Pembahagian Negeri Kanaan yang Selebihnya
18
1 Setelah menduduki negeri Kanaan, semua umat Israel berkumpul di Silo, lalu memasang Khemah TUHAN.
2 Masih ada tujuh suku Israel yang belum mendapat bahagian tanah.
3 Oleh itu Yosua berkata kepada umat Israel, “Berapa lama lagi kamu hendak menunggu sebelum mengambil tanah yang telah diberikan TUHAN, Allah nenek moyang kamu kepada kamu?
4 Lantiklah tiga orang daripada setiap suku. Aku akan menyuruh mereka ke seluruh tanah ini untuk meninjau dan mencatat batas-batas tanah yang hendak dimiliki mereka. Selepas itu mereka harus kembali kepadaku.
5 Tanah itu akan dibahagi menjadi tujuh bahagian: suku Yehuda akan tetap di wilayahnya di sebelah selatan dan suku Yusuf di wilayahnya di sebelah utara.
6 Catatlah keadaan tujuh kawasan tanah itu, lalu berikannya kepadaku. Aku akan membuang undi untuk mengetahui bahagian mana yang diperuntukkan TUHAN, Allah kita bagi setiap suku.
7 Tetapi suku Lewi tidak akan mendapat bahagian tanah bersama-sama kamu, kerana bahagian mereka adalah mengabdi kepada TUHAN sebagai imam. Suku Gad, Ruben, dan Manasye Timur sudah mendapat tanah di sebelah timur Sungai Yordan, yang diberikan Musa, hamba TUHAN, kepada mereka.”
8 Semua orang yang dipilih itu pergi untuk mencatat keadaan tanah itu sesudah Yosua berpesan kepada mereka, “Pergilah tinjau seluruh tanah ini dan catatlah batas-batasnya, lalu kembalilah kepadaku. Kemudian aku akan membuang undi di Silo, untuk mengetahui kehendak TUHAN bagi kamu.”
9 Kemudian semua orang yang dipilih itu menjelajahi seluruh tanah. Mereka mencatat cara pembahagian tujuh bahagian itu, dan juga membuat senarai kota-kota di situ. Selepas itu mereka kembali kepada Yosua di perkhemahan di Silo.
10 Yosua membuang undi untuk mengetahui kehendak TUHAN bagi mereka, lalu memberikan sebahagian tanah kepada setiap suku Israel yang belum mendapat bahagian tanah.
Wilayah untuk Suku Benyamin
11 Keluarga-keluarga dalam suku Benyamin ialah suku yang pertama menerima bahagian tanah. Tanah mereka terletak di antara tanah suku Yehuda dan tanah suku Yusuf.
12 Di utara, sempadan wilayah mereka bermula dari Sungai Yordan, lalu naik ke lereng di sebelah utara Yerikho, lalu ke barat melalui kawasan perbukitan sampai ke padang gurun Bet-Awen.
13 Sempadan itu menuju ke lereng di sebelah selatan Lus (yang juga disebut Betel), lalu turun ke Atarot-Adar, di gunung di sebelah selatan Bet-Horon-Hilir.
14 Kemudian sempadan itu menghala ke selatan dari sebelah barat gunung itu, lalu menuju ke kota Kiryat-Baal (atau Kiryat-Yearim). Kota ini milik suku Yehuda. Itulah sempadan barat wilayah itu.
15 Sempadan di sebelah selatan bermula dari pinggir kota Kiryat-Yearim lalu menghala ke mata air Me-Neftoah.
16 Sempadan itu turun ke kaki gunung yang berhadapan dengan Lembah Hinom, di hujung bahagian utara Lembah Refaim. Kemudian sempadan itu menghala ke selatan melalui Lembah Hinom sampai ke rabung di selatan di tanah orang Yebusi, lalu menghala ke mata air En-Rogel.
17 Dari situ sempadan itu menghala ke utara, ke En-Semes, lalu ke Gelilot yang bertentangan dengan Genting Adumim. Kemudian sempadan itu turun ke Batu Bohan (Bohan ialah anak lelaki Ruben)
18 dan melintas di sebelah utara rabung yang berhadapan dengan Lembah Yordan. Kemudian sempadan itu turun ke lembah
19 dan melalui sebelah utara rabung Bet-Hogla, lalu berakhir di teluk kecil di bahagian utara Laut Mati, tempat Sungai Yordan bermuara. Itulah sempadan selatan wilayah itu.
20 Sungai Yordan menjadi sempadan di sebelah timur. Itulah sempadan wilayah yang diterima sebagai milik oleh keluarga-keluarga dalam suku Benyamin.
21 Kota-kota yang dimiliki oleh keluarga-keluarga dalam suku Benyamin ialah Yerikho, Bet-Hogla, Emek-Kezis,
22 Bet-Araba, Zemaraim, Betel,
23 Haawim, Para, Ofra,
24 Kefar-Haamonai, Ofni, dan Geba; semuanya dua belas buah kota bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya.
25 Selain itu termasuk juga kota Gibeon, Rama, Beerot,
26 Mizpa, Kefira, Moza,
27 Rekem, Yirpeel, Tarala,
28 Zela, Elef, Yebus (atau Yerusalem), Gibea dan Kiryat-Yearim; semuanya empat belas buah kota bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya. Itulah tanah yang diterima sebagai milik oleh keluarga-keluarga dalam suku Benyamin.