Perkhabaran untuk Raja Zedekia
34
1 TUHAN berfirman kepadaku ketika Raja Nebukadnezar dari Babilonia dan tenteranya menyerang Yerusalem serta kota-kota di sekitarnya. Raja itu dibantu oleh tentera negeri-negeri dan bangsa-bangsa yang takluk kepadanya.
2 TUHAN, Allah Israel, menyuruh aku menyampaikan firman-Nya kepada Raja Zedekia dari Yehuda, “Aku, TUHAN, akan menyerahkan kota ini kepada raja Babilonia dan dia akan membakarnya.
3 Engkau tidak akan dapat melarikan diri; engkau akan ditangkap dan diserahkan kepadanya. Engkau akan berjumpa dengan dia dan engkau sendiri bercakap dengan dia; lalu engkau akan pergi ke Babilonia.
4 Hai Zedekia, dengarlah firman-Ku tentang engkau. Engkau tidak akan dibunuh dalam pertempuran.
5 Engkau akan meninggal dengan tenteram, dan sebagaimana orang membakar kemenyan ketika mereka mengebumikan nenek moyangmu, iaitu raja-raja sebelum zamanmu, demikian juga mereka akan membakar kemenyan bagimu. Mereka akan berkabung bagimu dan berkata, ‘Raja kita sudah mangkat!’ Aku, TUHAN, telah berfirman.”
6 Kemudian aku menyampaikan perkhabaran itu kepada Raja Zedekia di Yerusalem,
7 pada masa tentera raja Babilonia menyerang kota Yerusalem. Tentera Babilonia juga menyerang Lakhis dan Aseka, dua buah kota berkubu yang masih bertahan di Yehuda.
Perlakuan Curang terhadap Hamba
8 Raja Zedekia dan penduduk Yerusalem membuat perjanjian untuk membebaskan
9 orang Ibrani yang menjadi hamba mereka, baik lelaki mahupun perempuan, supaya tiada seorang pun daripada bangsa Israel yang memperhamba sesama bangsanya.
10 Semua rakyat dan pemimpin mereka bersetuju untuk membebaskan hamba mereka, dan tidak sekali-kali akan memperhamba mereka lagi. Demikianlah yang dilakukan oleh mereka.
11 Tetapi tidak lama kemudian, mereka mengubah fikiran. Mereka mengambil kembali hamba-hamba yang telah dibebaskan itu dan memaksa mereka menjadi hamba semula.
12 Lalu TUHAN,
13 Allah Israel, menyuruh aku berkata kepada umat itu, “Aku telah membuat perjanjian dengan nenek moyang kamu ketika Aku membawa mereka keluar dari Mesir dan membebaskan mereka daripada perhambaan. Aku memberitahu mereka bahawa
14 tiap-tiap tujuh tahun mereka mesti membebaskan sesiapa sahaja orang Ibrani yang telah menjadi hamba mereka selama enam tahun. Tetapi nenek moyang kamu tidak memperhatikan atau mendengarkan firman-Ku.
15 Beberapa hari yang lalu, kamu melakukan perkara yang menyukakan hati-Ku. Kamu semua bersetuju untuk membebaskan sesama bangsa kamu yang menjadi hamba. Kamu membuat perjanjian di hadapan-Ku di Rumah-Ku, tempat Aku disembah.
16 Tetapi kemudian kamu mengubah fikiran dan menghina Aku. Hamba-hamba yang telah kamu bebaskan menurut kehendak mereka, telah kamu ambil kembali dan kamu paksa menjadi hamba semula.
17 Oleh itu sekarang, Aku, TUHAN, berfirman: Kamu tidak taat kepada-Ku; kamu tidak membebaskan sesama bangsa kamu yang menjadi hamba. Jika demikian, Aku akan memberi kamu kebebasan: kebebasan untuk mati kerana peperangan, wabak, dan kebuluran. Aku akan menyebabkan setiap bangsa di dunia ngeri melihat hal yang Aku lakukan kepada kamu.
18-19 Para pegawai negeri Yehuda dan Yerusalem, bersama para pegawai istana, para imam, dan segenap rakyat membuat perjanjian dengan Aku. Mereka menyembelih lembu jantan dan membelahnya menjadi dua, lalu berjalan di antara dua belahan lembu itu untuk mengesahkan perjanjian itu. Tetapi mereka melanggar perjanjian itu dan tidak memenuhi syarat-syaratnya. Oleh itu Aku akan memperlakukan mereka sebagaimana mereka memperlakukan lembu jantan itu.
20 Aku akan menyerahkan mereka kepada musuh yang hendak membunuh mereka. Mayat mereka akan dimakan burung dan binatang liar.
21 Aku juga akan menyerahkan Raja Zedekia dari Yehuda, dan para pegawainya kepada orang yang hendak membunuh mereka. Aku akan menyerahkan mereka kepada tentera Babilonia, yang telah menghentikan serangan terhadap kamu.
22 Aku akan memberikan perintah, lalu mereka akan menyerang kota ini semula. Mereka akan merebut kota ini lalu membakarnya. Aku akan menjadikan kota-kota di Yehuda seperti gurun yang tidak didiami orang. Aku, TUHAN, telah berfirman.”