37
Kesudahan Orang Jahat dan Orang Baik
1 Mazmur Daud.
Jangan geram kerana orang jahat;
jangan cemburu akan mereka yang berbuat salah.
2 Mereka segera lenyap seperti rumput,
dan layu seperti tumbuh-tumbuhan hijau.
3 Percayalah kepada TUHAN dan buatlah perkara yang baik;
tinggallah di negeri ini dan kamu akan selamat.
4 Carilah kebahagiaan yang datang daripada TUHAN,
dan Dia akan memuaskan keinginan hatimu.
5 Serahkanlah hidupmu kepada TUHAN,
berharaplah kepada-Nya dan Dia akan menolong engkau;
6 Dia akan menyebabkan kebaikanmu
bersinar seperti matahari pada waktu tengah hari.
7 Nantikanlah TUHAN dengan hati yang tenang,
tunggulah dengan sabar sampai Dia bertindak.
Jangan geram kerana orang yang hidup makmur,
atau kerana orang yang melakukan tipu muslihat.
8 Jangan marah atau panas hati;
hal itu hanya mendatangkan kecelakaan.
9 Orang yang berharap kepada TUHAN akan mewarisi negeri ini,
tetapi orang yang jahat akan diusir.
10 Orang yang jahat akan lenyap dengan segera;
walaupun dicari, mereka tidak akan dijumpai.
11 Orang yang rendah hati akan mewarisi negeri ini,
dan menikmati kemakmuran yang berlimpah-limpah.
12 Orang jahat berkomplot menentang orang baik
dan memandang mereka dengan benci.
13 Tetapi Tuhan mentertawakan orang jahat,
kerana Dia tahu kesudahan mereka sudah dekat.
14 Orang jahat menghunus pedang dan melengkungkan busur
untuk membunuh orang yang miskin dan susah,
untuk membantai orang yang baik;
15 tetapi mereka akan ditikam oleh pedang mereka sendiri,
dan busur mereka akan dipatahkan.
16 Sedikit barang yang dimiliki orang baik
lebih berharga daripada kekayaan semua orang jahat,
17 kerana TUHAN akan mematahkan kuasa orang jahat
dan melindungi orang baik.
18 TUHAN memelihara mereka yang mentaati-Nya,
dan negeri ini menjadi pusaka mereka selama-lamanya.
19 Mereka tidak akan menderita pada masa kesusahan;
mereka akan berkecukupan pada masa kelaparan.
20 Tetapi orang jahat akan mati;
musuh TUHAN akan hilang seperti bunga di padang;
mereka akan lenyap seperti asap.
21 Orang jahat meminjam dan tidak membayar balik,
tetapi orang baik memberi dengan murah hati.
22 Mereka yang diberkati TUHAN akan mewarisi negeri ini,
tetapi mereka yang dikutuk oleh-Nya akan diusir.
23 TUHAN memimpin orang ke jalan yang harus ditempuhnya
dan melindungi orang yang diperkenankan-Nya.
24 Jika orang itu jatuh, dia tidak akan cedera,
kerana TUHAN memegang tangannya.
25 Kini aku sudah tua dan sudah hidup lama,
tetapi aku tidak pernah melihat orang baik ditinggalkan TUHAN,
ataupun anak mereka meminta-minta makanan.
26 Mereka sentiasa memberi dan meminjamkan dengan murah hati,
dan anak-anak mereka menjadi berkat bagi mereka.
27 Tinggalkanlah yang jahat dan lakukanlah yang baik,
supaya keturunanmu hidup di negeri ini selama-lamanya;
28 kerana TUHAN suka akan kebenaran,
dan tidak meninggalkan umat-Nya yang setia.
Dia melindungi mereka selama-lamanya,
tetapi keturunan orang jahat akan diusir.
29 Orang yang salih akan memiliki negeri ini,
dan tinggal di sini selama-lamanya.
30 Kata-kata orang yang baik itu bijak,
dan mereka sendiri pun adil.
31 Mereka menyimpan Taurat Allah dalam hati
dan tidak menyimpang daripadanya.
32 Orang jahat mengawasi orang baik
serta mencari kesempatan untuk membunuh mereka;
33 tetapi TUHAN tidak menyerahkan mereka ke dalam tangan musuh
ataupun membiarkan mereka dihukum ketika diadili.
34 Berharaplah kepada TUHAN dan taatilah perintah-Nya;
Dia akan memberi kamu negeri ini untuk menghormatimu,
dan kamu akan melihat orang jahat dihalau.
35 Aku pernah melihat orang jahat yang suka menindas orang lain;
mereka tinggi seperti pokok sedar di Lebanon;
36 kemudian aku lalu, tetapi mereka tiada lagi;
aku mencari tetapi tidak menjumpai mereka.
37 Perhatikanlah orang yang baik dan orang yang salih;
orang yang suka akan perdamaian mempunyai keturunan;
38 tetapi orang yang berdosa akan dibinasakan,
dan keturunan mereka pun dihapuskan.
39 Orang yang salih diselamatkan oleh TUHAN;
Dia melindungi mereka pada masa kesusahan.
40 Dia menolong dan menyelamatkan mereka;
serta membebaskan mereka daripada orang jahat,
kerana mereka minta perlindungan daripada-Nya.