11
Keyakinan terhadap TUHAN
1 Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud.
Aku yakin bahawa TUHAN akan melindungi aku.
Tidak ada gunanya berkata kepadaku,
“Terbanglah seperti burung ke gunung,
2 kerana di tempat yang gelap, orang jahat telah melengkungkan busur,
dan memasang anak panah untuk memanah orang baik.
3 Tiada apa-apa lagi yang dapat dilakukan orang baik
apabila tata tertib masyarakat musnah.”
4 TUHAN berada di Rumah-Nya yang suci;
Dia mempunyai takhta di syurga.
Dia memperhatikan semua manusia
dan mengetahui segala perbuatan mereka.
5 Dia menguji orang baik dan orang jahat;
Dia sangat membenci orang yang mencintai keganasan.
6 Orang jahat dihukum-Nya dengan malapetaka,
dengan arang berapi, belerang, dan angin yang menghanguskan.
7 TUHAN adil dan mengasihi orang yang berbuat baik;
orang jujur akan melihat dan mengenal Dia.