104
Pujian bagi Pencipta
1 Pujilah TUHAN, hai jiwaku!
Ya TUHAN, Allahku, betapa agungnya Engkau!
Engkau diliputi keagungan dan kemuliaan,
2 dan diselubungi cahaya.
Engkau membentangkan langit seperti khemah,
3 dan membina rumah-Mu di tempat yang lebih tinggi daripada langit.
Engkau menunggang awan
dan mengenderai angin.
4 Engkau menggunakan angin sebagai pesuruh-Mu,
dan pancaran kilat sebagai hamba-Mu.
5 Engkau mendirikan bumi kukuh pada asasnya,
supaya tidak sekali-kali bergoyang.
6 Engkau menyelubungi bumi dengan lautan,
dan air menutupi pergunungan;
7 tetapi air pun turun apabila Engkau menegurnya;
air mengalir dengan deras apabila mendengar gemuruh suara-Mu.
8 Air mengalir melalui gunung ke lembah,
ke tempat yang telah Engkau sediakan.
9 Engkau menentukan sempadan yang tidak boleh dilalui,
supaya air tidak membanjiri bumi lagi.
10 Engkau menjadikan mata air memancar di lembah-lembah,
dan air sungai mengalir di sela-sela bukit,
11 untuk memberi binatang liar minuman,
dan untuk melepaskan dahaga keldai hutan.
12 Di pokok-pokok yang berhampiran,
burung berkicau dan membuat sarang.
13 Dari langit Engkau menurunkan hujan ke atas pergunungan,
bumi penuh dengan berkat-Mu.
14 Engkau menumbuhkan rumput untuk lembu,
dan tanaman untuk kegunaan orang,
supaya manusia dapat bercucuk tanam,
15 dan menghasilkan wain untuk menghiburkan hati,
minyak zaitun untuk menyerikan muka,
dan makanan untuk memberikan tenaga.
16 Pokok sedar di Lebanon mendapat banyak hujan,
pokok-pokok yang ditanam oleh TUHAN.
17 Di sana burung-burung bersarang,
burung bangau bersarang di puncaknya.
18 Kambing hutan tinggal di gunung yang tinggi,
dan landak bersembunyi di tebing.
19 Engkau menciptakan bulan untuk menanda musim;
matahari pun tahu waktunya untuk terbenam.
20 Engkau menjadikan malam, dan dalam kegelapan
semua binatang hutan berkeliaran.
21 Anak singa mengaum ketika berburu,
mencari makanan yang diberikan Allah.
22 Apabila matahari terbit, binatang pulang
dan berbaring di tempat persembunyian.
23 Kemudian manusia keluar bekerja,
dan terus bekerja sehingga petang.
24 Ya TUHAN, sungguh banyak ciptaan-Mu!
Sungguh bijak Engkau mencipta semuanya!
Bumi penuh dengan makhluk ciptaan-Mu.
25 Lihatlah laut luas terbentang,
dengan makhluk besar kecil, tidak terbilang.
26 Di situ kapal-kapal belayar,
dan Lewiatan, raksasa laut ciptaan-Mu, bermain-main.
27 Semuanya bergantung kepada-Mu,
untuk mendapat makanan pada waktunya.
28 Engkau memberikan makanan, dan makhluk ciptaan-Mu mengumpulkannya;
Engkau memberikan semuanya makanan sehingga kenyang.
29 Apabila Engkau berpaling, makhluk ciptaan-Mu takut;
apabila Engkau mengambil balik nafas-Mu, semuanya binasa,
dan kembali ke tanah, menjadi debu semula.
30 Tetapi apabila Engkau memberikan nafas, semuanya hidup;
Engkau memberikan kehidupan baru kepada bumi.
31 Semoga kemuliaan TUHAN kekal selama-lamanya!
Semoga TUHAN bergembira dengan semua ciptaan-Nya!
32 Dia memandang bumi, bumi pun bergentar;
Dia menyentuh gunung, gunung pun berasap.
33 Aku akan menyanyi untuk TUHAN sepanjang umurku;
aku akan menyanyikan pujian bagi Allahku seumur hidupku.
34 Semoga nyanyianku menyenangkan hati-Nya,
kerana Dialah yang membuat hatiku gembira.
35 Biarlah orang berdosa dihapuskan dari muka bumi,
biarlah orang jahat habis binasa.
Pujilah TUHAN, hai jiwaku!
Pujilah TUHAN!