Kemarau yang Dahsyat
14
1 Demikianlah firman TUHAN kepadaku tentang masa kemarau,
2 “Yehuda bersedih hati;
penduduk kotanya hampir mati.
Mereka berbaring di tanah dan mengeluh;
Yerusalem berseru minta dibantu.
3 Orang kaya menyuruh para hamba mencari air;
mereka pergi ke perigi-perigi
tetapi air tidak ada lagi;
dengan kendi kosong mereka kembali.
Dengan hampa dan putus asa
mereka malu dan menutup muka.
4 Oleh sebab hujan tidak turun
tanah kering kerontang;
para petani putus asa,
mereka malu dan menutup muka.
5 Induk rusa di padang
meninggalkan anaknya yang baru lahir
kerana rumput tidak ada lagi.
6 Keldai liar berdiri di puncak bukit,
terengah-engah seperti anjing hutan.
Mata keldai liar menjadi kabur
kerana makanan tidak ada.
7 Umat-Ku berseru kepada-Ku,
‘Walaupun dosa kami menyalahkan kami,
ya TUHAN, tolonglah kami menurut janji-Mu.
Kami telah berkali-kali meninggalkan Engkau;
kami berdosa terhadap-Mu.
8 Engkaulah satu-satunya harapan Israel,
yang menyelamatkan kami daripada malapetaka.
Mengapakah Engkau seperti orang asing di negeri kami,
dan seperti musafir yang singgah satu malam lalu pergi?
9 Mengapakah Engkau seperti orang yang bingung,
seperti pahlawan yang tidak sanggup menolong?
Tentu Engkau menyertai kami, ya TUHAN!
Kami umat-Mu,
jangan tinggalkan kami!’”
10 Demikianlah firman TUHAN tentang umat itu, “Mereka suka lari daripada-Ku dan mereka tidak mahu mengawal diri. Oleh itu Aku tidak berkenan kepada mereka. Aku akan mengingat kesalahan mereka, dan menghukum mereka kerana dosa mereka.”
11 TUHAN berfirman kepadaku, “Janganlah minta Aku menolong umat itu.
12 Walaupun mereka berpuasa, Aku tidak mahu mempedulikan seruan mereka minta tolong; dan meskipun mereka mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati-Ku dan korban untuk mengucap syukur kepada-Ku, Aku tidak akan berkenan kepada mereka. Sebaliknya, Aku akan membinasakan mereka dengan peperangan, kebuluran, dan wabak.”
13 Kemudian aku berkata, “Ya TUHAN Raja, Engkau tahu nabi-nabi memberitahu rakyat bahawa tidak akan ada peperangan atau kebuluran, kerana Engkau telah berjanji bahawa di negeri ini akan selalu ada kedamaian.”
14 Tetapi TUHAN menjawab, “Nabi-nabi itu berdusta demi nama-Ku; Aku tidak mengutus mereka, dan tidak juga memberikan perintah atau berfirman kepada mereka. Penglihatan-penglihatan yang diceritakan mereka itu bukan daripada-Ku. Mereka meramalkan hal-hal yang tidak berguna, yang dikarang mereka sendiri.
15 Nabi-nabi berkata demi nama-Ku bahawa negeri ini tidak akan ditimpa peperangan atau kebuluran, padahal Aku tidak menyuruh mereka mengatakan hal itu. Aku, TUHAN memberitahu engkau, apa yang akan Kulakukan terhadap nabi-nabi itu. Aku akan membunuh mereka dengan peperangan dan kebuluran.
16 Orang yang telah menerima ramalan mereka pun akan dibunuh dengan cara yang sama. Mayat mereka akan dilempar ke jalan-jalan di Yerusalem; tiada orang akan menguburkan mayat mereka. Demikianlah kesudahan mereka semua, termasuk isteri, anak lelaki dan anak perempuan mereka. Aku akan menyebabkan mereka menanggung akibat kejahatan mereka.”
17 TUHAN menyuruh aku memberitahukan kesedihanku kepada umat-Nya. Aku harus berkata begini,
“Biarlah aku menangis tiada hentinya,
siang dan malam bercucuran air mata,
kerana bangsaku luka parah
dan sangat menderita.
18 Apabila aku pergi ke padang,
aku nampak mayat mangsa perang.
Apabila aku pergi ke kota,
aku nampak orang hampir mati kelaparan.
Nabi dan imam menjalankan kewajipan
tanpa mengerti apa yang dilakukan.”
Umat Israel Minta Dikasihani TUHAN
19 Ya TUHAN, adakah Yehuda Kautolak sama sekali?
Adakah penduduk Sion Kaubenci?
Mengapa Engkau memukul kami dengan keras sekali
sehingga kami tidak dapat sembuh lagi?
Sia-sia sahaja kami mencari kedamaian;
kami mengharapkan kesembuhan, tetapi yang ada hanyalah keganasan.
20 Ya TUHAN, terhadap Engkau sahaja
kami telah berdosa.
Kami mengakui dosa kami
dan dosa nenek moyang kami.
21 Ingatlah akan janji-Mu, janganlah hina kami;
janganlah batalkan perjanjian-Mu dengan kami.
Janganlah hina Yerusalem,
tempat takhta-Mu yang mulia.
22 Tiada dewa bangsa-bangsa dapat menurunkan hujan;
langit pun tidak dapat mencurahkan hujan.
Ya TUHAN, Allah kami,
Engkaulah satu-satunya harapan kami,
kerana Engkaulah yang menyebabkan semuanya terjadi.