46
1 Inilah kesudahan dewa-dewa Babel;
dahulu Bel dan Nebo disembah,
tetapi sekarang dimuat di atas haiwan,
dan menjadi beban kepada binatang yang lelah.
2 Patung berhala itu tidak mampu menyelamatkan diri,
malah ditawan dan dibawa pergi.
Demikianlah kesudahan dewa-dewa Babel!
3 Dengarlah Aku, hai keturunan Yakub,
semua umat-Ku yang terselamat.
Aku telah memelihara kamu
sejak kamu dilahirkan.
4 Aku tetap Allah kamu sampai kamu tua;
Aku akan memelihara kamu sampai kamu beruban.
Aku telah menciptakan kamu dan tetap akan menjaga kamu.
Aku akan menolong dan menyelamatkan kamu.
5 Dengan siapakah kamu akan membandingkan Aku?
Adakah sesiapa yang sama dengan Aku?
6 Orang mengeluarkan emas dari kantung;
mereka menimbang perak dengan dacing.
Mereka mengupah tukang emas untuk membuat berhala;
lalu mereka sujud menyembah berhala itu!
7 Mereka mengangkat lalu memikul berhala itu di atas bahu,
mereka menegakkan berhala itu di tempatnya,
dan berhala itu tidak dapat bergerak dari situ.
Jika orang berdoa kepadanya, berhala itu tidak dapat menjawab,
dan tidak dapat menyelamatkan orang daripada malapetaka.
8 Ingatlah hal ini, hai orang berdosa;
pertimbangkanlah hal yang telah Aku lakukan.
9 Ingatlah hal yang berlaku dahulu kala,
akuilah bahawa Aku satu-satunya Allah,
dan tiada sesiapa pun sama seperti Aku.
10 Sejak permulaan Aku telah menubuatkan hal yang akan datang;
dari dahulu Aku telah meramalkan hal yang akan berlaku.
Aku berfirman bahawa rancangan-Ku tidak akan gagal,
bahawa Aku pasti melakukan segala kehendak-Ku.
11 Aku memanggil seorang dari timur;
dia akan menyambar seperti seekor burung helang,
dia akan melaksanakan rancangan-Ku.
Apa yang Aku firmankan pasti Aku laksanakan,
apa yang Aku rancangkan pasti Aku lakukan.
12 Dengarkanlah aku, hai umat yang degil,
kamu yang menyangka bahawa pembebasan masih lama lagi.
13 Tetapi Aku telah mendekatkan hari itu,
pembebasan sudah hampir.
Penyelamatan daripada-Ku tidak akan ditunda,
Aku akan menyelamatkan Yerusalem
dan memberikan kehormatan kepada Israel.”