Kecantikan Rumah TUHAN yang Baru
2
1 Pada hari kedua puluh satu bulan ketujuh pada tahun itu juga, TUHAN berfirman lagi melalui Nabi Hagai.
2 TUHAN menyuruh Hagai menyampaikan perkhabaran berikut kepada Zerubabel, gabenor Yehuda itu, Imam Agung Yosua, dan rakyat,
3 “Adakah sesiapa antara kamu yang masih ingat betapa cantiknya Rumah-Ku dahulu? Sekarang bagaimana keadaannya, menurut pendapat kamu? Mungkin kelihatannya tidak menarik sama sekali.
4 Tetapi janganlah seorang pun putus asa! Teruskanlah pekerjaan itu, kerana Aku menyertai kamu.
5 Ketika kamu keluar dari Mesir, Aku telah berjanji untuk selalu menyertai kamu. Sekarang pun Aku masih menyertai kamu. Oleh itu, kamu tidak perlu takut.
6 Tidak lama lagi Aku akan menggoncangkan langit dan bumi, darat dan laut.
7 Aku akan menggulingkan semua kerajaan dan harta benda mereka akan dibawa ke sini, sehingga Rumah-Ku akan penuh dengan kekayaan.
8 Segala emas dan perak di dunia ini milik-Ku.
9 Rumah-Ku yang baru akan lebih cantik daripada yang dahulu, dan di situlah Aku memberi umat-Ku kemakmuran dan kedamaian.” Demikianlah firman TUHAN Yang Maha Kuasa.
Nabi Hagai Berunding dengan Para Imam
10 Pada hari kedua puluh empat bulan kesembilan dalam tahun kedua pemerintahan Raja Darius, TUHAN berfirman lagi kepada Nabi Hagai.
11 TUHAN berfirman, “Mintalah keputusan para imam tentang persoalan ini:
12 Seandainya ada orang yang mengambil sepotong daging daripada korban yang dipersembahkan kepada TUHAN, lalu membawanya pulang di dalam lipatan jubahnya, kemudian jubahnya itu tersentuh roti atau sesuatu masakan, atau wain, atau minyak zaitun, atau makanan apa sahaja, adakah semua itu menjadi suci juga?”
Ketika Hagai mengemukakan pertanyaan itu, para imam menjawab, “Tidak.”
13 Kemudian Hagai bertanya lagi, “Seandainya ada orang yang menjadi najis kerana dia menyentuh mayat, kemudian dia menyentuh salah satu daripada makanan itu, adakah makanan itu menjadi najis pula?”
Para imam menjawab, “Ya.”
14 Kemudian Hagai berkata, “TUHAN berfirman bahawa peraturan itu berlaku juga kepada umat Israel di negeri ini dan pada segala sesuatu yang dihasilkan oleh mereka. Oleh itu, apa yang dipersembahkan mereka di atas mazbah ini, menjadi najis.”
TUHAN Menjanjikan Berkat-Nya
15 TUHAN berfirman, “Perhatikanlah apa yang telah berlaku sebelum hari ini, pada masa Rumah-Ku belum diperbaiki! Bagaimanakah keadaan kamu pada masa itu?
16 Kamu pergi melihat timbunan gandum dan menyangka akan mendapat 200 kilogram gandum, tetapi ternyata ada 100 kilogram sahaja. Kamu telah pergi mencedok 100 liter wain dari tong wain, tetapi yang ada hanya 40 liter.
17 Aku sudah mendatangkan angin panas dan menurunkan hujan batu untuk menghancurkan segala hasil ladang kamu, tetapi kamu masih tidak mahu kembali kepada-Ku.
18 Pada hari ini, hari kedua puluh empat bulan kesembilan, batu asas Rumah-Ku selesai diletakkan. Perhatikanlah apa yang akan berlaku mulai sekarang.
19 Meskipun tiada lagi gandum yang tinggal, dan pokok anggur, pokok ara, pokok delima, serta pokok zaitun belum berbuah, tetapi mulai sekarang Aku akan memberkati kamu!”
Janji TUHAN kepada Zerubabel
20 Pada hari itu juga, hari kedua puluh empat bulan kesembilan, TUHAN memberikan perkhabaran yang kedua kepada Hagai,
21 untuk disampaikan kepada Zerubabel, gabenor Yehuda. TUHAN berfirman, “Tidak lama lagi Aku akan menggoncangkan langit dan bumi,
22 menjatuhkan kerajaan, dan menghancurkan kuasa mereka. Aku akan menunggangbalikkan kereta-kereta kuda dengan pengemudinya; semua kuda akan mati dan penunggang-penunggangnya akan saling membunuh.
23 Pada hari itu, hai Zerubabel, hamba-Ku, Aku akan melantik engkau untuk memerintah demi nama-Ku, kerana engkaulah yang sudah Aku pilih.” Demikianlah firman TUHAN Yang Maha Kuasa.