NAHUM
Kata Pengantar
Kitab Nahum ditulis untuk memperingati kejatuhan kota Niniwe, ibu kota bangsa Asyur. Bangsa Asyur adalah musuh Israel sejak dahulu kala. Kejatuhan kota Niniwe, yang berlaku menjelang akhir abad ketujuh Sebelum Masihi, dianggap sebagai hukuman Allah terhadap bangsa yang kejam dan angkuh itu.
Kandungan
Hukuman terhadap Niniwe 1.1-15
Kejatuhan Niniwe 2.1—3.19
1
Inilah perkhabaran daripada Allah tentang kota Niniwe. Perkhabaran ini dinyatakan dalam penglihatan kepada Nahum, seorang nabi yang berasal dari Elkos.
Kemurkaan TUHAN terhadap Niniwe
TUHAN Allah tidak mahu mempunyai saingan;
orang yang melawan-Nya pasti mendapat hukuman.
Dengan sangat murka,
Dia membalas dendam terhadap musuh-Nya.
TUHAN tidak cepat murka,
tetapi Dia berkuasa,
dan Dia tidak pernah membebaskan
orang yang melakukan kesalahan daripada hukuman.
Di tempat TUHAN berjalan,
muncul puting beliung dan taufan;
awan ialah debu daripada kakinya.
Atas perintah-Nya, laut menjadi kering;
sungai pun dikeringkan.
Padang-padang di Basan kersang,
Gunung Karmel pun gersang,
maka layulah bunga-bunga di Lebanon.
Gunung-gunung bergoncang di hadirat TUHAN;
bukit-bukit lebur di hadapan-Nya.
Bumi bergempa ketika TUHAN tiba;
gemparlah dunia dan semua penduduknya.
Siapakah yang dapat tahan apabila TUHAN murka?
Tiada sesiapa pun boleh terlepas daripada kemurkaan-Nya.
Dia melampiaskan kemurkaan-Nya yang menyala-nyala,
sehingga batu hancur dan menjadi debu di hadapan-Nya.
TUHAN itu baik;
Dia melindungi umat-Nya pada masa mereka susah,
Dia menjaga orang yang berlindung kepada-Nya.
Dia membinasakan semua musuh-Nya,a
Dia seperti banjir besar yang melanda mereka.
Dia mencabut nyawa orang yang melawan kehendak-Nya.
Kejahatan apakah yang kamu rancang terhadap TUHAN?
Dia akan membinasakan kamu semua.
Dia tidak perlu membalas dendam-Nyab
sampai dua kali terhadap musuh-Nya.c
10 Kamu pemabuk akan dibakar seperti jerami kering,
seperti semak duri yang berbelit-belit.d
11 Daripadamu, hai Niniwe, sudah muncul seorang yang penuh dengan rancangan jahat. Dia membuat rancangan untuk melawan TUHAN. 12 Inilah firman TUHAN kepada umat-Nya, “Walaupun orang Asyur kuat dan banyak, mereka akan dibinasakan lalu lenyap. Hai umat-Ku, meskipun Aku sudah menyebabkan kamu menderita, Aku tidak akan melakukannya lagi. 13 Sekarang Aku akan mengakhiri kekuasaan Asyur atas kamu, dan Aku memutuskan rantai yang membelenggu kamu.”
14 Inilah keputusan TUHAN tentang Asyur, “Mereka tidak akan mempunyai keturunan untuk meneruskan bangsa mereka. Aku akan menghancurkan patung-patung berhala yang di dalam kuil-kuil dewa mereka. Aku sedang menyediakan kubur untuk orang Asyur; mereka tidak layak hidup!”
15 Lihatlah, seorang utusan datang melalui gunung-gunung untuk menyampaikan berita baik. Dia datang untuk mengisytiharkan kemenangan! Hai penduduk Yehuda, rayakanlah perayaan-perayaan kamu dan tunaikanlah nazar yang kamu janjikan kepada Allah. Orang jahat tidak sekali-kali akan menyerang negeri kamu lagi. Mereka sudah dibinasakan sama sekali. +
a 1:8 Beberapa buah terjemahan kuno: musuh-Nya. Naskhah Ibrani: tempatnya. b 1:9 Sebuah terjemahan kuno: membalas dendam-Nya. Naskhah Ibrani: bangkit. c 1:9 Sebuah terjemahan kuno: musuh-Nya. Naskhah Ibrani: kesengsaraan. d 1:10 Dalam naskhah Ibrani ayat 10 tidak jelas. + 1:15 Yes 52.7