10
1 Taurat orang Yahudi bukanlah gambaran lengkap dan sempurna tentang perkara-perkara yang sebenarnya, tetapi hanya bayangan daripada perkara-perkara baik yang akan datang. Tahun demi tahun korban yang sama dipersembahkan. Bagaimanakah Taurat, melalui korban-korban ini dapat menyempurnakan orang yang datang menyembah Allah?
2 Jika orang yang menyembah Allah benar-benar telah disucikan daripada dosa, mereka tidak akan berasa bersalah lagi, dan korban tidak perlu dipersembahkan lagi.
3 Tetapi nyatanya, korban-korban yang dipersembahkan tahun demi tahun itu mengingatkan orang akan dosa mereka.
4 Darah lembu jantan dan darah kambing tidak dapat menghapuskan dosa.
5 Itulah sebabnya pada masa Kristus hampir datang ke dunia, Dia berkata kepada Allah,
“Engkau tidak menghendaki korban dan persembahan,
tetapi Engkau sudah menyediakan tubuh bagi-Ku.
6 Engkau tidak minta korban untuk menyenangkan hati-Mu,
ataupun korban untuk menghapuskan dosa.
7 Lalu Aku berkata, ‘Inilah Aku, ya Allah,
Aku datang untuk melakukan kehendak-Mu,
seperti yang tertulis di dalam kitab Taurat tentang diri-Ku.’”
8 Mula-mula Kristus berkata, “Engkau tidak menghendaki korban dan persembahan; Engkau tidak minta korban untuk menyenangkan hati-Mu, dan korban untuk menghapuskan dosa.” Dia berkata demikian meskipun segala korban itu dipersembahkan menurut Taurat.
9 Setelah itu Dia berkata, “Inilah Aku, ya Allah. Aku datang untuk melakukan kehendak-Mu.” Oleh itu, Allah meniadakan segala korban yang lama itu, lalu menggantikannya dengan korban Kristus.
10 Yesus Kristus melakukan kehendak Allah, dan mempersembahkan diri-Nya sendiri sebagai korban. Hal itu dilakukan-Nya satu kali sahaja untuk selama-lamanya. Dengan persembahan itu, kita semua dibersihkan daripada dosa.
11 Setiap imam Yahudi menjalankan tugas tiap-tiap hari dan berulang kali mempersembahkan korban yang sama. Tetapi korban-korban itu sama sekali tidak dapat menghapuskan dosa.
12 Sebaliknya, Kristus mempersembahkan hanya satu korban untuk pengampunan dosa, dan korban itu berlaku untuk selama-lamanya. Setelah itu Dia duduk di sebelah kanan Allah.
13 Sekarang Dia menantikan masanya Allah menjadikan musuh-musuh-Nya sebagai alas kaki-Nya.
14 Demikianlah dengan satu korban, untuk selama-lamanya Dia menyempurnakan orang yang sudah disucikan daripada dosa.
15 Roh Allah juga memberikan kesaksian kepada kita. Roh Allah berkata,
16 “Inilah perjanjian yang akan Aku buat dengan mereka pada masa akan datang, firman Tuhan,
Aku akan menanamkan hukum-Ku di dalam hati mereka,
dan menuliskannya di dalam fikiran mereka.”
17 Dia juga berkata, “Aku akan melupakan segala dosa dan kejahatan mereka.”
18 Oleh itu, apabila segala dosa dan kejahatan itu sudah diampunkan, persembahan korban untuk pengampunan dosa tidak diperlukan lagi.
Marilah Kita Hampiri Allah
19 Oleh itu, saudara-saudara-ku, dengan kematian Yesus kita mempunyai kebebasan penuh untuk masuk ke Bilik Maha Suci.
20 Yesus sudah membuka satu jalan baru bagi kita, jalan yang memberikan kehidupan. Jalan itu melalui tirai, iaitu tubuh Yesus sendiri.
21 Sekarang kita mempunyai imam agung, yang bertanggungjawab terhadap rumah Allah.
22 Oleh itu, marilah kita hampiri Allah dengan hati yang tulus dan iman yang teguh, dengan hati yang sudah disucikan daripada perasaan bersalah, dan dengan tubuh yang sudah dibersihkan oleh air bersih.
23 Hendaklah kita berpegang teguh kepada harapan yang kita akui, kerana Allah dapat dipercayai dan Dia akan menepati janji-Nya.
24 Hendaklah kita perhatikan satu sama lain, supaya kita dapat saling memberikan dorongan untuk mengasihi satu sama lain dan untuk melakukan hal yang baik.
25 Janganlah kita hentikan kebiasaan berkumpul bersama-sama, seperti yang dilakukan oleh beberapa orang saudara. Sebaliknya lebih-lebih lagi kita harus menggalakkan satu sama lain, kerana kita tahu bahawa tidak lama lagi Tuhan akan datang.
26 Tidak ada lagi korban yang dapat menghapuskan dosa, jika kita dengan sengaja terus berdosa, setelah ajaran benar tentang Berita Baik sudah disampaikan kepada kita.
27 Satu-satunya yang masih tinggal bagi kita adalah dengan takut menantikan pengadilan Allah dan api dahsyat yang akan membinasakan orang yang melawan Allah.
28 Seseorang yang tidak mentaati Taurat Musa dihukum mati tanpa kasihan, jika dengan kesaksian dua atau tiga orang saksi, dia terbukti bersalah.
29 Lebih berat lagi hukuman yang harus dijatuhkan kepada seseorang yang menginjak-injak Anak Allah, yang menganggap hina darah perjanjian Allah yang sudah menyucikan dia daripada dosa, dan yang menista Roh Allah yang mengasihinya!
30 Hal itu demikian kerana kita mengenal Dia yang berfirman, “Aku akan membalas dendam! Aku akan menghukum!” Dia juga berfirman, “Tuhan akan menghakimi umat-Nya.”
31 Alangkah ngerinya jika jatuh ke tangan Allah yang hidup!
32 Ingatlah keadaan kamu pada masa lampau. Pada masa itu, setelah cahaya Allah menyinari kamu, sering kali kamu menderita, namun kamu tetap berjuang dengan gigih.
33 Ada kalanya kamu dihina dan dianiaya di hadapan umum. Ada kalanya juga kamu rela menderita bersama-sama mereka yang diperlakukan demikian.
34 Kamu ikut merasakan penderitaan orang yang dipenjarakan. Apabila segala milik kamu dirampas, kamu menanggungnya dengan gembira, kerana kamu tahu bahawa kamu masih mempunyai sesuatu yang lebih baik dan yang akan tahan selama-lamanya.
35 Oleh itu, janganlah putus harapan, kerana besar balasannya jika kamu tetap berharap.
36 Kamu perlu bersabar supaya dapat melakukan kehendak Allah, dan dengan demikian menerima apa yang dijanjikan-Nya.
37 Hal ini demikian, kerana di dalam Alkitab tertulis,
“Hanya sebentar lagi,
lalu Dia yang akan datang itu akan segera tiba;
Dia tidak akan berlambat.
38 Umat-Ku yang melakukan kehendak-Ku
akan percaya kepada-Ku dan hidup;
tetapi jika ada antara mereka yang tidak lagi percaya kepada-Ku,
Aku tidak berkenan kepadanya.”
39 Kita ini bukanlah umat yang tidak lagi percaya kepada Allah, dan bukan umat yang sesat. Sebaliknya, kita beriman dan diselamatkan.