SURAT PAULUS
KEPADA JEMAAH DI
KOLOSE
Kata Pengantar
Kolose adalah sebuah kota di Asia Kecil, di sebelah timur kota Efesus. Paulus tidak memulakan jemaah di Kolose, tetapi ketika dia mengutus pekerja-pekerja dari Efesus, ibu kota wilayah Roma di Asia, Paulus merasa bertanggungjawab juga atas jemaah di Kolose. Paulus mendapat berita bahawa antara jemaah di situ terdapat guru-guru yang mengajarkan ajaran salah. Mereka berkeras bahawa untuk mengenal Allah dan mendapat penyelamatan yang sempurna, orang mesti menyembah β€œroh-roh yang menguasai dan memerintah alam semesta.” Di samping itu, guru-guru itu berkata bahawa orang mesti mentaati peraturan bersunat, pantang dan sebagainya.
Surat Paulus kepada Jemaah di Kolose ditulis untuk menentang ajaran-ajaran itu dan untuk mengemukakan ajaran Kristian yang benar. Inti surat ini menjelaskan bahawa Yesus Kristus dapat memberikan penyelamatan yang sempurna, dan bahawa ajaran-ajaran lain itu hanya menjauhkan orang daripada Kristus. Melalui Kristus, Allah menciptakan dunia ini, dan melalui Kristus juga Allah menyelamatkannya. Hanya melalui bersatu dengan Kristus, dunia mempunyai harapan untuk diselamatkan. Kemudian Paulus menjelaskan pertalian ajaran itu dengan kehidupan orang Kristian.
Perlu dikemukakan di sini bahawa Tikhikus, yang membawa surat ini ke Kolose bagi pihak Paulus, disertai oleh Onesimus. Onesimus itu seorang abdi yang disuruh oleh Paulus supaya kembali kepada tuannya Filemon, seorang anggota jemaah di Kolose.
Kandungan
Pendahuluan 1.1-8
Sifat dan Peranan Kristus 1.9β€”2.19
Hidup Baru yang Dialami Orang Kristian 2.20β€”4.6
Penutup 4.7-18
1
Surat ini daripada Paulus, yang dengan kehendak Allah menjadi rasul Kristus Yesus, dan daripada saudara kita Timotius.
Surat ini ditujukan kepada umat Allah di Kolose, yang setia bersatu dengan Kristus.
Semoga Allah Bapa kita mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan.
Doa Kesyukuran
Kami sentiasa bersyukur kepada Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus, apabila kami berdoa untuk kamu. Hal itu demikian kerana kami telah mendapat berita tentang kepercayaan kamu kepada Kristus Yesus, dan tentang kasih kamu bagi semua umat Allah. Apabila Berita Baik, perkhabaran yang benara itu disampaikan kepada kamu dahulu, kamu mendengar tentang harapan yang diberikan oleh Berita Baik itu. Kerana kamu berharap akan apa yang disediakan oleh Allah untuk kamu di syurga, kamu percaya kepada Kristus dan mengasihi umat Allah. Berita Baik itu terus-menerus membawa berkat untuk manusia dan Berita Baik itu tersebar ke seluruh dunia, seperti yang berlaku di kalangan kamu sejak hari pertama kamu mendengar berita tentang rahmat Allah dan benar-benar menghayatinya. Kamu mendengar hal itu daripada Epafras, rakan sekerja yang kami kasihi. Dia bekerja untuk Kristus bagi pihak kamib dan dia dapat dipercayai. + Dia memberitahu kami bahawa dengan kuasa Roh Allah kamu dapat saling mengasihi.
Itulah sebabnya kami selalu berdoa bagi kamu, sejak kami mendengar berita tentang kamu. Kami berdoa kepada Allah supaya Roh Allah memberikan kebijaksanaan dan pengertian kepada kamu, sehingga boleh mengetahui kehendak Allah dengan sempurna. 10 Dengan demikian kamu dapat hidup menurut kehendak Tuhan, dan sentiasa melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya. Cara hidup itu akan menghasilkan pelbagai perbuatan yang baik, dan pengetahuan kamu tentang Allah akan bertambah juga. 11-12 Semoga kamu dikuatkan oleh Allah dengan kuasa-Nya yang mulia, sehingga dapat menanggung derita dengan sabar. Dengan sukacita bersyukurlah kepadac Bapa, yang telah menjadikan kamu layak menerima apa yang disediakan oleh Allah untuk umat-Nya dalam pemerintahan yang penuh dengan cahaya daripada Allah. 13 Allah sudah menyelamatkan kita daripada kuasa kegelapan, dan memindahkan kita ke bawah pemerintahan Anak-Nya yang dikasihi-Nya. 14 Melalui Anak-Nya, Allah membebaskan kita dan mengampunkan dosa kita. +
Kristus dan Peranan-Nya
15 Kristus serupa dengan Allah, tetapi Kristus dapat dilihat, sedangkan Allah tidak. Kristus itu Anak sulung yang lebih utama daripada segala sesuatu yang diciptakan. 16 Hal itu demikian kerana melalui Dialah Allah menciptakan segala sesuatu di syurga dan di atas bumi, segala sesuatu yang kelihatan dan yang tidak kelihatan, termasuk juga roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah. Allah menciptakan alam semesta melalui Kristus dan untuk Kristus. 17 Kristus sudah ada, sebelum segala sesuatu ada. Kerana Dia juga, segala sesuatu mempunyai tempat yang bersesuaian. 18 Kristuslah kepala jemaah, iaitu tubuh-Nya. Dialah sumber kehidupan jemaah itu. Dialah Anak sulung Allah; Allah membangkitkan Dia daripada kematian, supaya Kristus sahaja yang menjadi terutama daripada segala sesuatu. + 19 Allah sendiri yang menentukan bahawa keperibadian Allah juga terdapat dengan sepenuhnya dalam diri Anak. 20 Melalui Anak juga, Allah mengambil keputusan untuk membawa segala sesuatu, baik yang di bumi mahupun yang di syurga, kembali kepada-Nya. Allah melakukan hal itu melalui kematian Anak-Nya di kayu salib. +
21 Dahulu kamu jauh daripada Allah, dan memusuhi Dia, kerana perbuatan dan fikiran kamu jahat. 22 Tetapi sekarang, dengan kematian Anak-Nya, Allah telah menjadikan kamu sahabat-sahabat-Nya, sehingga kamu dapat dibawa menghadap Dia dalam keadaan yang suci, murni, dan tidak bercela. 23 Tetapi kamu harus tetap percaya kepada Berita Baik itu dan dengan kepercayaan itu kamu dapat berdiri teguh. Janganlah lepaskan harapan yang kamu terima ketika mendengar Berita Baik daripada Allah. Itulah Berita Baik yang telah diisytiharkan kepada semua orang di dunia. Kerana Berita Baik itu, aku, Paulus menjadi hamba untuk mengisytiharkannya.
Pelayanan Paulus
24 Sekarang aku bersukacita kerana boleh mengalami penderitaan untuk kepentingan kamu. Dengan penderitaan jasmani, aku melengkapi apa yang masih harus diderita oleh Kristus bagi pihak jemaah, iaitu tubuh-Nya. 25 Aku dijadikan penolong jemaah oleh Allah untuk kepentingan kamu. Aku diberikan tugas untuk menyampaikan keseluruhan perkhabaran Allah, 26 yang dirahsiakan oleh Allah kepada semua orang selama berabad-abad yang lalu, tetapi sekarang dinyatakan kepada umat-Nya. 27 Allah merancang untuk menyatakan rahsia-Nya kepada umat-Nya; rahsia yang agung dan mulia untuk umat manusia. Inilah rahsia itu: Kristus tinggal dalam diri kamu, dan hal ini bererti bahawa kamu akan ikut menikmati kemuliaan Allah. 28 Oleh itu kami mengisytiharkan Kristus kepada semua orang. Dengan segala kebijaksanaan kami memberikan amaran dan ajaran kepada mereka, supaya setiap orang dapat dibawa ke hadirat Allah sebagai orang yang matang dalam hal-hal rohani, kerana sudah bersatu dengan Kristus. 29 Untuk mencapai tujuan itu aku bekerja keras dengan segala kekuatan yang diberikan oleh Kristus, dan kekuatan itu nyata dalam apa yang aku lakukan.
a 1:5 perkhabaran yang benar; Harfiah: firman kebenaran. b 1:7 kami; Beberapa buah naskhah kuno: kamu. + 1:7 Kol 4.12; Flm 23 c 1:11-12 dengan sabar. Dengan sukacita bersyukurlah kepada; atau dengan sabar dan sukacita. Bersyukurlah kepada. + 1:14 Ef 1.7 + 1:18 Ef 1.22-23 + 1:20 Ef 2.16