;
bangsa-bangsa akan rebah ke bawah kaki tuanku.
Takhta yang dikurniakan Allah kepada tuankuc
akan kekal selama-lamanya.
Tuanku memerintah rakyat dengan adil;
tuanku mencintai perkara yang benar dan membenci perkara yang jahat.
Oleh itu, Allah, Allah tuanku telah memilih tuanku,
dan membahagiakan tuanku lebih daripada raja lain. +
Pakaian tuanku berbau mur, gaharu, dan cendana;
pemuzik di istana gading membuat tuanku gembira.
10 Antara wanita yang disayangi tuanku terdapat puteri-puteri,
dan di sebelah kanan takhta tuanku berdiri permaisuri
yang memakai perhiasan emas murni.
11 Dengarlah kata-kata hamba,
hai permaisuri,
lupakanlah bangsa serta kerabat tuanku.
12 Kecantikan tuanku memikat hati raja,
tuanku milik baginda,
taatlah kepada baginda.
13 Rakyat Tirus akan membawa hadiah untuk tuanku,
orang kaya akan mencuba mengambil hati tuanku.
14 Puteri masuk dengan penuh seri,
pakaiannya bersulam benang emas.
15 Dengan pakaian berwarna-warni puteri dibawa menghadap raja,
diiringi oleh anak-anak dara,
yang juga dibawa menghadap raja.
16 Dengan sorakan yang gembira,
mereka masuk ke istana raja.
17 Tuanku, raja hamba akan mempunyai banyak putera,
untuk meneruskan kerajaan nenek moyang tuanku,
dan tuanku akan menjadikan mereka pemerintah di seluruh dunia.
18 Lagu hamba akan mengekalkan kemasyhuran tuanku turun-temurun,
dan bangsa-bangsa akan memuji tuanku selama-lamanya.
c 45:7 Takhta...tuanku; atau Pemerintahan-Mu, ya Allah. + 45:8 Ibr 1.8-9