141
Doa Malam
1 Mazmur Daud.
Aku berseru kepada-Mu, ya TUHAN; tolonglah aku sekarang!
Dengarlah aku apabila aku berseru kepada-Mu.
2 Terimalah doaku sebagai kemenyan,
dan sambutlah tangan yang aku tadahkan sebagai korban malam.
3 Ya TUHAN, kawallah mulutku,
dan jagalah bibirku.
4 Jauhkan aku daripada keinginan berbuat jahat,
dan daripada pergaulan dengan orang derhaka.
Jangan biarkan aku berpesta dengan mereka.
5 Aku rela menerima hukuman dan teguran daripada orang baik,
tetapi aku tidak akan menerima pujian daripada orang jahat
kerana aku sentiasa berdoa menentang perbuatan jahat mereka.
6 Apabila pemerintah mereka dicampakkan dari tebing batu,
barulah mereka akan mengakui bahawa perkataanku benar.
7 Seperti kayu yang dibelah dan ditetak kecil-kecil,
begitulah juga tulang mereka dihamburkan di tepi kubur.
8 Tetapi aku tetap percaya kepada-Mu, ya TUHAN Rajaku;
aku mengharapkan perlindungan-Mu;
janganlah biarkan aku mati!
9 Lindungilah aku dari perangkap yang dipasang untukku,
dari jerat yang dipasang oleh orang jahat.
10 Biarlah mereka jatuh ke dalam perangkap mereka sendiri,
sedangkan aku dapat melepaskan diri dan selamat.