Kawanan Domba Allah
5
1 Aku meminta perhatian pemimpin-pemimpin jemaah di kalangan kamu. Aku juga pemimpin jemaah dan aku sudah menyaksikan penderitaan Kristus. Aku akan turut dimuliakan apabila kemuliaan Kristus dinyatakan kepada manusia. Aku menggesa kamu
2 supaya kamu menjaga jemaah yang diberikan oleh Allah kepada kamu, seperti gembala menjaga kawanan domba. Jagalah jemaah dengan senang hati sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah. Janganlah lakukan tugas itu dengan berat hati. Jangan lakukan pekerjaan kamu hanya untuk mendapat upah, tetapi lakukannya kerana kamu sungguh-sungguh ingin melakukannya.
3 Janganlah bertindak sebagai penguasa terhadap orang yang dipercayakan kepada kamu, tetapi jadilah teladan kepada mereka.
4 Apabila Gembala Agung itu datang kelak, kamu akan menerima mahkota yang mulia dan kekal.
5 Demikian juga kamu, orang muda, hendaklah kamu taat kepada orang yang lebih tua. Hendaklah kamu semua merendahkan diri dan saling melayani, kerana di dalam Alkitab tertulis, “Allah menentang orang yang sombong, tetapi Dia merahmati orang yang rendah hati.”
6 Oleh itu, rendahkanlah diri kamu ke bawah tangan Allah yang berkuasa, supaya Dia meninggikan kamu pada masa yang ditetapkan-Nya.
7 Serahkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Allah, kerana Dia mengambil berat tentang kamu.
8 Berjaga-jagalah dan berwaspadalah, kerana Iblis, musuh kamu merayau-rayau seperti singa yang mengaum sambil mencari mangsa.
9 Teguhkanlah iman dan lawanlah Iblis, kerana kamu tahu bahawa saudara-saudara sesama Kristian lainnya di seluruh dunia, juga mengalami penderitaan yang sama.
10 Tetapi setelah kamu menanggung penderitaan untuk sementara waktu, Allah sendiri akan menyempurnakan kamu. Dia akan menegakkan, menguatkan, dan mengukuhkan kamu, kerana Dia Allah yang sangat baik hati dan yang sudah memanggil kamu untuk turut menikmati kemuliaan-Nya yang kekal, kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus.
11 Dialah yang berkuasa selama-lamanya! Amin.
Salam Penutup Surat
12 Suratku yang ringkas ini aku tulis kepada kamu dengan pertolongan Silas, yang aku anggap sebagai seorang saudara Kristian yang setia. Aku ingin menggalakkan kamu dan memberikan kesaksianku bahawa apa yang aku tulis ini berkenaan dengan rahmat Allah untuk kamu. Hendaklah kamu sentiasa bersandar kepada rahmat-Nya.
13 Jemaah di Babel yang juga dipilih oleh Allah, mengirim salam kepada kamu, demikian juga anakku Markus.
14 Bersalam-salamanlah dengan penuh kasih sayang.
Semoga Allah mengurniakan kesejahteraan kepada kamu semua yang menjadi milik Kristus.