Kota-Kota Suku Lewi
21
1 Kemudian para ketua keluarga daripada suku Lewi datang menghadap Imam Eleazar, Yosua anak Nun, dan ketua-ketua keluarga semua suku Israel.
2 Di Silo, di tanah Kanaan mereka berkata, “TUHAN memberikan perintah melalui Musa supaya kami diberikan kota-kota sebagai tempat tinggal dan padang rumput di sekeliling kota bagi ternakan kami.”
3 Oleh itu, menurut perintah TUHAN, umat Israel memberi suku Lewi beberapa buah kota dengan padang rumput di sekelilingnya daripada wilayah mereka sendiri.
4 Keluarga-keluarga daripada puak Kehat adalah yang pertama menerima kota-kota mereka. Keturunan Imam Harun menerima tiga belas buah kota dari wilayah Yehuda, Simeon, dan Benyamin.
5 Puak Kehat yang lain menerima sepuluh buah kota dari wilayah Dan, Efraim, dan Manasye Barat.
6 Puak Gerson menerima tiga belas buah kota dari wilayah Isakhar, Asyer, Naftali, dan Manasye Timur.
7 Keluarga-keluarga daripada puak Merari menerima dua belas buah kota dari wilayah Ruben, Gad, dan Zebulon.
8 Demikianlah dengan membuang undi, umat Israel memberikan kota-kota itu dan padang rumput di sekelilingnya kepada suku Lewi, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN dengan perantaraan Musa.
9 Inilah nama kota-kota dari wilayah Yehuda dan Simeon yang diberikan
10 kepada keturunan Harun, iaitu salah satu keluarga daripada puak Kehat keturunan Lewi. Mereka mendapat bahagian yang pertama.
11 Mereka menerima kota Arba (Arba ialah bapa Enak), yang sekarang disebut Hebron, di kawasan perbukitan Yehuda, termasuk padang rumput yang di sekelilingnya.
12 Tetapi kawasan tanah lapang dan pekan-pekan di sekitar kota itu telah diberikan kepada Kaleb anak Yefune sebagai miliknya.
13 Selain kota Hebron (salah satu kota perlindungan), kota-kota berikut telah diberikan kepada keturunan Imam Harun: kota Libna,
14 Yatir, Estemoa,
15 Holon, Debir,
16 Ain, Yuta, dan Bet-Semes bersama dengan padang rumput di sekelilingnya; semuanya sembilan buah kota daripada suku Yehuda dan Simeon.
17 Dari wilayah Benyamin, mereka menerima empat buah kota: kota Gibeon, Geba,
18 Anatot, dan Almon bersama dengan padang rumput di sekelilingnya.
19 Para imam keturunan Harun menerima tiga belas buah kota bersama dengan padang rumputnya.
20 Keluarga lain daripada puak Kehat menerima beberapa buah kota dari wilayah Efraim.
21 Mereka menerima empat buah kota: kota Sikhem dan padang rumputnya di kawasan perbukitan Efraim (salah satu kota perlindungan), Gezer,
22 Kibzaim, dan Bet-Horon, bersama dengan padang rumputnya.
23 Mereka menerima empat buah kota dari wilayah Dan: kota Elteke, Gibeton,
24 Ayalon, dan Gat-Rimon, bersama dengan padang rumputnya.
25 Mereka menerima dua buah kota dari wilayah Manasye Barat: kota Taanakh dan Gat-Rimon, bersama dengan padang rumputnya.
26 Keluarga-keluarga daripada puak Kehat menerima sepuluh buah kota semuanya, bersama dengan padang rumputnya.
27 Satu lagi puak daripada suku Lewi, iaitu puak Gerson, menerima dua buah kota dari wilayah Manasye Timur: kota Golan di Basan (salah satu kota perlindungan) dan Beestera, bersama dengan padang rumputnya.
28 Mereka menerima empat buah kota dari wilayah Isakhar: kota Kisyon, Dobrat,
29 Yarmut, dan En-Ganim, bersama dengan padang rumputnya.
30 Mereka menerima empat buah kota dari wilayah Asyer: kota Misal, Abdon,
31 Helkat, dan Rehob, bersama dengan padang rumputnya.
32 Mereka menerima tiga buah kota dari wilayah Naftali: kota Kedes di Galilea bersama dengan padang rumputnya (salah satu kota perlindungan), Hamot-Dor dan Kartan, bersama dengan padang rumputnya.
33 Keluarga-keluarga daripada puak Gerson menerima sejumlah tiga belas buah kota bersama dengan padang rumputnya.
34 Puak lain daripada suku Lewi, iaitu puak Merari, menerima empat buah kota dari wilayah Zebulon: kota Yokneam, Karta,
35 Dimna, dan Nahalal, bersama dengan padang rumputnya.
36 Mereka menerima empat buah kota dari wilayah Ruben: kota Bezer, Yahas,
37 Kedemot, dan Mefaat, bersama dengan padang rumputnya.
38 Mereka menerima empat buah kota dari wilayah Gad: kota Ramot di Gilead, bersama dengan padang rumputnya (salah satu kota perlindungan), Mahanaim,
39 Hesybon, dan Yaezer, bersama dengan padang rumputnya.
40 Dengan demikian, puak Merari menerima sejumlah dua belas buah kota.
41-42 Dari tanah yang dimiliki umat Israel, sejumlah empat puluh lapan buah kota bersama dengan padang rumputnya telah diberikan kepada suku Lewi.
Umat Israel Menduduki Tanah Kanaan
43 Demikianlah TUHAN memberi umat Israel seluruh tanah yang telah dijanjikan-Nya dengan sumpah kepada nenek moyang mereka. Setelah merebut tanah itu, mereka menetap di sana.
44 TUHAN memberi mereka keamanan di seluruh tanah itu sebagaimana yang dijanjikan-Nya kepada nenek moyang mereka. Tidak seorang musuh pun dapat melawan mereka, kerana TUHAN telah memberi umat Israel kemenangan atas semua musuh.
45 TUHAN menepati tiap-tiap janji-Nya kepada umat Israel.