Nyanyian Debora dan Barak
5
1 Pada hari itu, Debora dan Barak anak Abinoam menyanyikan lagu ini:
2 Pujilah TUHAN!
Pahlawan Israel bertekad untuk berperang;
rakyat rela berjuang.
3 Dengarlah, hai raja-raja!
Perhatikanlah, hai para penguasa!
Aku akan bernyanyi dan bermain muzik
bagi TUHAN, Allah Israel.
4 Ya TUHAN, apabila Engkau meninggalkan pergunungan Seir,
ketika Engkau keluar dari daerah Edom,
bumi bergetar dan hujan turun dari langit.
Air mencurah dari awan-awan.
5 Gunung bergoncang di hadapan TUHAN, penguasa Sinai,
di hadapan TUHAN, Allah umat Israel.
6 Pada zaman Samgar anak Anat,
pada zaman Yael juga,
kafilah tidak lagi melintasi negeri,
pengembara mengikut jalan samping.
7 Kota-kota di Israel ditinggalkan, hai Debora,
sunyi sepi sehingga engkau datang;
engkau datang sebagai ibu umat Israel.
8 Kemudian perang berlaku di dalam negeri
apabila orang Israel mula menyembah dewa.
Tiada satu pun senjata yang diangkat
oleh empat puluh ribu orang Israel.
9 Aku bangga dengan para panglima Israel
dan dengan rakyat yang rela berjuang.
Pujilah TUHAN!
10 Isytiharkanlah hal itu, hai kamu yang menunggang keldai putih,
kamu yang duduk di atas pelana,
dan kamu yang berjalan kaki.
11 Dengarlah! Orang ramai di sekeliling perigi
sedang memberitakan kemenangan TUHAN,
kemenangan umat Israel!
Kemudian umat TUHAN berarak turun dari kota-kota mereka.
12 Bangkitlah, hai Debora, bangkitlah!
Bangkitlah, dan bernyanyilah!
Bangunlah, hai Barak anak Abinoam!
Giringlah orang tawananmu!
13 Kemudian para bangsawan yang tertinggal datang kepada pemimpin mereka;
umat TUHAN datang kepada-Nya, siap untuk berjuang.
14 Mereka datang dari Efraim ke lembah,
mengikuti suku Benyamin yang berjalan di hadapan.
Para panglima datang dari Makhir,
para pegawai tentera dari Zebulon.
15 Para pemimpin suku Isakhar datang bersama dengan Debora,
pemimpin suku Isakhar datang dan Barak pun turut serta.
Mereka mengikuti dia sampai ke lembah.
Tetapi suku Ruben terbahagi-bahagi,
mereka tidak sepakat untuk datang.
16 Mengapakah mereka tidak mahu ikut, dan tinggal dengan domba?
Adakah untuk mendengarkan gembala memanggil domba?
Sesungguhnya suku Ruben terbahagi-bahagi,
mereka tidak sepakat untuk datang.
17 Suku Gad tinggal di sebelah timur Sungai Yordan,
suku Dan tinggal berhampiran kapal-kapal.
Suku Asyer tinggal di sepanjang pantai;
mereka tetap tinggal di situ.
18 Tetapi suku Zebulon dan suku Naftali
mempertaruhkan nyawa di medan perang.
19 Di Taanakh, dekat sungai di Megido,
raja-raja datang untuk berperang;
raja-raja Kanaan berjuang,
tetapi mereka tidak mengambil perak sebagai jarahan.
20 Dari tempat peredaran bintang di angkasa,
bintang turut berjuang melawan Sisera.
21 Air deras Sungai Kison menghanyutkan musuh.
Aku akan terus maju dengan kekuatan!
22 Lalu kuda menderap dengan laju,
menghentam-hentam dengan telapak.
23 “Kutuklah Meros,” sabda malaikat TUHAN,
“kutuklah, kutuklah penduduk di sana.
Mereka tidak datang memberikan bantuan
sebagai pahlawan yang berjuang untuk TUHAN.”
24 Diberkatilah Yael,
isteri Heber, orang Keni itu.
Dialah wanita yang paling diberkati
di kalangan semua wanita yang tinggal di khemah.
25 Sisera meminta air, tetapi Yael memberi dia susu,
Yael memberi dia susu pekat di dalam cawan yang cantik.
26 Dengan sebelah tangan dia memegang pasak,
dengan tangan yang sebelah lagi dia memegang tukul;
Yael menukul pelipis Sisera,
dia memalu dan meremukkan kepala Sisera.
27 Sisera jatuh dan rebah terlentang;
di kaki Yael dia rebah dan meninggal.
28 Ibu Sisera menjenguk dari tingkap;
dia menatap dari kisi-kisi jendela.
Dia bertanya, “Mengapakah kereta kudanya belum tiba lagi?
Mengapakah kudanya lambat sekali kembali?”
29 Dayang-dayangnya yang paling bijak menjawab,
demikian juga berulang-ulang dia sendiri berkata,
30 “Mereka sedang mengambil barang jarahan untuk dibahagi-bahagikan,
supaya setiap askar mendapat satu atau dua orang anak dara;
Sisera mendapat kain berharga,
permaisuri mendapat selendang bersulam aneka warna.”
31 Semoga semua musuh-Mu, ya TUHAN, mati seperti Sisera;
tetapi semoga sahabat-Mu megah seperti suria di angkasa!
Kemudian negeri itu aman selama empat puluh tahun.