Allah Berjanji Menyelamatkan Umat-Nya
43
1 Hai Israel, demikianlah firman TUHAN
yang telah menciptakan kamu,
“Janganlah takut! Aku akan menyelamatkan kamu.
Aku telah memanggil kamu dengan nama kamu,
kamu milik-Ku.
2 Apabila kamu menyeberangi laut yang dalam, Aku akan menyertai kamu;
kamu tidak akan tenggelam dalam kesusahan.
Apabila kamu melalui api, kamu tidak akan terbakar;
kamu tidak akan dicelakakan oleh cubaan yang berat.
3 Akulah TUHAN, Allah kamu,
Allah Israel, Allah yang suci, yang telah menyelamatkan kamu.
Aku akan menyerahkan Mesir untuk menebus kamu;
Aku akan menyerahkan Etiopia dan Seba untuk membebaskan kamu.
4 Aku akan menyerahkan bangsa-bangsa sebagai ganti nyawa kamu,
kerana kamu berharga bagi-Ku,
dan kerana Aku mengasihi serta mengendahkan kamu.
5 Janganlah takut, kerana Aku menyertai kamu.
Dari timur dan barat
Aku akan membawa anak cucu kamu pulang.
6 Aku akan menyuruh negeri di utara melepaskan mereka,
dan negeri di selatan membebaskan mereka.
Biarlah umat-Ku pulang dari negeri-negeri jauh,
dari segala pelosok dunia.
7 Merekalah umat-Ku,
Aku telah menciptakan mereka untuk memuliakan Aku.”
Israel Sebagai Saksi TUHAN
8 Allah berfirman, “Perintahlah umat-Ku datang menghadap.
Mereka mempunyai mata, tetapi buta;
mereka mempunyai telinga, tetapi pekak!
9 Perintahlah semua bangsa dan suku berhimpun.
Siapakah antara mereka dapat meramalkan masa depan,
dan memberitahukan apa yang berlaku sekarang?
Biarlah mereka menghadapkan saksi-saksi
untuk membuktikan bahawa mereka tidak bersalah,
dan bahawa kata-kata mereka benar.
10 Hai umat Israel, kamulah saksi-Ku;
Aku memilih kamu menjadi hamba-Ku
supaya kamu mengenal Aku serta percaya kepada-Ku,
dan mengerti bahawa Aku satu-satunya Allah.
Selain Aku, tidak ada tuhan-tuhan lain;
baik pada masa dahulu, mahupun pada masa akan datang.
11 Hanya Akulah TUHAN,
Aku sahaja yang dapat menyelamatkan kamu.
12 Aku bernubuat tentang hal-hal yang akan berlaku,
lalu Aku datang menolong kamu.
Tiada dewa asing yang pernah berbuat hal seperti itu;
kamulah saksi-Ku.
13 Akulah Allah, dan Aku tetap Allah selama-lamanya.
Tiada seorang pun dapat melepaskan diri daripada kuasa-Ku;
tiada sesiapa pun dapat menghalang Aku bertindak.”
Israel Dibebaskan dari Babel
14 Allah Israel, Allah yang suci, TUHAN yang menyelamatkan kamu berfirman,
“Aku akan mengirim tentera untuk menyelamatkan kamu dari Babel;
Aku akan merobohkan pintu-pintu gerbang,
lalu sorak-sorai penduduk Babel akan berubah menjadi tangisan.
15 Akulah TUHAN, Allah kamu, Allah yang suci.
Akulah pencipta kamu, hai Israel, Akulah raja kamu.”
16 Dahulu TUHAN membuat jalan melalui laut,
jalan melalui air yang bergelora.
17 Dia membinasakan pasukan tentera yang besar:
pasukan berkereta kuda dan pasukan berkuda.
Mereka jatuh, tidak dapat bangkit lagi;
mereka mati seperti sumbu yang padam.
18 Tetapi TUHAN berfirman,
“Jangan ingat akan peristiwa lalu,
jangan kenang perkara yang sudah-sudah.
19 Perhatikanlah perkara baru yang akan segera Kulakukan.
Lihatlah, Aku sudah pun memulakannya.
Aku akan membina jalan di padang gurun,
dan memberi kamu anak-anak sungai di padang pasir.
20 Bahkan haiwan liar akan menghormati Aku,
serigala dan burung unta akan memuji Aku
apabila Aku mengalirkan anak-anak sungai di padang gurun,
untuk memberikan minuman kepada umat pilihan-Ku.
21 Merekalah umat yang telah Kujadikan milik-Ku sendiri,
mereka akan menyanyikan pujian untuk Aku.”
Dosa Israel
22 TUHAN berfirman,
“Namun hai Israel, kamu telah bosan dengan Aku,
kamu tidak lagi menyembah Aku.
23 Kamu tidak membawa domba sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku;
kamu tidak menghormati Aku dengan korban yang kamu persembahkan.
Padahal Aku tidak membebani kamu dengan meminta persembahan
atau menyusahkan kamu dengan menuntut kemenyan.
24 Kamu tidak membeli dupa harum bagi-Ku,
ataupun memuaskan Aku dengan lemak binatang yang kamu persembahkan.
Sebaliknya kamu membebani Aku dengan dosa kamu;
kamu menyusahkan Aku dengan kesalahan kamu.
25 Namun Aku ini Allah yang mengampunkan dosa kamu,
dan Aku berbuat demikian kerana begitulah sifat-Ku.
Aku tidak akan mengingat dosa kamu.
26 Marilah kita pergi ke mahkamah; ajukanlah tuduhan-tuduhan kamu!
Adukan perkara kamu dan buktikan bahawa kamu tidak bersalah!
27 Nenek moyang kamu yang pertama telah berdosa;
para pemimpin kamu pun berdosa terhadap Aku,
28 dan para imam kamu menajiskan tempat kediaman-Ku.
Itulah sebabnya Aku membinasakan Israel,
Aku membiarkan umat-Ku dihinakan.”