Samuel Meninggal
25
1 Kemudian Samuel meninggal. Semua orang Israel berkumpul dan meratapinya. Mereka menguburkan jenazah Samuel di rumahnya di Rama.
Daud dan Abigail
Selepas itu Daud pergi ke padang gurun Paran.
2-3 Di kota Maon ada seorang lelaki bernama Nabal, daripada puak Kaleb. Dia mempunyai tanah dekat kota Karmel. Dia sangat kaya dan mempunyai tiga ribu ekor domba dan seribu ekor kambing. Abigail isterinya, cerdas dan cantik, tetapi Nabal bertabiat kasar dan berkelakuan buruk.
Pada suatu masa Nabal sedang menggunting bulu dombanya di Karmel.
4 Pada masa itu, Daud yang berada di padang gurun, mendengar hal itu.
5 Kemudian Daud menyuruh sepuluh orang pemuda pergi ke Karmel. Daud menyuruh mereka menemui Nabal dan menyampaikan salam Daud kepadanya.
6 Daud menyuruh mereka berkata demikian, “Daud mengirimkan salamnya kepada tuan dan keluarga tuan serta segala milik tuan.
7 Daud mendengar bahawa tuan sedang menggunting bulu domba tuan. Ketahuilah bahawa para gembala tuan yang berada di kawasan kami tidak pernah kami ganggu, dan mereka belum pernah kehilangan apa pun selama berada di Karmel.
8 Cubalah tanyakan hal itu kepada mereka. Tentu mereka akan mengesahkan hal itu. Oleh sebab itu, Daud berharap agar kami, anak buahnya diterima dengan baik di rumah tuan, kerana kami datang pada hari besar ini. Berikanlah apa saja menurut kerelaan tuan kepada hamba-hamba tuan ini dan juga kepada Daud, sahabat baik tuan. ”
9 Setelah anak buah Daud tiba di Karmel, mereka menyampaikan pesan Daud itu kepada Nabal, lalu mereka menunggu di situ.
10 Tetapi Nabal menjawab, “Daud? Siapakah dia? Siapakah anak Isai itu? Belum pernah aku mendengar tentang dia! Akhir-akhir ini, ada banyak hamba yang lari daripada majikan mereka di negeri ini!
11 Mana boleh aku mengambil roti dan air minumku, serta daging yang sudah kusediakan bagi para penggunting bulu dombaku, lalu memberikan semuanya kepada orang yang entah dari mana!”
12 Oleh itu anak buah Daud kembali kepada Daud dan memberitahukan kata-kata Nabal itu kepadanya.
13 “Ikatlah pedang kamu di pinggang masing-masing!” perintah Daud. Dengan segera anak buah Daud mentaati perintahnya. Daud juga mengikat pedangnya di pinggangnya lalu berangkat bersama dengan kira-kira empat ratus orang, sedang dua ratus orang yang lain tinggal untuk menjaga barang-barang.
14 Sementara itu salah seorang pekerja Nabal berkata kepada Abigail, isteri Nabal, “Sudahkah puan mendengar tentang hal yang terjadi? Daud menyuruh beberapa orang utusan dari padang gurun untuk menyampaikan salam kepada tuan kita. Tetapi tuan kita menghina mereka,
15 padahal mereka sangat baik terhadap kami dan tidak pernah mengganggu kami. Pada waktu kami bersama-sama mereka di padang gurun, tiada suatu apa pun milik kami yang dicuri.
16 Mereka melindungi kami siang dan malam selama kami menggembalakan domba dekat mereka.
17 Oleh itu fikirlah baik-baik apa yang harus dilakukan! Perkara ini mungkin mendatangkan bencana kepada tuan kita dan seluruh keluarganya. Tuan kita sangat keras kepala sehingga tidak mahu mendengar nasihat sesiapa pun!”
18 Dengan segera Abigail mengambil 200 ketul roti, dua buah kirbat kulit yang penuh dengan wain, lima ekor domba panggang, 17 kilogram biji-bijian yang dipanggang, 100 rangkai kismis dan 200 ketul kuih ara. Dia memuat semua itu di atas beberapa ekor keldai.
19 Kemudian dia berkata kepada hamba-hambanya, “Kamu berangkatlah dahulu. Aku akan menyusul.” Tetapi dia tidak memberitahukan hal itu kepada suaminya.
20 Kemudian Abigail menunggang keldainya. Apabila dia sampai pada selekoh di pinggir gunung, dia berpapasan dengan Daud dan anak buahnya yang sedang turun menuju ke arahnya.
21 Pada masa itu Daud sedang berfikir, “Sia-sialah aku melindungi milik orang itu di padang gurun! Tiada satu pun miliknya dicuri orang, dan sekarang dia membalas kebaikanku dengan kejahatan!
22 Biarlah Allah membunuh aku jika aku tidak membunuh tiap-tiap orang lelaki di sana sebelum matahari terbit!”
23 Apabila Abigail nampak Daud, dia segera turun dari keldainya lalu bersujud
24 di kaki Daud. Abigail berkata, “Tolonglah tuan, sudilah mendengar kata-kata saya. Biarlah kesalahan itu saya tanggung sendiri!
25 Janganlah pedulikan Nabal, orang yang tidak berguna itu. Bukankah namanya sendiri bermakna bodoh? Saya tidak ada di situ ketika utusan-utusan tuan tiba.
26 TUHAN sudah mencegah tuan membalas dendam dan membunuh musuh tuan. Sekarang saya bersumpah demi TUHAN yang hidup bahawa musuh tuan dan semua orang yang hendak berbuat jahat terhadap tuan akan dihukum seperti Nabal.
27 Terimalah pemberian yang saya bawa ini untuk tuan dan anak buah tuan.
28 Ampunkanlah kesalahan saya. Tentu TUHAN akan menjadikan tuan serta keturunan tuan raja Israel, kerana tuan berperang bagi TUHAN; tuan tidak akan melakukan apa-apa kejahatan seumur hidup.
29 Seandainya ada seseorang yang menyerang tuan dan cuba membunuh tuan, maka tentu TUHAN Allah akan melindungi tuan seperti seorang menjaga hartanya yang sangat berharga. Tetapi musuh tuan akan dilemparkan jauh-jauh oleh TUHAN, seperti batu yang dilontarkan dengan ali-ali.
30 TUHAN akan melakukan segala kebaikan yang dijanjikan-Nya kepada tuan, dan tidak lama lagi tuan akan dijadikan-Nya raja Israel.
31 Pada waktu itu tuan akan ingat bahawa tuan tidak membunuh tanpa alasan atau membalas dendam. Oleh itu tuan tidak perlu berasa sedih atau menyesal. Apabila TUHAN memberkati tuan kelak, janganlah lupa akan hamba tuan ini.”
32 Kemudian Daud berkata kepadanya, “Pujilah TUHAN, Allah umat Israel, yang sudah mengutus kamu kepadaku pada hari ini!
33 Aku bersyukur kerana kebijaksanaanmu. Tindakanmu pada hari ini telah mencegah aku melakukan pembunuhan untuk membalas dendam.
34 TUHAN sudah menahan aku berbuat jahat terhadapmu. Demi TUHAN, Allah Israel yang hidup, seandainya kamu tidak segera menemui aku, sudah tentu semua anak buah Nabal telah mati pada waktu matahari terbit!”
35 Daud menerima pemberian Abigail, lalu berkata kepadanya, “Pulanglah dan janganlah khuatir. Aku akan menunaikan permintaanmu.”
36 Ketika Abigail pulang kepada Nabal, ada jamuan besar di rumahnya, seperti jamuan raja. Oleh sebab Nabal mabuk dan bersukaria, Abigail tidak memberitahukan apa-apa pun kepadanya sehingga keesokan hari.
37 Keesokan pagi, apabila Nabal tidak mabuk lagi, Abigail menceritakan segalanya kepada Nabal. Tiba-tiba Nabal diserang penyakit jantung sehingga seluruh badannya menjadi lumpuh.
38 Kira-kira sepuluh hari kemudian, TUHAN mencabut nyawa Nabal.
39 Apabila Daud mendengar bahawa Nabal sudah meninggal, dia berkata, “Pujilah TUHAN! Dia sudah membalas Nabal kerana penghinaannya terhadap aku. TUHAN sudah mencegah aku, hamba-Nya daripada melakukan kejahatan. TUHAN sendiri telah menghukum Nabal kerana kejahatannya.”
Kemudian Daud mengirim utusan kepada Abigail untuk melamar dia menjadi isterinya.
40 Para utusan Daud menemui wanita itu di Karmel, lalu berkata kepadanya, “Kami diutus oleh Daud untuk menghadap puan, kerana dia ingin melamar puan menjadi isterinya.”
41 Abigail bangkit, lalu bersujud dan berkata, “Saya hamba Daud. Saya bersedia mencuci kaki hamba-hambanya.”
42 Selepas itu dia segera berkemas, lalu menunggang keldainya. Diiringi oleh lima orang dayangnya, dia berangkat bersama-sama utusan Daud. Dengan demikian Abigail menjadi isteri Daud.
43 Sebelum itu Daud telah berkahwin dengan Ahinoam dari Yizreel. Sekarang Abigail juga menjadi isteri Daud.
44 Sementara itu Raja Saul telah mengahwinkan Mikhal puterinya, iaitu isteri Daud, kepada Palti anak Lais dari kota Galim.