Kepahlawanan Yonatan
14
1 Pada suatu hari, Yonatan berkata kepada pemuda pembawa senjatanya, “Marilah kita pergi ke perkhemahan orang Filistin.” Tetapi Yonatan tidak memberitahu ayahandanya, Raja Saul.
2 Pada masa itu Raja Saul berada di bawah pokok delima di Migron, tidak jauh dari Gibea; ada kira-kira enam ratus orang yang bersama dengan Raja Saul.
3 (Imam yang membawa efod pada masa itu ialah Ahiya anak Ahitub, cucu Pinehas anak Eli; Eli ialah imam TUHAN di Silo. Ahitub ialah saudara Ikabod). Tidak ada orang di situ tahu bahawa Yonatan sudah pergi dari tempat itu.
4 Untuk pergi ke perkhemahan Filistin, Yonatan harus melalui genting gunung yang diapit oleh dua buah batu besar yang runcing, yang dinamakan Bozes dan Sene.
5 Batu besar yang di sebelah utara menghadap ke arah Mikhmas, dan batu besar yang satu lagi, yang di sebelah selatan menghadap ke arah Geba.
6 Yonatan berkata kepada pemuda itu, “Marilah kita pergi ke perkhemahan orang Filistin yang tidak mengenal Allah. Mungkin TUHAN akan menolong kita, kerana Dia dapat memberikan kemenangan, baik dengan banyak orang mahupun dengan sedikit orang.”
7 Pemuda itu menjawab, “Apa saja yang hendak tuan lakukan, saya setuju.”
8 “Baiklah,” kata Yonatan. “Pada masa kita pergi ke seberang, kita akan memperlihatkan diri kepada orang Filistin.
9 Jika mereka menyuruh kita berhenti dan menunggu mereka datang kepada kita, maka kita akan tetap tinggal di situ dan tidak usah pergi ke seberang.
10 Tetapi jika mereka menyuruh kita pergi kepada mereka, kita akan ke sana, kerana itulah tandanya mereka diserahkan oleh TUHAN kepada kita.”
11 Oleh itu mereka membiarkan orang Filistin melihat mereka. Kemudian orang Filistin berkata, “Lihatlah! Ada orang Ibrani keluar dari lubang tempat mereka bersembunyi!”
12 Kemudian mereka berseru kepada Yonatan dan hambanya, “Marilah ke sini! Ada yang hendak kami tunjukkan kepada kamu!”
Yonatan berkata kepada pemuda itu, “Ikutlah aku. TUHAN sudah menyerahkan mereka kepada Israel.”
13 Dengan diikuti pemuda itu Yonatan merangkak ke atas genting itu sehingga melaluinya. Yonatan menyerang orang Filistin lalu mereka berjatuhan kerana dipukulnya, dan pemuda itu membunuh mereka.
14 Dalam pertempuran yang pertama itu, Yonatan dan pemuda itu membunuh kira-kira dua puluh orang di kawasan seluas satu perempat hektar.
15 Kejadian itu menggemparkan semua orang Filistin di kawasan luar bandar; pasukan perompak dan askar Filistin di perkhemahan gementar ketakutan; bahkan bumi pun bergegar, dan terjadilah keadaan kacau-bilau.
Kekalahan Orang Filistin
16 Sementara itu tentera Raja Saul yang berkawal di Gibea, di wilayah Benyamin nampak orang Filistin berlari dengan kebingungan.
17 Oleh itu Raja Saul bertitah kepada tenteranya, “Hitunglah askar kita dan periksalah siapa yang tidak ada.” Apabila mereka berbuat demikian, mereka mendapati bahawa Yonatan dan pemuda pembawa senjatanya tidak ada di situ.
18 Raja Saul bertitah kepada Imam Ahia, “Bawalah efod itu ke mari.” (Pada hari itu Imam Ahia membawa efod di hadapan orang Israel).
19 Ketika Raja Saul masih bertitah kepada imam itu, keadaan di perkhemahan orang Filistin semakin gempar. Oleh itu Raja Saul bertitah kepadanya, “Kita tidak sempat lagi untuk minta petunjuk daripada TUHAN!”
20 Kemudian Raja Saul dan tenteranya mara ke medan pertempuran. Di situ mereka nampak orang Filistin dalam keadaan kacau-bilau; mereka saling menyerang dan membunuh.
21 Beberapa orang Ibrani yang tinggal di daerah orang Filistin dan yang sudah mengikut tentera mereka, bertukar haluan semula lalu bergabung dengan Raja Saul dan Yonatan.
22 Orang Israel yang bersembunyi di perbukitan Efraim juga mendengar bahawa orang Filistin sudah lari, lalu mereka ikut bergabung dengan Raja Saul dan menyerang orang Filistin.
23 Orang Israel bertempur sepanjang jalan sampai melintasi Bet-Awen. TUHAN menyelamatkan Israel pada hari itu.
Kejadian-Kejadian selepas Pertempuran
24 Pada hari itu orang Israel lemah kelaparan kerana Raja Saul sudah bersumpah demikian, “Terkutuklah orang yang makan apa pun pada hari ini, sebelum beta membalas dendam terhadap musuh.” Oleh itu tiada sesiapa pun yang makan sepanjang hari itu.
25 Kemudian mereka semua sampai di suatu hutan dan menjumpai banyak sekali madu,
26 tetapi tiada sesiapa pun yang makan madu itu. Mereka takut kena kutuk yang diucapkan oleh Raja Saul.
27 Tetapi Yonatan tidak tahu bahawa ayahandanya sudah mengancam rakyat dengan kutuk itu; maka dia menghulurkan tongkat yang dibawanya, dan mencucukkannya ke dalam sarang madu, serta mengambil madu itu lalu memakannya. Segera dia berasa segar dan bertambah kuat.
28 Kemudian seorang daripada askar itu berkata kepadanya, “Kami semua sudah tidak berdaya kerana lapar. Tetapi ayahanda tuan mengancam kami dan berkata, ‘Terkutuklah orang yang makan apa pun pada hari ini.’”
29 Yonatan menjawab, “Alangkah dahsyatnya tindakan ayahandaku terhadap bangsa kita! Lihatlah, keadaanku sekarang jauh lebih baik setelah aku makan sedikit madu.
30 Seandainya rakyat dibenarkan makan makanan yang telah dirampas ketika mengalahkan musuh pada hari ini, tentu lebih banyak orang Filistin yang dapat dibunuh mereka.”
31 Pada hari itu orang Israel mengalahkan orang Filistin setelah bertempur sepanjang jalan dari Mikhmas sampai ke Ayalon. Pada masa itu mereka sangat lemah kerana kelaparan,
32 sehingga mereka berebut-rebut mengambil barang jarahan yang baru dirampas daripada musuh; mereka mengambil domba dan lembu, serta menyembelih semuanya di tempat itu juga, lalu langsung makan daging yang masih berdarah.
33 Kemudian Raja Saul diberitahu tentang perkara itu, “Tuanku, rakyat berdosa terhadap TUHAN kerana makan daging yang masih berdarah.”
“Kamu pengkhianat!” teriak Raja Saul. “Gulingkanlah sebuah batu besar ke mari!”
34 Kemudian Raja Saul memberikan satu perintah lagi, “Pergilah kepada rakyat dan suruhlah mereka semua membawa lembu dan domba ke sini. Mereka mesti menyembelih binatang di atas batu ini dan memakannya di sini. Mereka tidak patut berdosa terhadap TUHAN dengan makan daging yang masih berdarah.” Pada malam itu juga mereka membawa semua binatang rampasan dan menyembelih semuanya di situ.
35 Selepas itu Raja Saul membina sebuah mazbah untuk TUHAN. Itulah mazbah pertama yang dibina oleh Raja Saul.
36 Kemudian Raja Saul bertitah kepada anak buahnya, “Mari kita pergi menyerang orang Filistin pada malam ini, dan merompak mereka sehingga fajar, serta membunuh mereka semua.”
Mereka menjawab, “Buatlah apa saja yang terbaik menurut pendapat tuanku.”
Tetapi imam berkata, “Baiklah kita lebih dahulu memohon petunjuk daripada Allah.”
37 Oleh itu Raja Saul bertanya kepada Allah, “Bolehkah aku menyerang orang Filistin? Adakah Engkau akan memberi Israel kemenangan?” Tetapi Allah tidak memberikan jawapan pada hari itu.
38 Kemudian Raja Saul bertitah kepada para pemimpin rakyat, “Mari ke sini semua dan siasatlah dosa apa yang telah dilakukan hari ini.
39 Beta berjanji demi TUHAN yang hidup, yang memberikan kemenangan kepada Israel, bahawa orang yang bersalah itu akan dihukum mati, sekalipun dia Yonatan putera beta sendiri.” Tetapi tiada seorang pun yang menjawab.
40 Kemudian Raja Saul bertitah kepada mereka semua, “Kamu semua berdiri di sebelah sana; Yonatan dan beta akan berdiri di sebelah sini.”
Mereka menjawab, “Buatlah apa saja yang terbaik menurut pendapat tuanku.”
41 Raja Saul berkata kepada TUHAN, Allah Israel, “Ya TUHAN, Allah Israel, mengapakah Engkau tidak menjawab aku hari ini? Ya TUHAN, jawablah aku melalui batu-batu yang suci ini. Jika Yonatan atau aku yang bersalah, jawablah dengan batu Urim; tetapi jika umat Israel yang bersalah, jawablah dengan batu Tumim.” Jawapan TUHAN menunjuk kepada Yonatan dan Raja Saul; dengan demikian rakyat dinyatakan tidak bersalah.
42 Kemudian Raja Saul berkata, “Sekarang tunjukkanlah, sama ada Yonatan atau aku yang bersalah.” Yonatan dinyatakan bersalah.
43 Raja Saul bertanya kepada Yonatan, “Apakah yang sudah engkau lakukan?”
Yonatan menjawab, “Saya telah makan sedikit madu yang saya ambil dengan hujung tongkat saya. Saya bersedia untuk mati.”
44 Raja Saul bertitah kepadanya, “Biarlah beta dihukum Allah jika engkau tidak dihukum mati, Yonatan!”
45 Tetapi rakyat berkata kepada Raja Saul, “Haruskah Yonatan dihukum mati? Bukankah dia yang sudah mendapat kemenangan yang besar ini? Kami berjanji demi TUHAN yang hidup, bahawa seutas rambut Yonatan pun tidak akan diusik! Dengan pertolongan TUHAN, dia telah mendapat kemenangan pada hari ini.” Demikianlah rakyat menyelamatkan Yonatan daripada hukuman mati.
46 Selepas itu, Raja Saul berhenti mengejar orang Filistin. Orang Filistin pun pulang ke wilayah mereka sendiri.
Pemerintahan Raja Saul dan Keluarga Baginda
47 Setelah Raja Saul menjadi raja Israel, baginda berperang dengan semua musuhnya di mana-mana: orang Moab, Amon, dan Edom; raja negeri Zoba dan orang Filistin. Di mana sahaja Raja Saul berperang, baginda selalu menang.
48 Raja Saul berperang dengan gagah berani, bahkan orang Amalek pun dikalahkannya; Raja Saul membebaskan Israel daripada perompak.
49 Putera-putera Raja Saul ialah Yonatan, Yiswi, dan Malkisua. Puteri sulung Raja Saul bernama Merab, dan puteri yang kedua bernama Mikhal.
50 Isteri Raja Saul ialah Ahinoam anak Ahimaas; panglima tentera Raja Saul ialah saudara sepupunya, Abner anak Ner. Ner ialah bapa saudara Raja Saul.
51 Kish, ayahanda Raja Saul dan Ner, bapa Abner, ialah anak-anak Abiel.
52 Seumur hidup Raja Saul, baginda berperang dengan sengit melawan orang Filistin. Oleh itu bila sahaja baginda nampak orang yang kuat atau berani, baginda akan segera menjadikan orang itu anggota tenteranya.